Wajahnya yang ayu telah mewarnai dunia seni Nusantara sejak awal 1990-an lagi, dan hingga kini masih diminati ramai.
Meskipun telah mencecah usia 55 tahun, pelakon kacukan Melayu-Filipina, Datin Seri Maria Farida Atlenza, masih mendapat tawaran berlakon.
Pada 30 November, beliau terlibat dalam persembahan, Sepahtu Reunion Live Di Singapura di Arena@Expo (Dewan 7) .
Sebelum itu, beliau memang sering menjadi artis jemputan Sepahtu dalam beberapa sketsa ‘live’ mereka termasuk bagi edisi Hari Raya.
Ketika ditemui di sesi beramah mesra dengan media di Istana Ballroom pada 29 November, Maria, dengan ramah, berkongsi tentang projek terbaru dan penglibatan beliau dalam dua drama bersiri untuk stesen televisyen Malaysia di samping rahsia kecantikannya.
Beliau juga terbabit dalam empat telefilem pada 2024.
Isteri usahawan, Datuk Seri Rahman Shakur itu, begitu teruja dengan kepercayaan yang diberi kepadanya untuk terus berlakon dan memegang pelbagai watak bersesuaian dengan usianya.
“Selalunya, saya hanya akan terlibat dalam penerbitan dua atau tiga drama setahun.
“Selebihnya, saya tumpukan perhatian kepada keluarga. Itu adalah kebiasaan saya sejak akhir-akhir ini,” jelasnya, yang diperkenalkan dalam filem cinta Hanny pada 1993.
Maria membawa watak sebagai tunang yang menjadi penghalang cinta dua insan, watak yang dilakonkan penyanyi, Ruhil Amani dan pelakon berkaliber, Allahyarham Hani Mohsin.
Maria yang meminati filem bertema muzikal seperti Grease, lakonan John Travolta dan Olivia Newton-John serta The Greatest Showman lakonan Hugh Jackman, juga meminati lakonan Cate Blanchett, Sandra Bullock dan Julia Roberts.
Bagi beliau, barisan pelakon hebat Hollywood itu boleh menggarap pelbagai watak yang mencabar dengan baik, masih memegang peranan utama, meskipun telah berusia.
Menurutnya, usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus berkecimpung dalam dunia lakonan.
“Saya meminati lakonan pelakon berbakat besar seperti Julia, Cate dan Sandra. Mereka bukanlah pelakon muda, namun lakonan mereka hingga kini mampu menambat hati peminat.
“Mereka juga boleh membawakan pelbagai watak dengan meyakinkan seperti watak komedi dan drama.
“Saya anggap pelakon sebegini sebagai pelakon serba boleh. Walaupun mereka merupakan pelakon matang, bakat mereka tetap menyerlah, masih beraksi dan diminati ramai,” ujarnya yang tidak lepas ke kawasan Orchard Road, jika datang ke Singapura.
Singapura juga merupakan destinasi tidak asing lagi untuk ibu seorang anak bujang itu.
Dengan santai, Maria berkata hidangan tulang merah dan makanan di gerai penjaja di Pusat Makanan Newton dan Marina Bay Sands (MBS) menjadi kegemarannya setiap kali ke Singapura.
Kalau ke beberapa negara Eropah pula, beliau santai minum coklat panas sambil mencari ketenangan atau ‘healing’ di samping menikmati keindahan alam.
“Jika di Singapura, saya suka sup tulang merah yang merupakan sajian ‘wajib’. Saya tak akan lupa pergi ke pusat makanan di Newton dan di Marina Bay Sands.
“Jika di luar negara pula, kota London dan Paris memang best. Bukan hanya untuk beli-belah, sekadar duduk minum koko panas bersama roti kroisan dan menikmati pemandangan Menara Eiffel dan sekitarannya sahaja sudah cukup membahagiakan minda dan kesejahteraan jiwa,” katanya.
Buat masa ini, hubungan yang hangat diperkatakan netizen adalah mengenai percintaan anak bujang beliau, Mizan Ashley, bersama anak penyanyi Nurul Wahab dan komposer Ajai, Ayu Nazirah.
Menurut Maria, meskipun beliau merupakan ibu yang amat melindungi anak tunggalnya, beliau tetap menyokong, memahami, menyayangi serta menghormati kemahuan anaknya.
“Apa juga pilihan dan apa juga yang beliau minati dan yang mampu menggembirakan dirinya, saya akan tetap menyokong.
“Siapa juga jodohnya, anak selebriti atau tidak, saya akan menerimanya dengan tangan terbuka, asal sahaja itu yang beliau inginkan dan itu membahagiakannya,” ujar beliau lagi.
Dari segi pemakanan, Maria akui beliau pencinta coklat gelap (dark chocolate) dan meminati hidangan beriani. Beliau juga gemar cemilan meskipun mengamalkan minum air jarang yang banyak dan tidak merokok.
“Saya sebenarnya tidak bersenam dan gemar coklat gelap. Namun, saya tetap mengamalkan minum air kosong yang banyak serta mempunyai rutin penjagaan kulit yang rapi serta jauhi rokok.
“Mungkin saya mempunyai metabolisme yang tinggi. Tetapi yang utama, kita perlu mengamalkan kehidupan yang positif dan tenang di samping perlu jauhi sekitaran yang toksik dan tidak mententeramkan fikiran.
“Ini demi kesejahteraan dan bagi melindungi diri kita sendiri,” tambah jelitawan yang meminati jenama mewah Chanel, Goyard dan Hermes.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg