Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Squid Game' raih Emmy pertama

Kemenangan awal drama Korea Selatan pembuka tirai jelang malam kemuncak anugerah minggu depan bagi kategori Drama Terbaik TV
Sep 7, 2022 | 5:30 AM
LEE YOO-MI: Membawa kemenangan pertama bagi drama Netflix asal Korea Selatan, 'Squid Game'. - Foto AFP
LEE YOO-MI: Membawa kemenangan pertama bagi drama Netflix asal Korea Selatan, 'Squid Game'. - Foto AFP -

DRAMA Korea Selatan, Squid Game, yang menarik perhatian dunia kerana adegan permainan-permainan ngeri penuh tragis demi merebut hadiah lumayan sebagai inti cerita, telah memenangi anugerah Emmy pertamanya, menerusi anugerah bagi lakonan dan tiga trofi.

Kemenangan awal yang diumumkan Ahad malam itu adalah sebagai pembuka tirai menjelang malam kemuncak anugerah yang akan berlangsung minggu depan bagi kategori Drama Terbaik Televisyen.

Anugerah yang disampaikan kelmarin adalah untuk kategori sampingan dan teknikal sementara anugerah utama akan diumumkan dalam acara kemuncak minggu depan.

Lee Yoo-mi mendapat pengiktirafan bagi kategori Pelakon Jemputan dalam Drama pada anugerah Seni Kreatif Emmy untuk wataknya sebagai Ji Young, seorang wanita muda yang terpaksa bersaing dalam permainan berisiko untuk mendapat kekayaan selepas beliau dibebaskan daripada penjara dalam siri Netflix itu.

Beliau menerima anugerah tersebut di teater di Los Angeles dan memberi ucapan dalam bahasa Korea sebelum menjerit, "I'm so very happy!" dalam bahasa Inggeris.

Pada tahun lalu, Squid Game berjaya meraih rancangan nombor satu dunia di wadah Netflix dan menerusi 90 negara, ia mencatat 111 juta akaun tontonan.

Anugerah Seni Kreatif Emmy memberi penghormatan buat anak seni di sebalik tabir seperti jurutera bunyi, pendandan rambut dan pakar sinematografi, termasuk pelakon jemputan.

Anugerah bagi Watak Utama serta yang lain-lain akan disampaikan secara langsung pada 12 September ini.

Squid Game bakal berentap bagi piala Drama Terbaik, dengan ia merupakan drama pertama yang bukan dalam bahasa Inggeris untuk menerima pencalonan itu.

Turut tersenarai dalam kategori yang sama merupakan drama Netflix, Stranger Things, yang turut memenangi lima anugerah Seni Kreatif lain.

Sementara itu, bekas Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, memenangi Narator Terbaik Emmy bagi kerjanya dalam siri dokumentari Netflix, Our Great National Parks.

Dokumentari lima bahagian itu menampilkan taman negara dari seluruh dunia. Ia dihasilkan oleh syarikat produksi Encik Barack dan Cik Michelle Obama, Higher Ground.

Beliau merupakan nama terbesar dalam kategori yang penuh dengan calon-calon terkenal seperti Kareem Abdul-Jabbar, David Attenborough dan Lupita Nyong'o.

Encik Obama merupakan presiden Amerika Syarikat kedua yang meraih anugerah Emmy setelah presiden Dwight D Eisenhower diberikan Anugerah Emmy khas pada 1956.

Encik Obama sebelum ini memenangi Anugerah Grammy untuk pembacaan dua buku audio memoirnya, The Audacity Of Hope dan Dreams From My Father. Cik Michelle Obama turut memenangi Grammynya sendiri selepas membaca buku audionya pada 2020.

Encik Obama kini berada separuh jalan bagi mendapatkan gelaran EGOT - yang merujuk kepada kategori penghibur istimewa yang memenangi anugerah Emmy, Grammy, Oscar dan Tony.

Sehingga kini, hanya 17 orang telah mendapatkannya, antara mereka Mel Brooks, Whoopie Goldberg, Audrey Hepburn dan Jennifer Hudson. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg