Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas jadi 'S.P.Y', Sofia ingin ambil kursus aksi nekad

Esok, Hari Wanita Antarabangsa diraikan dengan tema 'memecahkan tembok bias', di mana dunia bergerak ke arah pelbagai daya usaha bagi meluputkan stereotaip dan diskriminasi serta membangun semangat inklusif dan sekitaran adil lagi rencam. Apakah impian dua bakat wanita dalam dunia hiburan yang percaya pada kuasa pemerkasaan wanita? Kededuanya terlibat dalam projek kreatif yang berlegar di sekitar kehidupan ejen siasatan yang lasak lagi bertenaga. BERITA HARIAN melaporkan.
Mar 7, 2022 | 5:30 AM
SOFIA DENDROFF: Terbuka mencuba aksi lasak dalam drama kerana ia menunjukkan ketangkasan wanita yang juga boleh berdiri sama tinggi dengan lelaki. - Foto ihsan INSTAGRAM SOFIA DENDROFF/ KAYSEN DERULO
SOFIA DENDROFF: Terbuka mencuba aksi lasak dalam drama kerana ia menunjukkan ketangkasan wanita yang juga boleh berdiri sama tinggi dengan lelaki. - Foto ihsan INSTAGRAM SOFIA DENDROFF/ KAYSEN DERULO -

TERPEKIK-PEKIK dalam kereta yang memecut laju, dipandu Zizan Razak, dalam babak aksi 'drift' filem komedi Bulan dan Pria Terhebat merupakan adegan paling mendebarkan yang pernah dijayakan pelakon kacukan setempat Sofia Dendroff.

Namun, sebagai wanita tangkas dan tidak gentar dengan cabaran adegan aksi, beliau ingin lakukan babak aksinya sendiri dan bukan setakat melihat sahaja hero dalam filem itu nekad menunjukkan 'taring'.

Lantaran itu, Sofia yang lebih senang merahsiakan usianya yang dianggap tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua teruja apabila diberi watak ejen risikan Alyssa dalam drama Melayu S.P.Y yang boleh ditonton di aplikasi meWATCH.

Apakah yang membuatkan pelakon berdarah campuran Cina, Jerman, Melayu, India dan Bugis itu berasa peranan itu lambang pemerkasaan dirinya yang dahagakan lebih banyak babak asi?

Ikuti wawancara Zoom Berita Harian bersama jelitawan yang pernah menjadi deejay sambilan stesen radio Power 98.

Soalan (S): Ceritakan pengalaman anda dalam 'S.P.Y' dan bagaimana ia berbeza daripada drama lain yang pernah dijayakan?

Sofia: Saya berada di set drama Inggeris Channel 5 Kin selama tiga tahun setengah. Saya lebih banyak tertumpu pada drama Inggeris dan akhirnya kembali ke drama Melayu, S.P.Y yang mencabar dari segi cara naskhahnya ditulis.

Bahasa dalam drama ini sangat formal. Maklumlah drama polis dengan 'lingo' tersendiri. Dalam Dualiti, terdapat campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Jadi, saya harus pastikan nada suara saya tidak terlalu tinggi macam budak-budak atau terlalu rendah sehingga orang sangka saya bukan manusia!

Tapi yang paling best adalah babak aksi dalam drama ini sehinggakan saya kepingin nak buat lebih babak aksi sebab tak banyak yang diberikan buat watak Alyssa.

Kami mempunyai penyelaras aksi nekad. Ada satu babak bersama Ryan Sufiyan yang saya masih ingat cukup mencabar. Alyssa menyamar menjadi 'Roxy 5522'.

Saya mencari teman saya Aida, tanya mana dia dan kemudian bergelut dengan Ryan. Dia cuba menumbuk saya. Saya kemudian kunci lengannya dalam babak yang perlu diulang lebih 10 kali sampai lebam tangan.

Dahlah Ryan tu besar orangnya sampai timbul tekanan dalam babak kunci lengan itu. Ia merupakan babak dalam S.P.Y paling lama buat saya.

Pendek kata, saya senangi watak Alyssa yang melambangkan wanita berani dan tangkas. Paling seronok pakai seragam Senjata dan Taktik Khusus (Swat). Pakai sahaja seragam lengkap dengan topi keledar, watak ejen risikan meresap dalam diri saya. Tak ada nak senyum-senyum manja. Kita buat muka garang!

S: Apakah yang dijadikan rujukan bagi watak ini?

Sofia: Tiada watak khusus. Saya hanya menonton pelbagai drama polis seperti CSI dan ambil cebisan ciri-ciri watak utamanya.

Saya pun tonton drama Suria lama, Kes 253, di mana sahabat saya, Ariati Tyeb Papar, jadi polis. Sempat tengok drama terkini 7 Penjuru yang dijayakan Nurul Nabila.

Saya harus berterima kasih dengan Ariati kerana membantu saya menyemak skrip S.P.Y bersama setiap kali kami berehat dalam set Kin.

Ariati sudah lama dalam persada drama Melayu. Saya menghargai pengalaman dan tunjuk ajarnya.

S: Bagaimana anda lihat lakonan anda kini berbanding ketika muncul dalam 'Interns 2' pada 2016?

Sofia: Saya harus berterima kasih di atas peluang menjayakan Kin selama tiga tahun setengah. Berada dalam watak yang sama buat tempoh masa lebih lama membantu memperbaiki kemahiran lakonan saya.

Bahasa Melayu saya yang teruk dan lakonan kaku beku saya pun lebih baik kini. Saya bangga dengan pencapaian peribadi saya berkat latihan yang dilalui.

Awal-awal saya berlakon dan berbual Melayu dengan slang keinggerisan, saya banyak terima kecaman mereka yang rasa saya tak layak jadi pelakon drama Melayu kerana bahasa Melayu yang 'koyak', tidak lancar dan kedengaran canggung.

Namun, komen sebegitu mendorong saya untuk bekerja keras. Jangan biarkan kata-kata orang menjejas saya. Hari ini, saya boleh katakan saya suka dan selesa berlakon drama Melayu.

S: Apakah yang anda bawa pulang selepas jayakan 'S.P.Y'?

Sofia: Persahabatan bersama pelakon lain yang baik hati seperti Fadhlur Rahman, Iskandar Shah dan Salif Hardie. Saya belajar untuk tidak malu bertanya agar tidak sesat jalan. Selalu saya tanya kepada mereka, 'Lakonan saya tadi 'okey' ke?'

Seperti yang saya katakan, saya tertarik dengan dunia aksi nekad kerana menganggap 'bikin stunt' sebagai satu kemahiran. Saya rasa nak masuk kelas koreografi aksi nekad suatu hari nanti agar memiliki kemahiran baru untuk dijadikan sandaran bagi peranan mendatang.

S: Anda pernah berlakon di Malaysia. Rindu tak zaman ulang-alik dari Singapura ke Malaysia sebelum pandemik?

Sofia: Pastinya sebab saya rindu naik bas setiap hujung minggu ke Malaysia. Saya lagi suka berjimat dengan menaiki bas daripada pesawat.

Masa enam jam dalam bas boleh makan, tidur, baca skrip dan buku. Saya tahu sampai Kuala Lumpur sahaja, tak ada masa nak berehat. Langsung kerja.

Antara projek saya di Malaysia adalah Banteras bersama Kamal Adli. Ia drama cinta polis tetapi tiada babak tembak-menembak pun buat saya. Sayang, projek ini tidak menjadi kerana tiada biaya cukup untuk menayangkannya.

S: Kongsi kenangan zaman remaja yang mencorak anda menjadi wanita bersemangat gigih.

Sofia: Saya impikan kerjaya sebagai deejay sejak usia 12 atau 13 tahun. Saya peminat obses permainan dalam talian Habbo Hotel.

Ada laman peminat yang membuka ruang untuk anggota buka stesen radio sendiri. Daripada menjadi pendengar setia, saya usahakan stesen radio saya dan mengambil permintaan anggota lain.

Berbekal mikrofon murah, saya hiburkan 40 peminat Habbo Hotel. Itulah yang memberi saya semangat mengejar cita-cita menjadi deejay sehingga tercapai juga impian jadi deejay sambilan Power 98.

Kerana itu, saya ingin berpesan kepada anak muda dan wanita di luar sana agar jangan sekali-kali rasa anda tidak mampu merealisasikan impian, bagaimana besar atau jauh dari jangkauan pun cita-cita itu. Rajin pertingkat kemahiran anda.

S: Dalam memperkasa diri, ada sesiapa yang anda jadikan teladan?

Sofia: Rakan S.P.Y, Fadhlur Rahman yang diibaratkan seperti abang yang tidak pernah mentertawakan adiknya dan selalu ada memberi bantuan.

Beliau memiliki etika kerja yang baik, suka membantu dan selalu beri yang terbaik.

Mastura Ahmad, 'ibu' saya dalam Kin. Beliau beri 150 peratus dedikasinya demi kerja dan selalu ada untuk membantu saya dari awal penggambaran drama ini lagi. Ketika kamera tak fokus padanya pun, Kak Mas akan bantu saya sampaikan lakonan berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg