Topic followed successfully
Go to BHkuTuah dan rezeki Raja Pop, Jamal Abdillah, dapat anak keenam
Tuah dan rezeki Raja Pop, Jamal Abdillah, dapat anak keenam
Tuah dan rezeki Raja Pop, Jamal Abdillah, dapat anak keenam

TIADA yang lebih membahagiakan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, 64 tahun, dan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28 tahun, apabila dikurniakan seorang lagi cahaya mata pada bulan mulia Ramadan lalu.
Memasuki Syawal kini, kemeriahan Aidilfitri lebih dirasakan dengan kehadiran si comel yang diberi nama Rahil Laura Salsabila Yamani selain tiga anak lain hasil perkongsian hidup mereka sejak 2017. Jamal yang dikenali sebagai Raja Pop menganggap kehadiran Laura sebagai hadiah bermakna daripada Yang Maha Esa.
Akui Jamal, beliau tidak menyangka masih berpeluang menimang cahaya mata, apatah lagi, dikurniakan rezeki dalam bulan penuh keberkatan.
"Saya bersyukur dengan kelahiran Laura pada Ramadan. Kehadirannya melengkapkan anak saya dan isteri iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
"Tidak sangka Allah swt beri saya rezeki anak seperti ini. Saya sangat bersyukur dengan kurniaan itu kerana ada orang yang masih menanti kehadiran cahaya mata mereka.
"Kelahiran Laura sebelum Aidilfitri sangat bermakna dan menggembirakan buat saya," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.
Tiga lagi anak Jamal dan Zai Izzati adalah Nur Azura Yamani yang berusia tiga tahun; El Isaac Yamani atau Zack yang berusia dua tahun dan Iskandar Rayyan Yamani, setahun.
Laura dilahirkan secara pembedahan pada 14 April lalu di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Melalui perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki iaitu penyanyi, Osama Yamani, 21 tahun, dan Ahmad Zaki Yamani, 17 tahun.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata sambutan Aidilfitri bagaimanapun sederhana berikutan isteri sedang berpantang.
"Pembantu rumah dan ibu mentua menjaga isteri sepanjang tempoh berpantang. Dalam menyambut Hari Raya, aktiviti yang boleh dilakukan isteri agak terhad.
"Kemungkinan kami hanya beraya ke rumah saudara terdekat termasuk rumah ibu bapa kami." katanya.
Jamal akur sambutan menyambut Lebaran cukup sederhana.
"Persiapan Aidilfitri saya kali ini banyak bezanya. Saya tidak lagi mendiami rumah lama. Saya sudah berpindah ke kondominium yang berhampiran pusat perubatan.
"Kediaman baru ini dilengkapi pusat beli-belah pada bahagian bawah. Rumah itu adalah pilihan isteri untuk memudahkan membeli-belah termasuk membuat rawatan.
"Jadi, suasana dan persiapannya agak berbeza daripada rumah lama kami. Persiapan Aidilfitri kali ini agak terhad kerana saya menyediakan pakaian untuk anak sahaja.
"Pakaian untuk saya dan isteri sudah ada dan belum dipakai. Kali ini kami memilih warna tema persalinan kelabu gelap," katanya.
Jamal meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan rezeki yang tidak pernah putus termasuk anak.
"Jika diikutkan, tawaran untuk saya menjayakan acara selepas Aidilfitri memang banyak. Malah, sepanjang Ramadan, jadual saya padat.
"Saya tetap mencari rezeki seperti biasa. Saya juga bersyukur apabila dimurahkan rezeki untuk berbelanja untuk anak.
"Pakaian untuk anak yang baru lahir ini pun banyak diterima. Bukan itu sahaja, pelbagai barangan kelengkapan bayi diterima. Kami sangat bersyukur," katanya. - BERITA HARIAN MALAYSIA ONLINE

