Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sweet Charity ‘ributkan’ dewan, tinggalkan peminat dengan nostalgia manis

Konsert ‘Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity’ rai nyala rasa band ‘orang lama’
Oct 18, 2023 | 05:30 AM



Kalau sudah namanya ‘orang lama’, pentas itulah gelanggang hiburan bagi memacu semangat penonton agar bangkit daripada kesuraman mahupun kegelisahan yang membelenggu fikiran atau kekecamukan jiwa.

Apakah reaksi ramai penggemar muzik band ‘otai’ Sweet Charity apabila menghadiri konsert ulang tahun ke-50 mereka, Ribut The Concert: Five Decades of Sweet Charity, di Teater The Star baru-baru ini?


Boleh dikatakan sepanjang hampir tiga jam berhimpun di situ, ramai yang dibawa mengembara masa ke alam kanak-kanak, remaja mahupun 20-an tahun tatkala mendengar Datuk Ramli Sarip, yang lebih mesra dengan panggilan Papa Rok, 71 tahun, mengimbau nostalgia sambil mendendangkan lagu-lagu yang menjadi siulan pada era 1970-an dan 1980-an.

Bersama dengan sahabat sejatinya, Ahmad Jaffar (pemain papan nada), 69 tahun; dan Rosli Mohalim (gitaris utama), 69 tahun; serta Rahman Sarbani (pemain dram), 70 tahun; mereka ‘meributkan’ keadaan dengan lagu rok, balada cinta serta ‘blues’ yang menusuk kalbu.

Tiada bezanya menghadiri konsert legenda yang dipersembahkan Pos TKI Pte Ltd dengan kerjasama Jive Events & Entertainment, dengan beberapa konsert gah Barat yang pernah saya hadiri sebelum ini, baik Scorpions, Whitesnake, Def Leppard atau Deep Purple.

Tidak mengapa jika masa sudah lama meninggalkan kita dan anggota band sudah mencapai usia senja. Namun, yang paling mustahak adalah tenaga ‘muda belia’ yang nampaknya tidak dimamah usia dan mereka hidupkan konsert yang bahangnya ‘menggigit’ sehingga payah luput daripada ingatan.

Sweet Charity memang jenama besar yang masih bermain di bibir ramai dengan lagu seperti, Jangan Tunggu Lama-lama, Zakiah, Teratai, Sejuta Wajah, Jalan Malam dan Kamelia.


Malahan, apabila mendengar pembukaan lagu-lagu itu dengan petikan gitar garing, ketukan dram penuh stamina ataupun permainan papan nada menusuk kalbu atau tiupan seruling yang gemersik berkumandang, mudah meneka lagu apa yang sedang dipersembahkan.

Papa Rok penuh karisma mengawal pentas dengan perkongsiannya mengenai band yang bermain di majlis kahwin dahulu serta bagaimana ia mula menjadi artis rakaman dan dipuja ramai dek lagu-lagu santai yang mempunyai keunikan sendiri.

Ada lagu yang terasa berat dek maksud kerohanian yang mendalam tetapi ada juga yang senang sahaja dihadam sebab mengisahkan perkara seharian yang kadangkala dianggap rutin tetapi seronok dijadikan santapan halwa telinga.

Tenaga Papa Rok yang luar biasa membuatkan penonton yang sebaya dengannya begitu diserap percikan semangat.

Kelihatan sedang lautan penonton berusia antara 30-an dengan 50-an tahun yang menyaksikan konsert itu menyalakan lampu picit dari telefon bimbit masing-masing ketika menjiwai ‘feel’ lagu Sejuta Wajah atau Teratai, ada seorang dua penonton warga emas yang bertongkat mengangkat tongkat mereka dan dihayunnya ke udara, menarik perhatian saya.


Karisma persembahan ‘otai’ itulah yang saya puji, sebagaimana saya pernah lihat David Coverdale (Whitesnake), Joe Elliott (Def Leppard) ataupun Klaus Meine (Scorpions) memberikan nyala rasa mereka pada konsert yang bertali arus tanpa henti.

Selain Ramli, Ahmad yang dikenali dengan panggilan AJ, turut menyanyikan dua lagu, Terharu dan Bagaikan Bermimpi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.


“Saya sebenarnya tunggu lagu Terharu. Terharu dapat dengar Abang AJ nyanyi lagu ni. Dalam banyak-banyak lagu inilah yang paling saya gemari,” jelas teman di sebelah saya.


Rosli, yang baru sahaja pulih daripada serangan angin ahmar, pula kembali ligat dengan gentelan gitar yang buat kami tabik hormat dengan kesungguhannya.

‘Wira gitar’ itu tidak mengecewakan. Begitu juga Rahman yang menunjukkan kemahiran bermain dram yang luar biasa dan kekal mantap sepanjang konsert.

Seronok juga melihat generasi lebih muda pencinta Sweet Charity hadir sebagai pemuzik ‘sessionist’ dalam konsert kali ini. Nyala rasa mereka memang luar biasa. Addy Cradle, Riduan Zalani dan Din Safari memberikan yang terbaik dalam menyokong Sweet Charity.

Sesuatu yang saya senang apabila melihat mereka bermain alat muzik adalah semangat khususnya Riduan yang sentiasa memberi jiwa raganya buat paluan alat genderang di samping membawa anak-anak buahnya daripada Nadi Singapura untuk hadir sebagai pemuzik undangan untuk beberapa lagu.

Lima puluh tahun berlalu dengan begitu pantas buat Sweet Charity. Pastinya ada banyak kenangan manis untuk dikongsi bersama peminat di samping amanah yang disalur kepada masyarakat, baik dari segi wadah hiburan ataupun renungan.

Syabas buat Sweet Charity atas hadiah untuk pengamat seni.

Cuma satu perkara yang saya dan teman-teman terkilan adalah lagu Bulat Bulat yang tidak kedengaran pada malam itu. Itulah irama zaman kanak-kanak kami yang menyeronokkan untuk didengar berulang kali. Tak dengar, tak sah. Sebab susah nak dapat lagu seperti ini yang memberi semacam teka-teki pada buah-buahan tempatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >