Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Gelek' gali emosi jurutari

Tarian 'Huwai' bidas tanggapan penari lelaki lembut

Mar 26, 2022 | 08:41 AM



DI dalam minda jurutari tarian Melayu, Shahrul Azhar Marekan (Buntat), sering timbul tanda tanya mengapa orang sering menganggap penari lelaki sebagai 'lembut' atau 'lembik'?



Ini berbeza dengan takrifan ramai terhadap tarian hula di Hawaii di mana ia dipersembahkan lelaki gagah atau 'Abang Sado' yang lebih ketara keperwiraannya sewaktu bergelek dan menari.



Gagasan inilah yang Shahrul, 27 tahun, terapkan dalam karya seninya Huwai bagi program inkubasi Gelek yang akan disajikan di Studio Annexe Esplanade hari ini.



Ikuti wawancara bersamanya mengenai Huwai yang menggabungkan kekata 'hula' dan 'why' (mengapa).



SOALAN (S): BAGAIMANA SHAHRUL MULA TERLIBAT DALAM BIDANG TARIAN?



SHAHRUL: Saya mula menari tarian Melayu dari sekolah menengah. Saya kemudian menyertai Kres! Dancers dan menjadi pengarah artistiknya pada 2019.



Pada waktu itu, saya mengarah penerbitan tarian kontemporari saya yang pertama, Sayang, Sayang, Sayang.



Itulah titik tolak di mana saya mahu menghasilkan lebih banyak karya bagi persembahan tarian.



Saya mula meneroka sendiri apa yang boleh saya lakukan bagi memperkasa ilmu tari dan hasil karya saya.



S: CERITAKAN MENGENAI 'HUWAI'. BAGAIMANA ILHAM BAGI KERJA SENI INI TERCETUS?



SHAHRUL: Sebenarnya saya sedang menonton video tarian pahlawan Hawaii yang menampilkan jejaka 'sado' bergelek dengan hula.



Gelekan punggung mereka dalam tarian tangkas dan lasak ini tidak sedikit pun menampakkan kelembutan. Ia bukan tarian lembik sebab ia menampakkan keperkasaan lelaki berkenaan.



Kita lihat kegagahan. Tarian itu teratur dari segi gerakan dan cantik sekali apabila ditonton.



Soalan yang sentiasa berasak-asak di minda saya, 'Mengapa dalam konteks masyarakat Melayu, lelaki yang suka atau pandai menari sentiasa dikaitkan dengan kekata 'lembut' atau 'lembik'?



Justeru, Huwai yang meraih inspirasi daripada tarian Hawaii ini menunjukkan bahawa tiada label 'lembut' yang harus dikaitkan dengan kegiatan menari.



Sama sahaja seperti kegiatan bermain bola, tarian adalah kegiatan yang boleh dinikmati kaum Adam juga dengan satu lambang pemerkasaan jiwa dan semangat.



Di dalam tarian saya, gelung besar hula ini secara fizikal tidak akan ditampilkan. Gerak tarinya sahaja dipadankan persis tarian hula itu sendiri.



Antara cabaran yang saya hadapi adalah untuk menghimpunkan semua penari dalam satu sesi. Mencari masa di mana semua orang ada masa lapang memang payah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik dengan ketetapan keselamatan yang perlu diperhatikan.



Karya saya kali ini lebih terperinci tetapi saya seronok belajar dalam sesi makmal tari Gelek di mana kami boleh bereksperimen dan mencuba sesuatu yang baru.



S: APA HARAPAN SHAHRUL DALAM MEMASYARAKATKAN SENI TARI?



SHAHRUL: Saya harap usaha mencari pelapis dalam bidang tarian ini dapat diteruskan dengan impian melihat lebih ramai anak muda tertarik melibatkan diri dalam tarian Melayu.



Apabila saya mengajar di sekolah, ada pelajar lelaki yang berminat tetapi mereka bimbang dipanggil 'lembut' atau 'lembik'.



Stereotaip sebegini harus dipupuskan. Penting untuk kita bangun kumpulan anak muda yang dapat meneruskan legasi kita agar dunia tarian Melayu tidak mati dalam masa sedekad atau dua dekad mendatang.



S: APA PENGAJARAN PENTING YANG DIPELAJARI DALAM MENYERTAI 'GELEK'?



SHAHRUL: Maklum balas yang sering saya terima adalah karya tari saya kaya dengan ragam tetapi kerana terlalu banyak sangat unsur yang diterapkan, ia menjadi payah dihadam.



Justeru, dalam 'masterclass' yang saya hadiri, saya belajar untuk tidak rasa sayang mengecualikan ragam tari atau bahan tari tertentu agar fokus persembahan saya tidak lari dan tidak nampak bercelaru.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >