Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tingkat kesedaran tentang batasan penjagaan terhadap kanak-kanak

Garis panduan MSF adalah sumber tambahan untuk pengamal, karyawan
Jan 9, 2025 | 5:30 AM
Budaya ‘adab’ dalam masyarakat Melayu/Islam yang menggalak kanak-kanak agar menunjukkan rasa hormat kepada orang yang lebih tua, dengan menerima sahaja kemesraan seperti dipeluk atau dicium walaupun mereka tidak selesa mungkin perlu dipertimbangkan semula.
Budaya ‘adab’ dalam masyarakat Melayu/Islam yang menggalak kanak-kanak agar menunjukkan rasa hormat kepada orang yang lebih tua, dengan menerima sahaja kemesraan seperti dipeluk atau dicium walaupun mereka tidak selesa mungkin perlu dipertimbangkan semula. - Foto ISTOCKPHOTO

Sebagai bapa dua anak kecil, Encik Muhammad Bahrom Ahmad, terlibat dalam penjagaan mereka seperti memandikan dan memakaikan lampin dan pakaian.

Namun memandangkan kededua anaknya perempuan, Encik Muhammad Bahrom, tahu yang beliau perlu menetapkan batasan dalam penjagaan mereka tidak lama lagi, terutama bagi anak sulungnya yang sudah berumur lima tahun.

Beliau dan isteri telah sejak kebelakangan ini mengingatkan si kakak agar tidak mendedahkan tubuhnya yang tidak berpakaian selepas mandi.

Si adik baru berumur dua tahun setengah dan masih memerlukan penjagaan rapi oleh orang tuanya.

Namun apa yang membelenggu fikiran Encik Muhammad Bahrom, 34 tahun, ialah bagaimana untuk menetapkan batasan tanpa mengecilkan hati anggota keluarga lain yang membantu menjaga anak-anaknya semasa ketiadaan beliau dan isteri.

“Apabila anggota keluarga berlainan jantina membantu menjaga anak-anak, saya rasa agak sukar untuk mengimbangi keinginan menjaga batasan peribadi anak-anak saya.

“Dan pada masa yang sama tanpa menyinggung perasaan anggota keluarga yang sangat menyayangi mereka,” katanya.

Justeru beliau berpendapat garis panduan untuk karyawan dalam sistem perlindungan kanak-kanak yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi menerangkan amalan penjagaan sesuai untuk ibu bapa dan kanak-kanak amat berguna.

Ini kerana ia dapat meningkatkan kesedaran, memberi bimbingan dan menggalak perbincangan tentang perlindungan kanak-kanak.

“Sesetengah ibu bapa mungkin memahami batasan penjagaan daripada gerak hati mereka tapi garis panduan yang jelas boleh menjadi peringatan dan sumber berguna untuk mendidik orang lain,” kata Encik Muhammad Bahrom.

Encik Muhammad Bahrom Ahmad (kiri) bersama isteri, Cik Ernie Yanny Halifi (kanan), dan dua anak mereka Hani Aini (dua dari kiri), lima tahun, dan Hana Aina, dua tahun setengah. Beliau selalu memikirkan bagaimana menetapkan batasan peribadi anak-anaknya tanpa mengecilkan hati anggota keluarga lain yang turut membantu menjaga si kecil semasa ketiadaan beliau dan isteri.
Encik Muhammad Bahrom Ahmad (kiri) bersama isteri, Cik Ernie Yanny Halifi (kanan), dan dua anak mereka Hani Aini (dua dari kiri), lima tahun, dan Hana Aina, dua tahun setengah. Beliau selalu memikirkan bagaimana menetapkan batasan peribadi anak-anaknya tanpa mengecilkan hati anggota keluarga lain yang turut membantu menjaga si kecil semasa ketiadaan beliau dan isteri. - Foto ihsan MUHAMMAD BAHROM AHMAD

Mengapakah garis panduan diperlukan?

Garis panduan yang diumumkan semasa Persidangan Keluarga Asia pada November itu ditujukan kepada pengamal perkhidmatan sosial di pusat khidmat keluarga dan pusat pakar perlindungan kanak-kanak serta beberapa karyawan dalam sektor penjagaan kesihatan dan sekolah.

Ia adalah garis panduan sedemikian yang pertama untuk pengamal dan memberi saranan dalam aspek seperti menzahirkan kasih sayang, privasi dan kebersihan diri. Menurut MSF, garis panduan itu diedarkan kepada karyawan bagi memastikan pendekatan yang konsisten dalam melindungi kanak-kanak.

Garis panduan tersebut tidak bertujuan untuk dikuatkuasakan atau dijadikan sebagai peraturan merentas semua konteks keibubapaan, sebaliknya ia berfungsi sebagai sumber keibubapaan tambahan untuk pengamal, tambahnya.

Garis panduan itu bagaimanapun menjadi perbualan ramai setelah akhbar, The Straits Times, menerbitkan laporan tentangnya pada Disember.

Komen di media sosial menunjukkan pelbagai reaksi terhadap garis panduan itu termasuk kerisauan tentang mengapa garis panduan itu diperlukan dan kerumitan dalam melaksanakannya dalam konteks keluarga yang pelbagai.

Garis panduan itu diperkenalkan menyusuli peningkatan kes penderaan kanak-kanak, seperti yang diperincikan dalam laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang dikeluarkan oleh MSF pada September.

Dalam beberapa tahun kebelakangan, terdapat beberapa kes melibatkan penganiayaan kanak-kanak dengan pelaku terdiri daripada anggota keluarga mereka sendiri yang telah memberi penjagaan kepada mangsa.

Dalam satu kes, seorang datuk mencabul kehormatan cucu perempuannya yang berumur 10 tahun setelah mengurut badannya dengan minyak selepas kanak-kanak itu mengadu sakit badan selepas pulang daripada bermain bola sepak.

Dalam satu lagi kes, seorang bapa melakukan serangan seksual ke atas anak perempuannya sejak berumur tiga tahun selepas dia mula mandi bersama kanak-kanak itu.

Buat masa ini terdapat beberapa inisiatif pencegahan seperti program yang mengajar kanak-kanak untuk melindungi diri mereka daripada penganiayaan seksual.

Program ‘Protective Behaviours’ pula mengajar kanak-kanak cara mengenal pasti dan bertindak balas terhadap situasi yang tidak selamat untuk menghentikan peningkatan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Kesan batasan yang samar

Menjawab pertanyaan Berita Harian, Pusat Khidmat Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) (Timur dan Barat) berkata batasan yang tidak jelas antara ibu bapa dengan anak boleh menyebabkan hubungan menjadi tegang.

“Kanak-kanak mungkin membesar dalam sekitaran yang mereka rasa adalah tidak selamat untuk diri mereka, dan ini boleh menyebabkan harga diri yang rendah dan rasa rendah diri, terutama apabila keprihatinan mereka tidak diendahkan,” kata pusat itu.

“Pendedahan kepada tubuh tidak berpakaian yang tidak sesuai atau amalan mandi yang mencurigakan juga boleh menyebabkan garisan antara batasan peribadi sihat dengan tidak sihat menjadi samar.

“Kanak-kanak yang dibesarkan dalam sekitaran sedemikian berisiko lebih tinggi untuk mengalami penganiayaan seksual,” tambahnya.

Pusat itu turut menyentuh tentang beberapa kebiasaan sosial atau keluarga yang mungkin terus dilakukan kerana ia adalah sesuatu yang pernah dilakukan penjaga dahulu, dan mereka tidak sedar kebiasaan itu tidak sihat atau tidak selamat.

Cabaran budaya ‘adab’, flat kecil

Karyawan daripada Pusat Khidmat Keluarga PPIS juga berkata tiada perbezaan ketara dalam pemahaman batasan penjagaan antara masyarakat Melayu/Islam dengan masyarakat lain.

Tetapi kekangan fizikal flat sewa, yang sering kali kecil dan mempunyai konsep pelan terbuka, boleh menyukarkan keluarga untuk mengekalkan batasan itu, terutama dalam keluarga lebih besar.

Mereka turut menyentuh tentang budaya ‘adab’ dalam masyarakat Melayu/Islam yang menggalak kanak-kanak menunjukkan hormat kepada orang lebih tua dengan menerima sahaja kemesraan yang ditunjukkan secara fizikal walaupun kanak-kanak itu mungkin tidak selesa.

“Penekanan budaya terhadap rasa hormat ini kadangkala boleh membawa kepada situasi di mana kanak-kanak berasa terpaksa memeluk atau mencium orang lain, walaupun mereka tidak selesa.

“Ini adalah aspek yang mungkin masyarakat perlu pertimbangkan semula pendekatannya, mengimbangi ‘adab’ dengan kepentingan keselamatan dan autonomi kanak-kanak,” kata mereka.

Contoh dalam garis panduan MSF tentang batasan sesuai untuk ibu bapa dalam penjagaan kanak-kanak

Luahkan kasih sayang:

Ibu bapa mungkin memaksa anak-anak mereka memeluk atau mencium seseorang yang membuat mereka tidak selesa atau takut. Ini dianggap sebagai tingkah laku yang tidak sesuai.

Garis panduan yang disarankan adalah untuk menghormati hak kanak-kanak untuk berkata “tidak” kepada kemesraan fizikal. Ini mengajar kanak-kanak autonomi dan memperkasa mereka untuk menetapkan batasan peribadi.

Amalan mandi:

Adalah tidak sesuai bagi ibu bapa mandi dengan anak-anak mereka yang berlainan jantina atau kerap memandikan mereka jika anak-anak mereka boleh mandi sendiri.

Ibu bapa harus menggalak anak mereka supaya mandi sendiri sebaik mereka boleh melakukannya.

Jika anak-anak mereka memerlukan bantuan, adalah lebih sesuai untuk ibu bapa daripada jantina yang sama membantu atau menyelia anak-anak mereka ketika mandi hingga tahun-tahun awal di sekolah rendah.

Usah dedah tubuh tidak berpakaian:

Adalah tidak sesuai bagi ibu bapa mendedahkan tubuh yang tidak berpakaian walaupun secara tidak sengaja.

Ibu bapa harus elak daripada menyalin pakaian di depan anak-anak mereka apabila mereka sudah berumur 10 tahun atau sudah baligh.

Penjaga daripada jantina yang berbeza juga harus elak daripada menyalin pakaian di depan kanak-kanak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg