Penduduk di sini boleh bertarung dalam gelanggang kereta bumper yang juga berupaya ‘hanyut’ atau ‘drift’ di sebuah tarikan baru di Jurong Point.
Dilancarkan pada Jumaat, pengendali pusat hiburan dan permainan Timezone berkata, tarikan ‘baru dalam pasaran’ Maxi Drift Bumper Cars itu menawarkan sebuah arena sepanjang 20 meter dan seluas 10 meter dengan sebanyak 10 kereta ‘drift’ berkelajuan tinggi yang boleh menampung sehingga dua penumpang setiap kereta.
Namun ibu bapa di sini tidak perlu risau kerana setiap kereta dilengkapi alat mesra kanak-kanak dan dilengkapi ciri keselamatan yang sesuai bagi pasangan anak dan ibu bapa.
Antara ciri kereta tersebut termasuk sebuah landasan bawah kereta diperbuat oleh besi serta tali keledar keselamatan di setiap kereta.
Peserta juga boleh mengendali kereta tersebut secara bebas dan mengawal kelajuan serta arah tuju kereta itu dengan sepenuhnya dengan menekan ‘minyak’ atau pedal pemecut.
Timezone berkata pemasangan dan pengendalian kereta-kereta tersebut telah disemak dengan teliti oleh Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).
Tarikan baru itu disediakan sebagai sebahagian komitmen Timezone dalam menawarkan kaedah hiburan terkini kepada pelanggan.
Ini menjadikannya arena kereta bumper ketiga bagi Timezone yang juga mempunyai lagi dua tarikan kereta bumper lain di VivoCity dan Orchard Xchange.
Pengurus Besar Timezone Singapura, Encik Nesh Selva, berkata:
“Pelancaran tarikan Maxi Drift Bumper Cars di pusat kami di Jurong Point memaparkan dedikasi Timezone dalam memperbaharui semula kaedah hiburan, bagi menjalin hubungan antara keluarga dan sahabat handai menerusi pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan.”
Timezone Jurong Point seluas 17,000 kaki persegi itu adalah pusat kedua terbesar di Singapura yang sehingga kini sudah menawarkan sebanyak 130 kaedah permainan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg