Firma sofwe Jerman, SAP, baru-baru ini mengumumkan rancangan penyusunan semula pekerjaan bernilai 2 bilion euro ($2.91 bilion), melibatkan 8,000 tugas, sedang ia memberi tumpuan kepada pertumbuhan dalam bidang perniagaan yang didorong kecerdasan buatan (AI).
Firma itu menjangka AI generatif akan mengubah perniagaannya secara asas dan telah berjanji melabur lebih AS$1 bilion ($1.34 bilion), sambil membuka lembaran baru dalam pemula teknologi dikuasakan AI melalui firma modal perusahaannya, Sapphire Ventures.
Syarikat itu berkata ia merancang langkah itu demi membantu memberi tumpuan yang lebih baik pada bidang pertumbuhan utama seperti AI perniagaan.
Program penyusunan semula itu akan dilaksanakan secara besar-besaran melalui program cuti sukarela dan langkah-langkah kemahiran semula dalaman, kata syarikat itu, sambil menambah bahawa ia menjangka mengakhiri 2024 dengan jumlah pekerja “serupa dengan tahap semasa.”
SAP mempunyai lebih 105,000 pekerja, menurut laman webnya.
Perbelanjaan penyusunan semula kebanyakannya akan dilaksanakan pada separuh pertama 2024, memberi kesan kepada keuntungan operasi, kata syarikat itu.
Pembangun perisian perniagaan itu, secara berasingan, turut meramalkan hasil bagi khidmat awan 2024 pada 17 bilion euro kepada 17.3 bilion euro dan mengemas kini prospek ramalan keuntungan kasar 2025 bagi khidmat awan pada kira-kira 16.2 bilion euro.
Hasil perniagaan awan utamanya pada penghujung 2023 berjumlah $13.66 bilion euro, kurang daripada unjurannya sebanyak 14.06 bilion euro.
Firma perisian itu sebelum ini tidak mencapai jangkaan penganalisis untuk pendapatan awan pada suku ketiga. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg