Topic followed successfully
Go to BHkuTidak lupa susah payah, kenang jasa di puncak jaya
Tidak lupa susah payah, kenang jasa di puncak jaya
Komposer dan penyanyi M'sia, Aina Abdul, ingin kongsi inspirasi bersama peminat S'pura
Tidak lupa susah payah, kenang jasa di puncak jaya
JERIH payah yang dilalui dalam membina nama dalam industri muzik serantau serta keinginannya untuk meluahkan suara hati dalam lagu masih terpahat di ingatan komposer dan penyanyi Malaysia yang kian menjadi sebutan, Aina Abdul.
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 28 tahun, kenangkan keringat dan tangisan yang mengalir serta kerja keras yang dilaburkan sewaktu menyanyi di kelab malam dan 'lounge' jaz suatu ketika dahulu.
"Saya tetap hargai dan syukuri tempoh dan proses menjadi seorang Aina Abdul kini. Ia bukan datang sekelip mata. Saya berada di depan orang ramai untuk nyanyikan 20 hingga 30 lagu dan dibayar antara RM50 hingga RM100 ($15.30-$30.60) di kelab malam dan 'lounge' jaz ketika itu untuk dikongsi bersama anggota band yang lain.
"Nampak macam perit tetapi apabila saya fikirkan kembali detik itu, ia adalah tempoh paling gembira dalam hidup saya. Di situlah, taman permainan saya untuk meluah rasa sebagai Aina tetapi banyak lagi yang perlu diusahakan dengan pelbagai jalanan berliku untuk jadikan diri saya Aina Abdul yang anda lihat hari ini," katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.
Wawancara ini dibuat di ambang kehadiran Aina untuk tiga acara di Singapura - konsert Ungu (di mana beliau akan berduet dengan Pasha) pada Sabtu ini; sesi bertemu peminat pada Ahad ini dan konsert amal President's Star Charity pada 30 Oktober ini.
AKHIRNYA DAPAT HIBURKAN PEMINAT SINGAPURA
"Sebenarnya, saya lebih daripada teruja kerana peluang pertama menyanyi di Singapura. Kalau sebelum ini saya hadir ke Singapura sebagai pelancong, inilah julung-julung kalinya saya datang sebagai Aina Abdul untuk menghiburkan ramai.
"Memandangkan saya dilahirkan di Johor Bahru dan rumah dahulu di Kampung Melayu, terasa macam Singapura ni begitu dekat tetapi sayangnya jauh. Ia negara sangat dekat untuk saya kunjungi tetapi macam jauh nak sampai.
"Bagaimanapun sewaktu saya di Istana Budaya untuk konsert A Night With Aina Abdul 2.0, saya terharu apabila dapat tahu ada sekumpulan peminat yang duduk di depan dan datang dari Singapura.
"Saya ingat mereka bekerja di Malaysia tetapi mereka beritahu saya, kembara ke Istana Budaya itu dibuat semata-mata untuk tonton saya. Keesokan hari mereka dah pulang ke Singapura. Terharunya saya. Maka kini, mereka boleh tunggu saya di Singapura," jelas Aina dengan nada teruja.
Sesi pertemuannya bersama peminat Singapura yang dianjurkan SAH Enterprise diadakan pada Ahad ini di Muslim Delights@Civil Service Club Changi.
Beliau juga bagaikan tidak percaya apabila diundang menyanyi bersama Pasha, vokalis Ungu, yang dihormati.
"Saya tidak tahu siapa yang menyarankan nama saya untuk konsert Ungu ini. Saya memang membesar dengan lagu mereka dan tahu duet Pasha bersama Rossa dan Lesti Kejora. Sebak juga dapat terlibat dalam konsert ini kerana ia bukan calang-calang peluang," jelasnya yang pernah ke Singapura untuk satu pertandingan koir serantau peringkat universiti.
Pada masa itu, beliau merupakan pelajar Sarjana Muda Muzik Kontemporari di Universiti UCSI.
ISU SOSIAL DIPERJUANG
Dalam mengimbas perjalanan seninya, Aina gembira dapat mengetengahkan isu sosial seperti kesihatan mental dan penderaan fizikal, emosi serta lisan dalam lagu-lagu 'hit' Sumpah dan Semalam.
Sumpah sudah distrim lebih 3.5 juta kali manakala Semalam pula telah distrim hampir 8.2 juta kali di Spotify.
"Apabila Sumpah meletup, saya anggap ia berlaku sangat cepat setelah menunggu lama untuk kerjaya saya dilancarkan. Ia bak lagu ajaib yang menembusi pasaran dan saya tidak akan melupakan Kak Yong, orang kuat banyak program terbitan TV3.
"Beliau beri saya peluang muncul di Muzik Muzik. Saya terkejut masih ada pengikut dan peminat dari zaman saya jadi naib juara Mentor Legend pada 2015. Sepuluh hingga 15 peminat setia inilah yang tidak putus-putus undi saya sampailah saya masuk peringkat akhir Anugerah Juara Lagu," cerita Aina.
Sumpah merupakan lagu yang mengupas isu kesihatan mental dengan tumpuan diberi pada kecelaruan skizofrenia (ketidakaturan minda yang menyebabkan delusi atau halusinasi pendengaran).
Semalam, tambah Aina, pula ditujukan kepada individu yang melalui keganasan keluarga dengan penderaan fizikal, emosi dan lisan yang meremuk hati.
"Saya sangat sayangkan lagu Semalam ini sebab ia satu lagu yang saya hasilkan dalam konteks saya tidak mengalami masalah ini tetapi ingin menyampaikan sesuatu untuk menyanjung kecekalan mereka yang mengharungi keganasan keluarga.
"Saya memang tertarik pada isu semasa dan suka menonton dokumentari jenayah. Kebiasaannya isu sebegini menjadi topik terlarang untuk dibincangkan secara terbuka.
"Sebagai seseorang yang mengamati perkara ini dan mempunyai beberapa teman yang alami sendiri masalah ini, maka saya terpanggil untuk hasilkan Semalam," dedahnya.
Selanjutnya, Aina kepingin menghasilkan lagu tentang seseorang yang mempunyai hubungan cinta yang sudah lama terbina tetapi nikmat dan keindahannya sudah pudar setelah sekian lama menyulam kasih.
STRES CIPTA LAGU TOK TI
Sambil perbualan petang itu dilanjutkan, Aina turut berkongsi bahawa beliau baru sahaja membeli piano pertamanya untuk menggalakkannya mencipta lebih banyak lagu. Impiannya adalah bagi menghasilkan albumnya sendiri.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang reaksinya ketika Datuk Seri Siti Nurhaliza memintanya mencipta lagu buat beliau, Aina berkata:
"Sememangnya awalnya saya teruja sebab ini peluang besar dan saya juga peminat besar Tok Ti.
"Tapi lama kelamaan saya jadi stres pula. Hampir setiap hari akan ada yang bertanya tentang lagu untuk Tok Ti sampaikan saya tertekan.
"Sebabnya, saya sendiri ambil masa untuk cipta lagu saya sendiri. Apabila alhamdulillah saya dapat banyak peluang menyanyi dan kerja semakin banyak, saya tak naklah kelam-kabut bikin lagu untuk nama besar sepertinya. Lagu itu mesti nak sesuai dan bermakna buatnya.
"Saya tidak menetapkan jangkaan lagu itu kelak akan meletup tetapi mestilah ada makna buat Tok Ti. Saya akan beri beliau beberapa lagu ciptaan saya dan Tok Ti boleh pilih mana yang berkenan di hatinya."
TELADANI ARWAH AYAH, INGAT NASIHAT IBU
Sebelum mengakhiri sembang, Aina turut mengingati jasa dan kecekalan bapanya yang meninggal dunia pada 2008 kerana pelbagai penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.
"Ayah saya memang tak banyak berbual. Beliau juga hidup dengan satu kaki. Apa yang saya ingat hingga hari ini adalah bagaimana dalam keadaannya yang sakit itu, beliau dapat mengemudi rumah tangga dan menjaga anak-anak dengan baik.
"Saya tak dapat bayangkan kalau saya dalam kedudukannya, apakah saya dapat menjalankan tanggungjawab seharian saya dengan baik," katanya.
Nasihat ibu yang disifatkan sahabat baik dan peminat 'Nombor 1'-nya pula dipegang.
"Ibu kata ke mana saya pergi, baik bertemu seorang bos atau pekerja pembersihan, jangan lupa beri salam dan senyum.
"Orang mungkin salah anggap muka saya garang atau saya nampak sombong tetapi kalau orang kenali saya, mereka akan tahu saya 'chill' dan santai serta suka berbual dengan orang ramai," jelas Aina yang sudah dilamar untuk menghasilkan runut bunyi (OST) filem seram Indonesia.
Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 juga bakal disiarkan di saluran Astro First pada 20 Oktober ini.

