Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Syafiq Yusof lega ‘Polis Evo 3’ meletup

Pengarah muda tiada niat bersaing dengan abangnya Syamsul yang cipta fenomena ‘Mat Kilau’
Jun 15, 2023 | 02:13 PM



Aksi mendebarkan tanpa henti. Gelak tawa kedengaran mengisi ruang pawagam dek beberapa babak yang mencuit hati. Dialognya santai dan bersahaja. Babak aksi terajang dan kereta kebakaran pula persis filem Hong Kong atau Hollywood yang membuatkan anda payah meninggalkan tempat duduk.

Sememangnya, filem aksi komedi dalam francais filem Polis Evo dinantikan ramai penonton filem Melayu sejak ia ditayangkan buat kali pertama pada 2015.


Pejam celik, filem susulan ketiga, Polis Evo 3, menemui penonton sejak akhir bulan lalu di Malaysia, Singapura dan Brunei.


Cukup membanggakan apabila kutipan ‘box-office’ pada hari pertama tayangan Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof mencecah RM3.4 juta ($987,000). Kutipan empat harinya pula ialah RM16 juta dan merupakan filem selepas pandemik yang mengumpulkan kutipan terbanyak dalam masa empat hari pada minggu pembukaan mengatasi kutipan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebanyak RM12.2 juta dalam tempoh yang sama.


Filem epik yang mencetus fenomena kepahlawanan itu merupakan arahan Syamsul Yusof, abang Syafiq.

Kutipan tayangan selama 16 hari Polis Evo 3 kini malahan sudah melebihi RM45 juta. Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan secara keseluruhannya meraih kutipan ‘box-office’ hampir RM100 juta.

Dengan deretan pelakon hebat dan watak utama yang digalas Shaheizy Sam dan Zizan Razak, dibantu Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan Syafiq Kyle, Polis Evo 3 yang menelan belanja lebih RM8 juta, ternyata tidak menghampakan ramai.


Selepas sutradara Ghaz Abu Bakar mengarah filem pertama Polis Evo, penulis naskhah Joel Soh dan Andre Chiew pula menggalas amanah sebagai pengarah Polis Evo 2.


Maka itulah, Syafiq, 30 tahun, rasa gementar apabila mengambil alih teraju pengarah dan diberi kepercayaan meleng­kapkan perjalanan hidup dan kerjaya Inspektor Khai (lakonan Shaheizy) dan Inspektor Sani (Zizan) dalam filem terbaru ini.

Ketika ditemui Berita Harian di sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Royal Plaza on Scotts baru-baru ini, Syafiq kelihatan ceria berkongsi kisah menghasilkan filem itu di waktu pandemik dan cabaran yang perlu dihadapi.


Beliau juga tidak menjangkakan sambutan hangat daripada penonton serta tidak menetapkan niat untuk mengatasi tarikan filem lain seperti yang diarah abangnya sendiri.

Perasaannya lebih pada bimbang jika mutu arahannya memenuhi jangkaan penerbit, penulis naskhah mahupun penonton yang terbiasa menyaksikan kehebatan dua filem awal francais itu.

Syafiq turut berkongsi rahsia kejayaan filem tersebut, selain memastikan pasukan yang menjayakan filem Polis Evo 3 itu mempunyai kekuatan tersendiri selain bersikap profesional.

“Ketika mendapat tawaran mengarahkan filem ini, tentunya saya mempunyai jangkaan dan sudah faham cabaran yang perlu ditempuhi.


“Bagi saya, Polis Evo ini merupakan francais besar yang dinamis. Filem francais ini telah mencapai kejayaan gah seperti filem blokbuster lain dan menjadi kebanggaan pencinta filem di Malaysia.

“Jadi apabila mendapat peluang untuk filem terbitan Astro Shaw dan Skop Productions ini, saya perlu pastikan filem ini mesti bagus dan saya tidak boleh gagal. Saya juga pastikan pasukan yang menjayakan filem ini juga berdedikasi dan yang terbaik.


“Alhamdulillah, pasukan kerja dan barisan pelakon yang menjayakan Polis Evo 3 ini ternyata amat komited dan kami semua bekerja sebagai satu pasukan keluarga yang besar dan saling melengkapi.


“Selain itu, penulis skrip untuk filem pertama hingga ketiga ini, merupakan penulis yang sama, dan tentunya mereka sudah memahami jalan cerita dan karakter filem dengan lebih mendalam lagi.

“Jadi saya yakin, dengan kemahiran yang ada, filem yang dihasilkan ini akan menjadi lebih mantap, ditambah dengan dialog yang memukau serta pasukan yang berkaliber dan berpengalaman... mesti ia menjadi!” jelas anak penerbit dan pengarah mapan, Datuk Yusof Haslam ini.

Syafiq akur keserasian di antara dua pelakon utama filem ini, Shaheizy dan Zizan, turut menguatkan dan menambah keampuhan filem ini. Watak antagonis Reza lakonan Sharnaaz juga dibawakan dengan cemerlang dan tidak boleh diketepikan.

Menurutnya, watak Reza yang diperkenalkan pada filem ketiga ini memang sesuai buat Sharnaaz.

“Sharnaaz tetap menjalani sesi pemilihan. Dia kirim kami video lakonan yang membuatnya seakan-akan betul-betul berada dalam penggambaran Polis Evo 3. Dari situ, kami lihat dia meyakinkan sebagai Reza.

Brotherhood atau persaudaraan dan persahabatan akrab di antara kededua pelakon Shaheizy dan Zizan memang tidak boleh dinafikan, chemistry mereka berdua memang terpancar kuat. Dan mereka bertiga, (termasuk Sharnaaz), mampu menjiwai watak ini dengan baik. Kita juga melihat pelakon-pelakon lain juga turut memberikan 100 peratus keringat mereka untuk filem ini,” jelas Syafiq, juga terkenal sebagai pengarah filem aksi komedi Abang Long Fadil.

Buat masa ini, Syafiq sedang mengarahkan filem drama polis yang serius, Sherif dengan pelakon kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz membintangi filem ini dan membawakan watak Tony Ifrit. Pelakon Zul Ariffin juga terlibat sama membawakan babak-babak aksi dalam filem tersebut, sesuai dengan penampilannya yang sasa.


Filem ini mengetengahkan konflik dan isu yang berlaku di dalam jabatan narkotik dan bakal menemui penonton tahun depan. 

Ditanya apakah perbezaan antara dirinya dengan abangnya Syamsul, Syafiq berkata:

“Abang saya ekstrovert. Saya lebih introvert. Abang pula boleh berlakon dan mengarah. Saya pula lebih suka di balik tabir dan tak selesa berlakon.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >