Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Terlepas peluang 'Big Stage', mungkin ada rezeki Gegar Vaganza...

Pada minggu lalu, peraduan realiti 'Gegar Vaganza 9' (GV9) melabuhkan tirainya setelah peserta Singapura, Fuad Rahman dan Hazrul Nizam, menunjukkan prestasi yang membanggakan. Sebelum ini, Ferhad, Hetty Sarlene, Hady Mirza, Jatt Ali dan Aliff Aziz telah mengharumkan nama Singapura dalam peraduan berkenaan. Siapa agaknya bakat Singapura yang layak diketengah bagi GV musim-musim mendatang? BERITA HARIAN melaporkan.
Dec 05, 2022 | 05:30 AM



BEBERAPA tahun lalu, peserta Singapore Idol (Musim Ketiga), Farhan Shah pernah ditawarkan untuk menyertai peraduan realiti Astro buat 'Budak Baru Nak Up' (BBNU), Big Stage Musim Kedua.



Pada ketika itu, peserta Korea, Han-byul dijulang sebagai juara.



Pada tahun yang sama, beliau juga pernah diundang masuk gelanggang SG Mania 3, di mana alumni Akademi Fantasia 2016, Rahila Rashun, bergelar juara.



Memang sayang dua peluang itu terbiar melayang begitu sahaja.



Namun, Farhan akur kemungkinan besar bukan rezekinya pada masa itu kerana Allah sudah atur yang lebih baik untuknya dalam perjalanan seni selanjutnya.



Maka ditanya pula apakah Farhan, 30 tahun, yang pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik Singapura pada Anugerah Planet Muzik (APM) menerusi 'single' Racun, bersedia untuk ke pentas besar Gegar Vaganza (GV) 10 atau musim selanjutnya pula?



Farhan menjelaskan kepada Berita Harian (BH) bahawa dirinya tidak fikir hingga ke skala sebesar itu.



"Memang pada saat akhir Big Stage 2 bakal diadakan, saya terpaksa menarik diri kerana berasakan saya belum benar-benar bersedia untuk bertanding. Sebelum itu, saya tolak lamaran SG Mania 3 sebab nak fokus pada Big Stage 2.



"Dalam Big Stage 2, ada Han-byul, Aziz Harun dari Brunei, Neeta, Irfan Haris, Nursyuhada Amir Amzah (adik Shila Amzah) dan ramai lagi...siapalah Farhan Shah nak bersaing dengan mereka? Macam-macam nak kena buat. Bolehkah saya lakukannya?



"Pihak penerbitan akur dengan keputusan saya dan mengusulkan agar saya beritahu mereka bila-bila masa saya bersedia untuk bersaing, mungkin dalam masa setahun dua selepas itu," katanya.



Kemudian pandemik Covid-19 pula melanda sehingga menjejas penyertaan peserta Singapura kerana penutupan sempadan.



Bagaimanapun, kemungkinan juga dengan usianya yang lebih matang kini, beliau lebih layak berada di pentas GV.



Kata Farhan:



"Kalaulah memang ada rezeki, saya memang takkan tolak lagi. Saya nak juga tahu di mana saya berdiri dalam dunia hiburan serantau atau persada seni di Malaysia.



"Alhamdulillah, apabila melihat Hazrul dan Fuad bertanding tahun ini, ia memberi harapan buat bakat Singapura seperti saya untuk beranikan diri sebab orang luar pun dah boleh terima kita dan kita takkan diketepikan."



Melihat pada kepopularan lagu Farhan di Spotify, beberapa lagu seperti Pertama, Istimewa dan Terjatuh Hati mendapat sambutan yang menggalakkan.



Sewaktu pandemik, lulusan Sarjana Komunikasi Pemasaran ini mengusahakan trilogi video Istimewa (2015), Terjatuh Hati (2016) dan Racun (2018) untuk sebahagian acara percuma Cipta Cita yang diadakan Esplanade sempena sambutan Bulan Bahasa.



Trilogi tersebut diberi judul FS Visual Trilogy.



"Saya berharap dapat usahakan karya baru selepas ini. Saya menanti masa terluang berbincang dengan penerbit saya.



"Sebelum Hazrul Nizam bertanding bagi GV9 pun, kami ada berbincang tentang kolaborasi lagu bersama. Harap-harap ini akan menjadi nyata.



"Bagi saya, GV adalah platform baik untuk ramai artis Singapura yang kreatif dan berkebolehan besar. Antara yang saya rasa wajar diketengahkan adalah Yanni Bakri dan Hyrul Anuar.



"Mereka berpengalaman. Hyrul juga ligat menari dan merancang persembahan pentas sebagaimana kita lihat di Esplanade. Bagi saya, bakat kita boleh berdiri sama tinggi dengan bakat di Malaysia," jelasnya yang dalam perkembangan terkini kini berlakon dalam drama siasatan Special Investigation Section (SIS) bersama idolanya, Vernetta Lopez.



Buat pengetahuan ramai, Farhan bersama rakan-rakan kumpulan Soulmstrs pernah bertanding dalam Kejuaraan Seni Pementasan Sedunia (WCOPA) di Hollywood serta membawa pulang lima pingat emas dan dua pingat perak.



"Bezanya, dalam peraduan tersebut, kita tak tahu kekuatan pesaing kita. Ini berbeza dalam peraduan di Singapura atau serantau di mana kita tahu siapa pesaing kita dan potensi mereka. Di WCOPA, kita mungkin tidak mengenali peserta antarabangsa itu tetapi jangan remehkan kebolehan mereka," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >