Topik diikuti
Pergi ke BHkuTawaran menarik sempena ulang tahun Metro ke-65
Tawaran menarik sempena ulang tahun Metro ke-65
METRO Holdings menyambut ulang tahunnya yang ke-65 pada 8 Mac lalu dan untuk merai pencapaiannya, cawangannya di pusat beli-belah Paragon di Orchard Road dan Causeway Point di Woodlands menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi barangan tertentu dari sekarang hingga Ahad ini.
Ini khas buat ahli Metro dan bagi bayaran yang dilakukan menggunakan kad kredit atau debit UOB.
Tawarannya termasuk diskaun 65 peratus bagi jenama pakaian dalam wanita seperti Sorella dan Wacoal, diskaun 25 peratus bagi suplemen kesihatan serta hadiah yang disertakan dengan pembelian.
Selain itu terdapat juga prapelancaran eksklusif bagi jenama kosmetik Shiseido dan Laneige.
Orang ramai boleh mendaftar sebagai ahli di gedung itu dengan berbelanja sekurang-kurangnya $65 - khas sempena ulang tahun Metro - untuk mendapat akses diskaunm segera selaku ahli.
Sebagai sebahagian daripada sambutannya, Metro juga bekerjasama dengan penyanyi serta penulis lagu Singapura, Gentle Bones bagi video muzik animasi yang menampilkan jingle Metro Christmas Magic.
Lagu itu dinyanyikan semula dengan lirik asli untuk disesuaikan kepada warga Singapura yang lebih muda.
Metro bermula sebagai sebuah kedai tekstil yang diasaskan oleh Encik Ong Tjoe Kim pada 1957, apabila ia dibuka di 72 High Street dalam sebuah rumah kedai dua tingkat.
Kedai seluas 250 meter persegi itu dikenali bagi kepelbagaian fabriknya untuk dijadikan pakaian tradisional seperti sarung kebaya dan ceongsam, lapor akhbar The Straits Times.
Pada 1960-an, Metro menyasarkan suri rumah setempat dan Indonesia untuk mengembangkan perniagaannya sedang gedung serbaneka lain seperti Robinsons memenuhi keperluan ekspatriat Britain dan sebahagian warga setempat.
Anak lelaki Encik Ong, Encik Jopie Ong menyertai syarikat itu pada 1964 dan sebahagian besar bertanggungjawabnya adalah untuk mengembangkan divisyen runcit,
Peranannya penting dalam menubuhkan Transmarco, kumpulan yang menguruskan jenama mewah seperti komputer serta jam tangan Piaget dan Cartier.
Beliau turut membimbing Metro Holdings hingga ia disenarai di papan utama Bursa Saham Singapura pada 1973.
Pada tahun yang sama, beliau menjadi pengarah urusan syarikat tersebut.
Di kemuncaknya pada awal 2000-an, Metro mempunyai 11 kedai di Orchard Road dan di kawasan kejiranan.
Pada 2009, Encik Ong Tjoe Kim meninggal dunia pada usia 98 tahun.
Encik Jopie Ong menguruskan perniagaan itu sehingga kematiannya pada 2016, ketika berusia 70-an tahun.
Adik perempuannya, Cik Wong Sioe Hong, kini pengerusi eksekutif divisyen runcit Metro, sementara Leftenen Jeneral (Bersara) Winston Choo - Panglima Angkatan Pertahanan Singapura yang pertama dan paling lama berkhidmat - ialah pengerusi Metro Holdings.
Pada 2019, Encik Yip Hoong Mun, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perancangan strategik, operasi, hospitaliti, pembangunan dan pelaburan hartanah, dilantik ketua eksekutif kumpulan Metro Holdings.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaburan hartanah dalam suasana industri runcit yang amat tidak menentu. I
ni dapat dilihat menerusi penutupan cawangan fizikal bagi jenama seperti Robinsons sehingga menyebabkannya beroperasi sebagai kedai dalam talian.
Kini, Metro meluaskan jangkauannya menembusi pasaran antarabangsa sejauh Malaysia, Indonesia, Australia, China dan Britain.
Selain sektor runcit, perniagaan Metro turut melibatkan sektor pembangunan hartanah, pembinaan, kegiatan sosial, pemasaran dan pengedaran.
Orang ramai boleh melungsuri https://www.metro.com.sg/ bagi maklumat lanjut mengenai tawaran Metro.