Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Susuli banjir, Lan Solo sekeluarga tidur di pejabat pasar raya

Dec 22, 2021 | 5:30 AM
RUMAH DINAIKI AIR: Menyusuli hujan lebat dan banjir, rumah penyanyi Lan Solo di Kampung Sri Aman, Puchong, dinaiki air sehingga mendesaknya dan keluarga berpindah ke ibu pejabat Solo Borneo Mart yang diusahakannya. - Foto INSTAGRAM LAN SOLO
RUMAH DINAIKI AIR: Menyusuli hujan lebat dan banjir, rumah penyanyi Lan Solo di Kampung Sri Aman, Puchong, dinaiki air sehingga mendesaknya dan keluarga berpindah ke ibu pejabat Solo Borneo Mart yang diusahakannya. - Foto INSTAGRAM LAN SOLO -

GARA-GARA kediaman mereka di Kampung Sri Aman, Puchong, dinaiki air hingga ke paras paha, penyanyi Lan Solo sekeluarga kini menetap sementara waktu di ibu pejabat pasar raya Solo Borneo Mart di Bukit Puchong yang mereka miliki.

Lan, 36 tahun, bekas vokalis band rok Kristal, dan isteri, Nur Sheila Hassim, adalah antara keluarga selebriti di seberang Tambak yang terjejas dek musibah banjir, lapor laman Harian Metro.

Lan, atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, berkata air naik begitu cepat sejak Sabtu lalu.

Beliau dan isteri terlebih dulu menghantar empat anak mereka ke pejabat Solo Borneo Mart sekitar 3 pagi.

"Selepas hujan tidak berhenti-henti, kediaman kami di Kampung Sri Aman, Puchong sudah mula dinaiki air sejak petang Sabtu.

"Tapi jam 3 pagi tadi, saya dan isteri sempat menghantar anak-anak ke kawasan selamat di pejabat Solo Borneo Mart di Bukit Puchong.

"Selepas kami berpatah balik ke rumah sekitar jam 5.30 pagi, air banjir sudah semakin naik sampai lutut dan paha. Sekarang, apa jadi di rumah memang kami tak tahu dan segalanya kini berserah kepada Allah swt."

Lan berkata apa yang difahamkan ramai penduduk di kawasan Kampung Sri Aman berkenaan sudah dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir yang disediakan dan mereka sekeluarga memilih tinggal di pejabat syarikat kerana lokasi di kawasan tinggi.

"Apapun, saya dan isteri sangat bersyukur kerana sempat menyelamatkan keluarga kami keluar dari kawasan banjir terbabit.

"Sekarang, keselamatan nyawa lebih utama dan kerugian harta benda itu saya reda kerana wang boleh dicari.

"Cuma, rasa sedihnya kami tidak dapat membantu jiran-jiran yang tersepit terutama mereka yang berpindah dengan anak-anak kecil ke pusat pemindahan itu. Kami hanya dapat tolong yang termampu saja," katanya.

Lan sendiri tidak menduga rumahnya dinaiki air secepat itu. Katanya, kejadian banjir yang berlaku kini adalah ujian Allah dan kita semua harus tabah dan sabar.

Pasangan ini yang mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009, dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, sembilan tahun, Nur Amna Qeesyara, enam tahun; Muhammad Akid Qassyaff, lima tahun dan Nur Amna Quxandra, tiga tahun.

Terdahulu, hujan lebat tanpa henti yang melanda Selangor dan ibu kota sejak awal pagi Sabtu mengakibatkan banjir buruk di kawasan seperti Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Puchong dan Hulu Langat yang dinaiki air.

Semalam, Lan sempat mengambil klip video anak-anaknya sedang tidur di atas tilam di studio muziknya.

Beliau berharap anak-anaknya dapat bersabar sedang dirinya dan isterinya membersihkan rumah mereka. Sekitar 30 peratus kerja pembersihan sudah dibereskan, jelas Lan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg