Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Lebih separuh Gen Z dambakan majlis kahwin di luar negara

Sep 18, 2024 | 4:15 PM
Tinjauan yang dikeluarkan aplikasi pelancongan global Skyscanner baru-baru ini mendedahkan bahawa golongan Gen Z gemar merantau walau dalam menjalinkan ikatan sah.
Tinjauan yang dikeluarkan aplikasi pelancongan global Skyscanner baru-baru ini mendedahkan bahawa golongan Gen Z gemar merantau walau dalam menjalinkan ikatan sah. - Foto PEXELS

Majlis perkahwinan seringkali detik indah yang dinanti-nantikan bakal mempelai untuk merakam kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Namun, generasi muda kini mahu memberi sentuhan lebih istimewa dengan mencipta kenangan itu di luar negara.

Memaparkan hal tersebut, satu tinjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir 70 peratus penduduk Singapura telah dan akan mempertimbang mengadakan ‘perkahwinan destinasi’, merujuk kepada majlis perkahwinan yang diadakan di luar negara dan bukan di Singapura.

Tinjauan yang dikeluarkan aplikasi pelancongan global Skyscanner itu turut mendedahkan bahawa golongan Gen Z gemar merantau walau dalam menjalinkan ikatan sah, dengan 61 peratus daripada pengunjung Gen Z – berusia antara 18 tahun dengan 25 tahun – khususnya cenderung untuk adakan majlis perkahwinan di luar negara.

Tinjauan tersebut, yang dijalankan ke atas 1,000 individu di Singapura, menunjukkan bahawa Asia merupakan destinasi pilihan paling popular untuk majlis perkahwinan di luar negara buat warga Singapura, dengan 64 peratus daripada mereka menyatakan bahawa mereka telah atau berharap mengadakan majlis di rantau Asia seperti China, Thailand, Jepun dan Maldives.

Mendahului senarai bagi pilihan pengunjung ialah Bangkok, Tokyo dan Sapporo berdasarkan data carian Skyscanner dari Ogos hingga Disember, menyerlahkan tarikan Asia.

Mengiringi keinginan itu adalah faktor seperti kos dan bajet yang menjadi pertimbangan paling utama buat pengunjung.

Tiga suku daripada responden menukil kos sebagai faktor utama yang mempengaruhi pilihan destinasi mereka, dengan 35 peratus pengunjung telah membayar atau merancang mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak 26-50 peratus demi merealisasikan impian mereka.

Walaupun pertimbangan praktikal seperti kos amat diambil kira, warga Singapura masih mengutamakan nilai sentimental apabila merancang acara penting seperti majlis perkahwinan.

Destinasi yang mengandungi nilai kepentingan peribadi ke atas hubungan pasangan menjadi keutamaan bagi 42 peratus responden dalam memutuskan destinasi buat majlis perkahwinan mereka.

Pengunjung Singapura menukil suasana tropika dan santai sebagai destinasi yang dianggap ideal untuk mengadakan majlis, dengan 41 peratus lebih gemar suasana pantai romantik bagi hari istimewa mereka. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg