NAMANYA mekar dan harum pada akhir tahun 90’an, dan sehingga kini masih diingati peminatnya, walaupun sudah lama berhijrah ke Singapura.
Penyanyi Wan Rashidah Meor Abdul Rashid atau Wann, 53 tahun, terkenal dengan suara serak-serak basahnya ternyata mempunyai suara yang unik dan masih laku hingga ke hari ini.
Berasal dari Kuala Kangsar, Perak dengan lagu Lamunan Hati, Bossanova (nyanyian asal Puan Sri Saloma) dan banyak lagi, Wann kini lebih selesa menghabiskan masanya bersama keluarga di rumahnya, di Yishun.
Dengan nada gembira ketika ditemui di acara seni anjuran MakMok Productions di Iris Ballroom, City Plaza, beliau berkata dirinya bakal menjadi nenek sebelum akhir tahun ini.
Wann berkata beliau hanya akan menerima undangan nyanyian jika masa dan syarat yang beliau sarankan, sesuai dan mampu ditunaikan oleh pihak penganjur. Bagi dirinya, mengejar populariti bukan lagi matlamat utama yang perlu digalasnya. Malah, beliau lebih gembira menghabiskan masa bersama keluarga atau melancong ke destinasi yang ingin diterokai bersama.
“Saya sudah berada di industri hiburan bermula pada 1988 lagi. Saya sudah merasai pahit manis kehidupan sebagai seorang artis. Kini, saya hanya menerima undangan untuk acara korporat atau jika masa yang bersesuaian, dan bayaran perlulah setimpal dengan kewibawaan saya sebagai seorang penyanyi. Saya dah tak larat nak kejar-kejar populariti ini. Jika saya boleh buat persembahan, saya akan lakukan. Keluarga tidak pernah menghalang saya menyanyi. Namun, saya sendiri yang membuat pilihan ini.
“Kededua anak pun sudah besar. Ada yang sudah berkahwin dan bekerja. Jadi apa yang saya mahukan kini adalah kehidupan yang lebih tenang, bahagia dan menunggu dengan ceria kehadiran cucu pertama, pada September nanti, insyaAllah,” jelas Wann, yang walaupun sudah berusia 53 tahun, tetap anggun dan menarik perhatian ramai.
Pada Raya yang lalu, Wann tidak sempat balik kampung tapi sempat beraya di Kuala Lumpur untuk bertemu keluarganya. Beliau juga mengakui lebih selesa kini tinggal di negara ini.
“Saya rasa selamat dan bebas untuk ke mana-mana di sini. Saya sudah hampir 30 tahun duduk di Singapura. Jadi kawasan di Yishun ini bak kampung saya, dan menaiki MRT dah biasa sangat. Jadi, jika saya berada jauh dari sini, memang perasaan nak balik rumah (di Singapura) memang sentiasa menebal. Semua kemudahan mudah didapati di negara ini,” tambah Wann yang merupakan juga Penduduk Tetap Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg