LOEI (Thailand): Kumpulan terakhir pelancong seramai 889 individu yang bermalam di Phu Kradueng dalam wilayah Loei, Thailand, telah dipindahkan pada pagi 13 Disember, berikutan penutupan buat tempoh masa tidak terbatas Taman Negara Phu Kradueng.
Para pelancong turun gunung tersebut sambil diiringi pegawai taman setelah ketua taman itu, Encik Adisorn Hemthanon, mengumumkan penutupan tersebut pada 12 Disember.
Keputusan tersebut dibuat untuk mengelak serangan lanjut oleh gajah liar.
Penutupan itu dibuat selepas seekor gajah liar menyerang dan membunuh seorang wanita berusia 49 tahun dari Chachoengsao, Thailand.
Serangan itu berlaku ketika beliau dan seorang lagi wanita sedang berjalan di sepanjang jejak alam semula jadi Ong Phra Buddha Metta menuju ke Air Terjun Phen Phop.
Gajah itu dilaporkan menyerangnya dua kali, menyebabkan kematiannya.
Pegawai taman kemudian menemui bukti bahawa gajah itu masih berkeliaran di kawasan yang sering dijalan mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pengunjung.
Pelancong yang telah menempah penginapan di Phu Kradueng dinasihati agar menghubungi pejabat taman di 042 810 8330 atau melawat Jabatan Taman Negara, Pemuliharaan Tumbuhan dan Hidupan Liar Thailand untuk mendapat wang kembali. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg