Acara SG60 Jalan Amal Lapangan Terbang Changi, atau SG60 Changi Airport Charity Walk akan diadakan pada 27 Julai 2025 bagi mengumpul dana untuk menyokong kanak-kanak berkeperluan khas dan belia berisiko melalui Community Chest Singapore.
Acara jalan kaki interaktif sejauh dua kilometer ini berlangsung di sepanjang Laluan Penghubung Lapangan Terbang Changi, lengkap dengan stesen trivia, juadah tempatan nostalgia dan lampu hiasan yang menarik.
Peserta berpeluang menerima beg perlumbaan bernilai $85 serta cenderahati patung kecil di garisan penamat sebagai tanda penghargaan.
Selain itu, cabaran larian maya sejauh 60 kilometer dibuka sepanjang Julai dan Ogos bagi mereka yang ingin menyertai cabaran secara fleksibel pada masa dan tempat pilihan masing-masing.
Tarikh: 27 Julai 2025
Masa: 6.30 petang hingga 9 malam
Peserta digalakkan tiba dari 6.30 petang untuk pendaftaran dan persiapan sebelum acara bermula secara rasmi pada 7.30 malam.
Tempat: Lapangan Terbang Changi (dari T2 Hub&Spoke ke T4 dan Jurassic Mile)
Daftar di laman Lapangan Terbang Changi.
Sebagai sebahagian daripada Festival Puisi Singapura 2025, sesi khas ini menampilkan penulis dan pengkaji bahasa serta persuratan Melayu, Dr Pitchay Gani, yang akan membincangkan kepentingan sejarah dan nilai budaya puisi Melayu di Singapura.
Turut hadir dua penyair muda, Mysara Aljaru dan Raditya Secondatama, yang akan membacakan karya mereka yang mencerminkan pengalaman dan cabaran menulis puisi Melayu dalam konteks masyarakat Singapura masa kini.
Program ini memberi peluang kepada penonton untuk lebih memahami peranan puisi dalam menggambarkan identiti dan jiwa bangsa.
Sesi akan dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Tarikh: 27 Julai 2025
Masa: 10 pagi hingga 11 pagi
Tempat: Imagination Room, Tingkat 5, Bangunan Perpustakaan Negara
Acara gaya hidup ini kembali dengan edisi baru yang berlangsung selama tiga hari di Suntec Singapore.
Pengunjung boleh menjangkakan pelbagai juadah jalanan, fesyen bergaya, barangan kraf tangan serta pilihan gaya hidup unik yang semuanya dihimpunkan di bawah satu bumbung.
Selain membeli-belah dan mencuba makanan, acara ini turut menampilkan persembahan muzik secara langsung dan suasana santai yang sesuai untuk seisi keluarga atau rakan-rakan.
Sesuai untuk mereka yang ingin mengisi hujung minggu dengan kegiatan santai sambil menikmati pelbagai tarikan di bawah satu bumbung.
Tarikh: 25 hingga 27 Julai 2025
Masa: 12 tengah hari hingga 10 malam
Tempat: Dewan 404 dan 405 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura
Raikan Ilmu@Heartlands kembali ke Northpoint City dengan pelbagai kegiatan pembelajaran interaktif untuk seisi keluarga.
Bersama lebih 60 rakan masyarakat, korporat dan nasional, acara ini menampilkan lebih 100 kegiatan merangkumi lima pavilion utama – Masa Depan Pembelajaran; Kerjaya dan Pembangunan Diri; Kesihatan dan Kesejahteraan; Kelestarian dan Alam Sekitar; serta Seni Kreatif dan Budaya.
Daripada simulasi realiti maya hingga bengkel kreatif dan studio penyiaran mini, acara ini membuka ruang kepada pengunjung untuk mencuba sesuatu yang baru sambil mengenali dunia pembelajaran dalam bentuk yang lebih segar dan terangkum.
Tarikh: 26 dan 27 Julai 2025
Tempat: Northpoint City


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg