Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tiga suara rakam 'Kehilangan' sahabat seni

Finalis Suara 2.0 dan bakat S'pura gabung tenaga bagi projek khas peringati pemergian 'rapper' Nadya Dean
Feb 27, 2022 | 05:30 AM



SEBAK dan merentap tangkai hati. Itulah yang dirasakan tiga sahabat seiring jalan tatkala merakam lagu Kehilangan yang ditujukan khusus buat teman yang sudah empat bulan meninggalkan mereka untuk menyahut panggilan Ilahi.



Masih terpahat di ingatan tiga sekawan, Danial Baharin, Fairus Adam dan Amir Mansor, akan keceriaan dan semangat juang Nadya Dean, teman mereka yang sama-sama bertanding di peringkat akhir adu bakat Wisma Geylang Serai, Suara 2.0, tahun lalu.



Nadya, 27 tahun, seorang 'rapper' yang pernah mewakili Singapura ke Kejohanan Karaoke Sedunia (KWC) 2015, sentiasa penuh dengan idea dan inspirasi memajukan muzik Singapura.



Misinya dan suami, Nashriq Sani, seorang pemuzik, adalah bagi mencipta lagu, lantas mengetengahkan artis Singapura yang memiliki suara dan bakat, tetapi kurang menerima pengiktirafan di sini.



Sayangnya, impian murninya itu tidak kesampaian apabila Nadya meninggal dunia pada 31 Oktober tahun lalu kerana eklampsia iaitu serangan koma tiba-tiba pada wanita hamil.



Ia disebabkan tekanan darah terlalu tinggi sehingga mengganggu aktiviti otak.



Awal dari itu, Allahyarhamha melahirkan anak keduanya yang pramatang setelah dalam kandungan selama tujuh bulan. Beliau pitam selepas beberapa hari melahirkan anaknya itu.



'Kehilangan', yang kini boleh didengar di YouTube dan Spotify, merupakan lagu yang digubah Amir.



Liriknya pula ditulis bersama seorang lagi bakat tempatan, Anissul Asaad, Amir dan Danial.



Kedengaran sayup-sayup kesyahduan tiupan pemain seruling, Dino Uzair.



Ketika ditanya bagaimana idea mencipta lagu ini tercetus, Danial, 33 tahun, menjelaskan Anissul meminta mereka melengkapkan lirik lagu yang sudah beliau coretkan khusus buat Allahyarhamha Nadya.



TIUPAN SERULING TAMBAH 'FEEL'



"Kami ambil masa seminggu merakamnya dan mengajak peniup seruling Dino Uzair untuk menambah 'feel' pada lagu Kehilangan ini. Kami bersyukur kerana dapat libatkan lebih ramai bakat Singapura dalam projek istimewa ini," jelas Danial yang dihubungi Berita Minggu.



Fairus, 38 tahun, yang sudah mengenali Nadya sejak mereka sama-sama menjadi wakil Singapura ke Kejohanan Karaoke Sedunia menjelaskan:



"'Kehilangan' melambangkan pemergian seseorang atau sesuatu yang tidak akan kembali lagi.



"Masih terngiang-ngiang lagi suara Nadya, gelak tawa dan senda guraunya.



"Saya masih ingat lagi perkongsian Nadya tentang hasratnya menaiktarafkan muzik Singapura. Ia niat yang sangat murni."



Amir, 27 tahun, pula akur sesuatu yang disayangi dan akrab, jika hilang, memang payah dicari ganti.



"Semangat dan cinta Nadya terhadap muzik memang luar biasa. Salah satu peristiwa yang memberi kesan buat saya adalah ketika kami sama-sama menghadiri bengkel anjuran WGS.



"Memang arwah merupakan seorang sahabat seni yang tidak lokek ilmu dan ingin sama-sama maju bersama teman lain," cerita Amir pula.



Danial pula cukup terkesan dengan pemergian Nadya kerana sahabatnya itu yang banyak menyuntik semangat baru buatnya terus berkarya.



Nadya malahan meninggalkan sesuatu yang amat berharga buat Danial iaitu ciptaan lagu kerohanian 'Demi RahmatMu' yang merupakan 'single' sulungnya.



"Kehilangan Nadya adalah suatu perpisahan yang tidak diduga. Apabila kita mengalami kehilangan, ia mungkin melemahkan atau menguatkan seseorang.



"Seminggu sebelum beliau pergi, arwah sempat memberikan saya kata-kata semangat agar terus memperjuangkan muzik. Beliau mendoakan kebahagiaan saya dan semoga rumah tangga yang saya bina tidak lama lagi akan berkekalan sehingga ke Jannah.



"Sebak sangat sebab Nadya ucapkan terima kasih atas persahabatan singkat yang kami bina ini dalam pesanan WhatsApp-nya," tambah Danial.



Menurutnya, keistimewaan Kehilangan ini terletak pada gabungan tiga suara berbeza.



"Arwah Nadya pernah beritahu kami beliau nak gandingkan suara kami bertiga dalam sebuah lagu. Alhamdulillah, kami dapat merealisasikannya walaupun arwah tidak dapat mendengar 'produk' gabungan suara ini.



"Bagi kami, 'Kehilangan' mencabar penyampaian kami dari segi emosi. Kami berusaha memberi sebaik mungkin pada lagu ini.



"Apabila tamat rakaman, kami mendengarnya bersama-sama. Sedih sangat sebab lagu ini menusuk kalbu. Bayangkan kalau perlu menyanyikannya secara 'live'," kongsi Danial.



INGIN TERUSKAN CITA-CITA



Mereka bertiga kini ingin meneruskan cita-cita Nadya untuk menonjolkan bakat tempatan yang tidak berpeluang mengetengahkan bakat mereka.



"Arwah Nadya memang suka lihat bakat Singapura bekerjasama untuk mencipta nama dalam arena muzik Singapura. Katanya, kota kita ini kecil sahaja, lantas semua mesti nak bergotong-royong.



"Saya dan Danial akan realisasikan impiannya dengan mencipta lagu dan menulis lirik untuk didendangkan ramai lagi bakat setempat," jelas Amir.



Fairus pula menambah:



"Memang saya terkilan tak sempat menyanyi bersama arwah, sesuatu yang pernah kami bincangkan sebelum ini."



Kata Amir pula: "Arwah juga cipta sebuah lagu buat saya, dan seorang lagi finalis Suara 2.0, Sarah Adriana nyanyikan. Saya tak 'kan lupakan usahanya itu."



Danial pula menjelaskan:



"Apa yang buat saya terkilan Nadya tak dapat merasa air tangan saya. Dia pernah kata nak saya masakkan tujuh macam lauk untuknya."



Tiga sahabat ini juga berharap suami, ibu ayah, anak dan adik-beradik Nadya diberi kekuatan dan ketabahan meneruskan kehidupan.



"Kami berterima kasih kepada keluarganya atas peluang mengenali insan yang bukan sahaja dianggap sahabat baik, tetapi pemuzik berbakat," tambah Danial, yang melihat Nadya sebagai insan jujur dan terus terang yang pernah ditemuinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >