KUALA LUMPUR: Kurang seminggu dari tarikh tayangan, treler rasmi filem adiwira tempatan, Keluang Man, dilancarkan di semua wadah media sosial pada 24 April.
Filem adaptasi watak animasi legenda yang mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di televisyen pada 1998 itu akan menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia, mulai 29 Mei ini.
Selain treler, turut dilancarkan poster rasmi serta pengumuman kempen inisiatif strategik komprehensif yang direka untuk pengalaman penonton dan memperkukuhkan kehadiran filem ini di pawagam.
Keluang Man bakal membawa pengalaman adiwira Malaysia melangkaui layar perak dan seterusnya mengukuhkan lagi potensi filem ini untuk melakar fenomena tersendiri.
Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata pihaknya mengumumkan penghasilan filem berkenaan sejak tiga tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha sudah dijayakan.
“Kami teruja untuk memperkenalkan superhero ikonik Malaysia ini dengan cara yang memberi impak merentasi di pelbagai platform,” katanya pada majlis pelancaran treler rasmi Keluang Man di Aurum Theatre, The Exchange TRX di sini pada 23 April.
Menerusi treler rasmi yang dilancarkan, filem ‘live-action’ ini memperkenalkan dunia Keluang Man yang lebih moden, penuh aksi mendebarkan dan visual berkualiti tinggi.
Treler ini bukan sahaja mencetus keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat setia, malah turut menarik perhatian generasi baru, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan filem adiwira setanding penerbitan antarabangsa.
Filem arahan Anwari Ashraf ini membariskan Nas Muammar Zar sebagai Keluang Man/Borhan, Remy Ishak (Shamsir), Anwaar Beg Moghal (Inspektor Sahab), Datuk Rosyam Nor (Ahmad), Shweta Sekhon (Doktor Malini) dan ramai lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg