Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tersirat kupasan isu ‘berat’ dalam tarian belia

Keluhuran seni tari, kreativiti seniman muda, menambah segar persembahan ‘ITE Dance Emblazon 2024’
Oct 9, 2024 | 5:30 AM
Persembahan menyegarkan lagi kreatif 11 kumpulan tarian daripada beberapa kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sewaktu konsert tari, ‘ITE Dance Emblazon 2024’, pada 28 September di Auditorium Tay Eng Soon, di Ibu Pejabat ITE  di Ang Mo Kio.
Persembahan menyegarkan lagi kreatif 11 kumpulan tarian daripada beberapa kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sewaktu konsert tari, ‘ITE Dance Emblazon 2024’, pada 28 September di Auditorium Tay Eng Soon, di Ibu Pejabat ITE di Ang Mo Kio. - Foto SHAYNE POH

Segar, bertenaga lagi berwarna!

Begitulah pendapat saya mengenai persembahan konsert tari, ITE Dance Emblazon 2024 pada 27 September di Auditorium Tay Eng Soon, di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio.

Ia dianjurkan Pusat Muzik dan Seni (CeMTA), ITE.

Bersandarkan tema acara ,Then and Now, saya dibawa mengembara masa melihat kerja seni yang pernah dipersembahkan dahulu disuntik dengan nafas baru oleh 11 kumpulan tarian di serata kolej ITE di Singapura.

Mereka terdiri daripada Urban Central Statements, Westari, Korean Dance Wave, Central Kpop Dance, ITE Modern Dance, East Squad, Andayu Seni, K-East, Tra-irat, West Styles District dan yang terbaru, Astral Phoenix, sebuah kumpulan tarian Cina dari ITE Kolej Timur yang menghiasi acara ITE Dance Emblazon buat kali pertama.

Daripada unsur tradisional hingga moden, setiap daripada mereka menampilkan keunikan tersendiri yang layak diberi pujian.

Meskipun tirai konsert sudah dilabuhkan, pesanan yang disisipkan melalui seni tari yang dipersembahkan kini dijadikan renungan dan sandaran bagi penari dan pereka tari menyuntik ilham untuk karya selanjutnya. 

Awalnya, konsert tari itu dibuka dengan penari yang berjalan dalam barisan dari satu sudut auditorium ke sudut yang lain. 

Secara simbolik, saya menganggap ia sebagai cerminan masa.

Setiap jejak yang diorak adalah gambaran detik waktu yang menyumbang kepada perubahan dan kematangan seseorang dalam hidup.

Bak ungkapan, ‘lain dahulu lain sekarang’, pelbagai tanda tanya ditimbulkan.

Salah satu persembahan yang menarik perhatian saya adalah, Echoes of Hope, yang dipersembahkan kumpulan Korean Dance Wave dari ITE Kolej Barat, di bawah pimpinan pereka tari, Haikal Razali.  

‘Echoes of Hope’, sebuah persembahan tarian dengan koreografi terbuka oleh Korean Dance Wave (ITE Kolej Barat), hasil ciptaan Haikal Razali, melakarkan kepentingan kebersamaan dalam mengharungi masa-masa kelam dalam kehidupan.
‘Echoes of Hope’, sebuah persembahan tarian dengan koreografi terbuka oleh Korean Dance Wave (ITE Kolej Barat), hasil ciptaan Haikal Razali, melakarkan kepentingan kebersamaan dalam mengharungi masa-masa kelam dalam kehidupan. - Foto @CHILLI.DGTALDIARY

Terkelu saya dibuatnya merenung isu semasa yang berat tentang kesihatan mental dan kemelut yang membelenggu anak muda hingga mendorong seseorang untuk mengakhiri hayatnya.

Seperti judulnya, tarian ini berjaya menyisipkan sentuhan harapan kepada penonton.

Naik turun emosi yang dirasakan watak utama, disampaikan dengan mimik wajah penari yang menandakan ekspresi suka dan duka.

Di akhir persembahan, saya terheret ke dalam bayangan fatamorgana, antara dunia realiti dan imaginasi, apabila watak lelaki dalam tarian itu dapat diselamatkan oleh teman wanitanya daripada terjerat bayangan hitam untuk menamatkan hidupnya.

Saya tabik dengan hasil karya seni ini kerana ia ibarat masakan yang cukup rencah dari segi rasa. 

Pesan yang ingin disampaikan Haikal berjaya dibawakan oleh penari-penarinya yang pintar mengolah rasa dalam teknik pergerakan dan mimik muka yang dinamik.

Ditambah dengan kesan pencahayaan yang bernas, setiap perasaan yang ingin disampaikan terasa hingga ke relung hati.

Selain itu, ada juga persembahan yang mencuit hati dan menyampaikan gambaran masyarakat secara ringan dan bersahaja.

Begitulah kesan tarian yang dibawakan K-East dalam Rhythms of the City dan direka oleh pereka tari sekali gus pengarah muzik bagi konsert tari, ITE Dance Emblazon 2024, Alif Aircho bersama Nursyahidah (Syae).

Apa yang saya gemari dalam persembahan ini adalah latar muzik dan kesan bunyi yang bernuansa ‘Singapura’ seperti pengumuman dalam MRT, bunyi burung tuwu di pagi hari dan suara riuh-rendah di Kopitiam. Persembahan yang berwarna lagi bertenaga!

Ada pula tarian Melayu yang agak kontemporari yang dipersembahkan oleh Tra’irat berjudul Harapan.

Persembahan tarian berjudul ‘Harapan’ oleh kumpulan tarian Melayu, Tra’irat dari ITE Kolej Central, teroka pahit manis kehidupan selepas tragedi kehilangan insan yang disayangi.
Persembahan tarian berjudul ‘Harapan’ oleh kumpulan tarian Melayu, Tra’irat dari ITE Kolej Central, teroka pahit manis kehidupan selepas tragedi kehilangan insan yang disayangi. - Foto @_ITZEDMUND

Berkisarkan harapan dan kecekalan hati menghadapi tragedi selepas kehilangan seseorang yang disayangi, tarian ini meneroka pahit manis kehidupan melalui teknik beragam seperti berendah dan gerakan yang tangkas.

Mungkin lebih menarik lagi jika gerakan ini dapat diteroka lebih mendalam dari segi tujuan dan dinamik seperti menimang gerak yang halus mahupun kasar serta menjaga keseimbangannya.

Secara tidak langsung, seni tari Singapura sudah semakin berkembang apatah lagi anak muda kini lebih berani menampilkan isu semasa yang dianggap tabu dalam sesebuah persembahan.

Inilah keluhuran seni tari, yang mencabar daya kreativiti anak seni untuk meneroka topik yang kurang menyenangkan dalam masyarakat melalui karya tari sambil menyelit pesanan secara tepat dan tersirat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg