Topic followed successfully
Go to BHkuTom tersingkir di ambang hari lahir
Tom tersingkir di ambang hari lahir
Tom tersingkir di ambang hari lahir
SEHARI selepas persembahan lagu Anita Sarawak, Akhirnya Kini Pasti, di pentas Gegar Vaganza 9 (GV), Tom menyambut ulang tahunnya yang ke-36.
Namun, di ambang hari ulang tahunnya itulah, beliau juga tersingkir daripada peraduan realiti Astro itu setelah mendapat markah paling rendah iaitu 55.2 peratus.
Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram yang merupakan juara My Starz LG (Musim Ketiga) juga menghadapi masalah seluarnya tercabut ketika menari ligat sehingga perlu memegang bahagian belakang seluarnya itu sehingga akhir persembahan.
Ibu tiga anak itu bagaimanapun reda dengan keputusan juri yang menyifatkan beliau tiada keaslian dalam persembahan sehingga dibayangi imej dan gaya vokal atau persembahan penyanyi asal iaitu Anita Sarawak.
"Saya terima rezeki saya di GV9 sampai di sini sahaja. Tapi saya harus berterima kasih kepada program ini kerana menyatukan saya dengan anak sulung saya Adam yang kini berusia 14 tahun.
"Saya tak tahu bagaimana wajahnya kini. Sudah lebih lapan tahun kami sudah terpisah tetapi tersambung semula kerana GV9. Memang saya awalnya merancang bawa dia tengok saya di GV9 minggu depan. Apakan daya, saya terkeluar pula.
"Esok memang nak cari mana dia tinggal di Johor," katanya sesudah diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.
Ramai yang bersimpati dengan Tom, seorang ibu tunggal dengan dua lagi anak lelaki daripada perkahwinan kedua yang tinggal bersamanya.
Mereka memberi kata-kata semangat melihat perjuangannya yang pernah juga berkahwin untuk kali ketiga tetapi berpisah jua.

