Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeater bina empati dan emosi anak
Persembahan pentas dapat rangsang pemikiran kreatif, fahami dan proses perasaan sendiri
Dari zaman sekolah lagi saya memang seorang penggemar teater.
Bermacam-macam pementasan tempatan dan antarabangsa telah saya tonton.
Apabila saya mendapat tahu bahawa Esplanade mempersembahkan teater untuk kanak-kanak, saya pun merebut peluang itu untuk membawa anak saya yang berumur empat tahun.
Saya melakukan ini juga dengan harapan ia dapat memupuk minat terhadap seni dalam dirinya dari awal.
Persembahan teater ‘The Amazing Sarong’ adalah adaptasi buku kanak-kanak yang ditulis oleh Quek Hong Shin dan diterbitkan oleh Epigram Books.
Irfan Kasban merupakan pengarah untuk adaptasi ini.
Ceritanya tentang seorang budak bernama Nora dan abangnya, Adi, yang ingin ke pantai sambil menjelajahi kampung mereka.
Sebelum dia berangkat dari rumah untuk bermain dengan kawan-kawannya, ibunya memberikannya sehelai kain sarung.
Kain sarung itu kemudiannya digunakan dalam pelbagai cara – untuk bermain tarik tali dan nenek-nenek bongkok tiga serta dijadikan kain untuk duduk berkelah.
Nora juga suka kain itu kerana baunya mengingatkan dia tentang ibunya.
Yang menarik tentang persembahan ini ialah penonton duduk di lantai dan semua penonton diajak untuk bergerak bersama dan menghasilkan bunyi sewaktu pementasan berlangsung.
Persembahan ini sangat interaktif dan kanak-kanak tidak sekadar duduk melihat, malah minda mereka aktif memproses visual, audio dan emosi yang dipaparkan di atas pentas.
Keajaiban kesan lampu, rekaan set pentas, kostum dan muzik secara langsung merangsang sel-sel otak penonton untuk berfikir secara kreatif dan menghargai nilai estetika seni.
Saya percaya terdapat banyak faedah untuk dedahkan anak kepada pelbagai bentuk seni.
Seni dapat membina sahsiah dan memberi impak positif yang mendalam terhadap perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
Seni menggalakkan kanak-kanak berfikir di luar kebiasaan, meneroka idea baru, dan menggunakan imaginasi tanpa had.
Persembahan teater, sebagai contoh, merangsang minda si kecil untuk membayangkan situasi, watak dan dunia yang berbeza daripada realiti harian mereka.
Ini menyuburkan pemikiran kritis dan kreatif.
Teater juga membantu kanak-kanak dalam memahami dan memproses perasaan sendiri.
Apabila melihat watak utama menangis, gembira atau ditindas, kanak-kanak belajar untuk menyelami perasaan orang lain, dengan berasa simpati dan empati, dalam kehidupan sebenar.
Ada satu adegan dalam pementasan itu, di mana Nora merajuk kerana dia kalah dalam permainan tarik tali.
Dia enggan bermain dengan kawan-kawannya kerana dia mahu menang.
Anak saya melihat ke arah saya dengan segan silu kerana dia nampak perangainya sendiri yang tidak suka kalah dalam watak tersebut.
Sebagai seorang ibu, ia juga satu peringatan kepada saya bahawa tabiat merajuk ini sangat normal dan sejajar dengan perkembangan kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut.
Selepas pementasan itu, saya pun memberitahunya bahawa semua orang mempunyai perasaan dan semua manusia akan berasa kecewa dalam kehidupan mereka.
Yang penting ialah cara kita bangkit daripada perasaan kecewa itu dan teruskan dengan kehidupan kita.
Jangan jadikan ia satu alasan untuk rebah dan mengalah.
Ini merupakan satu detik sesuai untuk saya mengajar kepadanya tentang cara mengenal dan mengawal perasaan.
Melalui watak di pentas, kanak-kanak belajar mengenali pelbagai emosi seperti kegembiraan, kesedihan, kekecewaan dan kemarahan.
Mereka juga memahami sebab di sebalik tindakan seseorang.
Ini melatih mereka untuk meletakkan diri dalam kedudukan orang lain – asas penting bagi empati.
Menonton persembahan ini juga dapat membina fokus dan daya tumpuan kanak-kanak.
Saya agak terkejut anak saya dan anak saudara saya yang berumur dua tahun setengah dapat mengikuti persembahan satu jam itu.
Mereka sangat tertarik dengan jalan ceritanya dan mengambil bahagian dengan penuh semangat seperti menghayun badan mengikut irama lagu, melambai kain yang diberikan dan memberi jawapan apabila watak-watak berinteraksi bersama penonton.
Menonton teater melatih kanak-kanak untuk mengikut peraturan sosial, seperti duduk diam, tidak buat bising, menghormati penonton lain dan memberi tepukan penghargaan pada waktu yang sesuai.
Pada usia empat hingga lima tahun, kanak-kanak biasanya mudah hilang fokus.
Menonton persembahan langsung yang penuh warna-warni dan muzik dapat menarik perhatian mereka untuk duduk dan fokus bagi tempoh yang lebih lama berbanding kegiatan biasa.
Petang itu, seperti pucuk dicita, ulam mendatang, berlakulah insiden di mana anak saya kalah semasa main bola dan merajuk.
Saya biarkan dia menghayati perasaannya dan beberapa detik kemudian saya dengar suaranya bersorak kegembiraan bersama saudaranya kembali, sama seperti watak Nora dalam teater yang dia tonton pagi itu.
Saya berharap segala pengalaman yang kami sebagai ibu bapa kongsi bersama anak-anak dapat membina sahsiah dan jati diri yang utuh untuk mereka menjadi insan yang berempati dan menghargai emosi mereka dan juga orang-orang di sekeliling mereka.
“
“Persembahan teater, sebagai contoh, merangsang minda si kecil untuk membayangkan situasi, watak dan dunia yang berbeza daripada realiti harian mereka. Ini menyuburkan pemikiran kritis dan kreatif. Teater juga membantu kanak-kanak dalam memahami dan memproses perasaan sendiri. Apabila melihat watak utama menangis, gembira atau ditindas, kanak-kanak belajar untuk menyelami perasaan orang lain, dengan berasa simpati dan empati, dalam kehidupan sebenar.”