Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Semakin ramai wanita Muslim ingin kembara solo
Tinjauan: Semakin ramai wanita Muslim ingin kembara solo
Tinjauan: Semakin ramai wanita Muslim ingin kembara solo
Melancong secara solo semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita Muslim, terutamanya oleh generasi muda berusia 18 hingga 24 tahun.
Laporan Muslim Women in Travel 2026 oleh Mastercard dan CrescentRating pada 18 Mei mendedahkan, kumpulan usia ini mencatat 41 peratus daripada keseluruhan pengembara solo Muslimah.
Mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun pula menyusul rapat, menyumbang 36 peratus.
Keinginan untuk mengembara sendirian melonjak kepada 35 peratus tahun ini, berbanding hanya 28 peratus pada 2019.
“Generasi baharu pelancong kini semakin yakin dan berdikari. Ramai wanita Muslim melaporkan adanya ‘kebebasan baharu’ dalam merancang perjalanan yang mencerminkan minat dan nilai peribadi mereka.
“Trend melancong secara solo dan dalam kumpulan kecil yang diterajui wanita semakin meningkat, berfungsi sebagai saluran untuk pemerkasaan, penemuan jati diri, serta kepuasan peribadi,” kata laporan itu.
Dapatan ini sejajar dengan trend yang menunjukkan bahawa wanita Muslim kini semakin membentuk pasaran pelancongan Muslim yang lebih luas, merangkumi hampir separuh daripada jumlah pelancong Muslim di seluruh dunia.
Pada 2025, bilangan pelancong wanita Muslim iaitu 90 juta, meningkat dengan ketara sebanyak 43 peratus berbanding 63 juta pelawat pada tahun 2019.
Laporan tersebut mendapati bahawa keselamatan dan kepercayaan adalah keutamaan utama.
Keselamatan am dan keselesaan merupakan faktor terpenting bagi 60 peratus pelancong wanita Muslim, diikuti oleh tersedia kemudahan mesra Muslim iaitu 30 peratus.
Golongan ini ingin rasa yakin untuk mendapatkan makanan halal, mencari ruang solat, berpakaian sopan, bergerak dari satudestinasi ke satu destinasi dengan selamat, serta mengamalkan kepercayaan mereka tanpa diskriminasi.
Oleh itu, lima negara yang paling diminati oleh golongan ini adalah Malaysia, Arab Saudi, Indonesia, Turkey, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Singapura turut tersenarai dalam 10 negara popular dalam kalangan pelancong wanita Muslim pada tangga tujuh yang dikongsi bersama Qatar.
Memandangkan keselamatan, keselesaan dan kebebasan pilihan menjadi faktor yang lebih menonjol, beberapa destinasi sedang menyesuaikan infrastruktur dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan tersebut.
Contohnya di Turkey, peralihan ini jelas kelihatan melalui pembangunan pantai khusus untuk wanita dan ruang pesisir pantai mesra Muslim yang direka khas untuk pelancong wanita.
Ini termasuk Pantai Golden Sand di Sariyer, Istanbul, yang merupakan pantai khusus wanita yang tertutup sepenuhnya dan dikendalikan oleh kakitangan wanita.
Laporan ini menggariskan beberapa saranan utama bagi destinasi pelancongan: mempamerkan pilihan makanan halal yang disahkan, menyediakan ruang solat khusus wanita, kemudahan tandas yang membenarkan pembersihan diri dan membina persekitaran yang selamat dan inklusif.
Secara keseluruhannya, sektor pelancongan Muslim menunjukkan ruang pertumbuhan yang sangat ketara.
Asia kekal menjadi tumpuan utama dalam landskap pelancongan Muslim global.
Menurut laporan Halal Travel Trends 2026, rantau ini berjaya menarik hampir 120 juta pelancong Muslim pada 2024, iaitu 65 peratus daripada 176 juta pelancong Muslim di seluruh dunia.
Kekuatan Asia ini didorong oleh faktor-faktor seperti kekayaan budaya, infrastruktur halal yang teguh, dan kedudukan geografi yang dekat dengan pasaran sumber Muslim utama.
Laporan mendedahkan bahawa ketibaan pelancong Muslim antarabangsa dianggarkan mencecah 186 juta pada tahun 2025 dan diramalkan mencapai 245 juta menjelang 2030.
