Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kenangan mengusik jiwa penyanyi dulu-dulu

Suhaily Shamsuddin pernah nyanyi lagu P. Ramlee

Jan 08, 2023 | 05:30 AM



BEBERAPA bulan sebelum pemergian Tan Sri P. Ramlee pada 29 Mei 1973, biduanita Suhaily Shamsuddin berpeluang bekerjasama dengan idola ramai itu.



Suhaily yang ketika itu mendapat tempat ketiga dalam Bakat TV 1972 di Malaysia menandatangani kontrak bersama label rakaman Great Union Organisation (GUO) dan diberi peluang keemasan untuk menyanyikan lagu ciptaan P. Ramlee.



Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Suhaily yang kini berusia 70 tahun dan pernah popular dengan lagu Jika Sayang Kata Sayang berkata:



"Seperti ramai orang lain, saya juga menganggap P. Ramlee sebagai idola yang dihormati dan disegani.



"Saya gembira dapat bercerita dengannya dan mendengar gurau sendanya. Beliau santai dan bersahaja serta suka bikin kita ketawa.



"Saya takkan lupakan kenangan bekerjasama dengan P. Ramlee. Beliau mencipta lagu Rembang Petang dan Surat Cinta untuk saya.



"Selepas pengalaman itu, saya sibuk meneruskan pengajian jurusan setiausaha dan pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM). P. Ramlee pula sibuk dengan kerja penerbitan filemnya.



"Kami tak jumpa lagi sehingga saya dapat berita beliau sudah meninggal dunia. Ia pemergian yang menyedihkan dan tidak kami sangka."



Suhaily mula menyanyi seawal usia tujuh tahun di mana ibunya memintanya tampil sebagai bakat cilik dalam satu persembahan melibatkan kumpulan penggiat politik dan kemasyarakatan Wanita Umno yang dianggotai ibunya.



Beliau juga aktif memasuki peraduan menyanyi dan sering mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga ketika menuntut di sekolah perempuan Convent Bukit Nanas.



"Apabila saya masuk Bakat TV, saya tiada hasrat bergelar penyanyi profesional selepas itu. Nyanyian hanyalah hobi mengisi masa. Saya hanya ingin tahu mutu vokal saya di tahap mana.



"Saya seronok apabila dapat rakam lagu, temui peminat, bergambar dengan mereka dan berkongsi kemahiran seni," katanya yang merupakan adik ipar penyanyi lagu patriotik Malaysia Berjaya, Allahyarham Jamaluddin Alias.



Beliau melihat Kartina Dahari, Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang dan Puan Sri Saloma sebagai idolanya.



Suhaily juga syukuri peluang bekerjasama dengan Datuk Seri Dr Ahmad Nawab dan adiknya Akhbar Nawab.



"Sememangnya saya tak harapkan populariti. Berbekal bakat semula jadi ini, saya dapat beri jasa balik kepada negara dan bangsa.



"Saya berikan yang terbaik dan tak nak hampakan sesiapa dalam setiap persembahan. Zaman surat menyurat dan kirim kad Raya antara peminat dengan saya amat saya hargai," tambahnya.



Sesudah mencecah usia 50-an tahun, ibu dua anak ini sudah tidak lagi aktif menyanyi dan akur semakin ramai penyanyi Malaysia membanjiri pasaran.



"Anak-anak pun tiada yang ikut jejak langkah saya. Tumpuan mereka lebih pada bidang akademik.



"Saya dan suami memang tak menggalakkan mereka ceburi bidang nyanyian walaupun di sekolah, mereka berdua memang pernah menang peraduan menyanyi. Suami pun boleh menyanyi sebagai hobi," jelasnya lagi.



Selama 22 tahun sehingga persaraannya pada 2007, Suhaily juga bekerja sebagai pengurus pentadbiran di restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC).



"Tugas saya adalah berhubung dengan kerajaan untuk dapatkan lesen perniagaan serta mentadbir urusan mendapatkan pensijilan halal dan bahan halal bagi restoran kami. Itulah antara amanah yang saya senangi sampai usia persaraan," katanya yang berkunjung ke Singapura bagi acara Wadah Seni Entertainment, Retro Fiesta 70-an, di De Hall SG@Tai Seng Center di Irving Road tahun lalu. - HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >