Masuki dunia mitos, legenda dan cerita rakyat di All Things Singapore (AT SG) 2026 dan teroka kisah serta tradisi yang membentuk warisan Singapura.

Bertemakan Mitos dan Legenda, AT SG menghidupkan kisah-kisah Singapura menerusi pemasangan seni imersif, pengalaman interaktif, persembahan secara langsung dan kegiatan amali di Bangunan Perpustakaan Negara serta Arkib Negara Singapura (NAS).

Acara yang rata-rata diadakan pada sebelah malam itu dianjurkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan diadakan bersempena dengan Festival Malam Singapura 2026.

Ia berlangsung dari 21 Ogos hingga 5 September.

Berikut program yang diadakan secara percuma dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Pulau-Pulau Memori dan Mitos

Pameran ini mengubah kawasan atrium menjadi peta interaktif di mana setiap persinggahan menyingkap legenda tempatan yang berbeza.

Pengunjung akan menemui kisah-kisah serta cerita rakyat berasaskan tempat yang dipadankan dengan rekod sejarah autentik daripada koleksi Arkib Negara.

Ini membolehkan pengunjung meneliti hubungan dan perbezaan antara tradisi lisan masyarakat dan sejarah yang didokumentasikan.

Tarikh: 21 Ogos - 5 September 2026

Masa: 10 pagi - 9 malam setiap hari, 10 pagi - 11 malam pada Jumaat dan Sabtu

Lokasi: Arkib Negara Singapura

Legenda Ikan Todak

Berlumba dengan masa untuk menyelamatkan Hang Nadim!

Pengembaraan interaktif ini berlangsung di seluruh bangunan dan diadaptasi daripada bahan sejarah dalam koleksi NLB.

Peserta menyertai Hang Nadim ketika dia melarikan diri daripada seorang raja yang murka selepas menyelamatkan penduduk Temasek daripada serangan ikan todak yang membawa maut.

Peserta perlu menyelesaikan teka-teki, mentafsir petunjuk pada mikrofilem dan mengharungi cabaran tersembunyi merentasi pelbagai aras bangunan untuk mengubah nasib tragis kanak-kanak lelaki itu.

Tarikh: 21, 22, 28, 29 Ogos & 4, 5 September 2026

Masa: 7 malam - 11 malam

Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara

Peserta program pengembaraan ini perlu menyelesaikan teka-teki, mentafsir petunjuk pada mikrofilem dan mengharungi cabaran tersembunyi merentasi pelbagai aras bangunan untuk mengubah nasib tragis Hang Nadim.
Peserta program pengembaraan ini perlu menyelesaikan teka-teki, mentafsir petunjuk pada mikrofilem dan mengharungi cabaran tersembunyi merentasi pelbagai aras bangunan untuk mengubah nasib tragis Hang Nadim. - Foto NLB

Pulau Subar - Meena & Leena

Persembahan teater bergerak yang diadakan secara langsung ini diterbitkan dengan kerjasama Muzium Kanak-Kanak Singapura.

Bergerak dari Lewin Terrace ke ruang arkib, skrip persembahan ini mengikuti legenda klasik Pulau Subar.

Penonton dapat menyaksikan Meena mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Leena ketika mereka menyerahkan diri kepada lautan, melalui penggunaan bayang-bayang yang menghidupkan ikatan adik-beradik itu.

Tarikh: 21, 22, 28, 29 Ogos & 4, 5 September 2026

Masa: 8 malam – 8.30 malam

Lokasi: Arkib Negara Singapura

Buku Cerita yang Dipinjam

Apabila sebuah buku kanak-kanak ajaib dipinjam secara tidak sengaja dari rak perpustakaan, mitos-mitos Singapura yang telah dilupakan mula muncul ke dunia nyata.

Dalam persembahan pentas terbuka secara langsung ini, saksikan sekumpulan pustakawan merungkai rangkaian kejadian ajaib dalam satu siasatan yang membawa mereka ke mercu tanda bersejarah, sudut-sudut bandar yang tersembunyi dan pertemuan dengan dengan legenda serantau.

Tarikh: 22 Ogos 2026

Masa: 8.30 malam - 10 malam

Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara

Bina Peta Fantasi Sendiri

Peserta bengkel kreatif ini boleh menghasilkan peta bersejarah imaginatif mereka sendiri.

Mereka boleh mendapatkan ilham daripada peta arkib lama dalam koleksi Perpustakaan Negara yang menampilkan unsur imaginatif dan ilustratif.

Tarikh: 28 Ogos 2026

Masa: 7:00 malam - 10:00 malam

Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara

Olah Semula Mitos Tempatan

Kegiatan kolaboratif ini mencabar peserta untuk menjadi pencerita dan mengolah semula mitos serta legenda yang dikenali dalam rantau ini.

Peserta boleh menambahkan kelainan plot mereka sendiri, membayangkan semula watak-watak yang disayangi atau mencipta pengakhiran yang tidak dijangka sebagai sebahagian daripada karya seni kolaboratif yang meraikan perspektif baru terhadap kisah-kisah yang tidak lapuk dek zaman.

Tarikh: 29 Ogos 2026

Masa: 7 malam - 10 malam

Lokasi: Bangunan Perpustakaan Negara

Untuk maklumat lanjut, lungsuri https://go.gov.sg/nlb-atsg2026.