SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tugas pembantu dapur tambah ilmu niaga, kulinari Huda

Tugas pembantu dapur tambah ilmu niaga, kulinari Huda

Apr 17, 2022 | 5:55 AM

Tugas pembantu dapur tambah ilmu niaga, kulinari Huda

CEKAL HARUNGI AMANAH: Huda Ali mengimbangi tugas sebagai penerbit/pengacara kandungan digital, pengendali bersama bazar Kampong Glam, pembantu dapur di restoran Zen untuk program bekerja sambil belajar Shatec serta ibu dan isteri. - Foto INSTAGRAM HUDA ALI
CEKAL HARUNGI AMANAH: Huda Ali mengimbangi tugas sebagai penerbit/pengacara kandungan digital, pengendali bersama bazar Kampong Glam, pembantu dapur di restoran Zen untuk program bekerja sambil belajar Shatec serta ibu dan isteri. - Foto INSTAGRAM HUDA ALI -

PENATNYA minta ampun sehingga mampu menitiskan air mata setiap kali memikirkan pengorbanan dan jerih payah yang perlu diharungi.

Namun dalam setiap kesulitan yang dihadapi mengejar masa, pastinya ada kemanisan berbaloi untuk dirasakan pada penghujungnya.

Itulah yang dirasakan pengacara dan pelakon Huda Ali, 36 tahun, apabila menggalas tiga amanah sekali gus pada Ramadan ini.

Selain menerbit kandungan digital untuk pelbagai pihak termasuk Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bagi mempromosikan Kampong Glam, beliau juga mengendalikan bersama kerja balik tabir bazar Raya Kampong Glam, anjuran One Kampong Gelam (OKG) dengan kerjasama Lazada Singapore menerusi syarikatnya dan suami, LalooLalang.

Dalam merasakan sambutan Ramadan ini, lima hari seminggu, antara satu petang hingga 12 tengah malam, Huda juga gigih berkeringat menyiapkan bahan di dapur restoran makanan Zen untuk program bekerja sambil belajar selama enam bulan.

Ia adalah tuntutan pengajian diploma sepenuh masa yang Huda ambil dalam seni kulinari di Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (Shatec).

Restoran Zen menyajikan makanan Scandinavia yang diilhamkan daripada sajian Jepun.

Ikuti wawancara Berita Minggu bersama Huda yang dikenali sebagai pengacara program kecantikan Cantik Detektif dan kuiz Tuah 13.

Soalan (S): Ceritakan tugas Huda di dapur restoran Zen

Huda: Saya berada dalam pasukan persiapan bahan sajian restoran. Sekitar 1 petang, saya sudah berada di dapur untuk menyediakan bahan yang akan dimasak untuk dihidangkan kepada pelanggan. Hampir 12 tengah malam, barulah kerja selesai.

Terasa amat memenatkan kerana saya mengimbangi beberapa tugas sekali gus. Kalau buat kerja restoran sahaja, rasanya tidak begitu penat.

Ini memandangkan pada hari cuti, setiap Ahad dan Isnin pun, saya akan selitkan waktu untuk komitmen mengacara dan menghasilkan kerja penerbitan. Jadi tiada waktu rehat.

S: Apakah pengajaran yang dipelajari sepanjang bekerja sambil belajar?

Huda: Tidak semudah dibayangkan tugas di dapur restoran. Selain belajar mempersiapkan bahan masakan, saya tinjau cara menyajikan hidangan ala Jepun yang dimasak secara barat. Semua ini tidak dipelajari di Shatec.

Saya bertuah kerana dapat melihat di balik tabir cara usahawan restoran mengendalikan perniagaannya, bagaimana ingin mengurangkan kos atau memanfaatkan kos sepenuhnya.

Selepas tengok macam mana mereka usahakan kerja restoran, rasanya memang sulit bekerja di dapur. Tak sesuai untuk seseorang yang berusia lewat 30-an tahun seperti saya.

Rata-rata pekerja restoran tiga 'Michelin Star' (setiap bintang melambangkan tahap kecemerlangan kulinari) ini muda-muda. Bos saya pun baru 30-an tahun. Sayalah pekerja paling tua di situ.

Semua kerja nak dibereskan dengan cepat. Saya lihat restoran berdepan dengan isu tenaga kerja - bagaimana nak kekalkan pekerja muda yang datang dan pergi.

Di sini juga, saya belajar mengendalikan bahan tidak halal dengan menggunakan perkakas seperti pisau berasingan dan sarung tangan.

Alhamdulillah, pihak pengurusan Zen amat menghormati agama pekerjanya. Mereka tidak akan mendesak kita melakukan sesuatu yang melanggar ketetapan agama seperti merasa bahan haram.

Ketika waktu berbuka, mereka izinkan saya dan seorang lagi pekerja Islam makan dan minum meskipun kebiasaan waktu rehat pekerja di situ adalah sekitar 5 petang.

S: Apakah kepuasan Huda menyertai kursus kulinari?

Huda: Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19, saya rasakan ini adalah masa paling tepat untuk saya buru impian remaja saya.

Sebagai pengacara rancangan memasak seperti Kek Champion 3 kini, saya mempunyai ilmu tambahan untuk menyampaikan maklumat tentang seni kulinari dengan lebih bernas dan tepat kepada penonton.

Saya juga seseorang yang pentingkan peningkatan kemahiran. Ia bak memberi jenama baru buat Huda Ali.

Diploma ini juga adalah persiapan bagi masa depan perniagaan saya di LalooLalang. Ada banyak perancangan tetapi biarlah ia menjadi kenyataan dahulu, baru dikongsi.

Selepas ini, saya berminat mengambil kursus kek dan pastri secara sambilan atau ringkas di Singapura mahupun di Perancis atau Australia.

S: Kongsi kesulitan apabila seisi keluarga kecuali anak sulung dilanda Covid-19, bulan lalu.

Huda: Apabila suami dilanda Covid-19 Mac lalu, saya perlu menggantikannya untuk beberapa perbincangan bazar.

Apabila anak bongsu tiba-tiba lemah longlai, demam sampai mencecah 40 darjah Celsius, saya bergegas ke jabatan kecemasan dalam keadaan panik. Pembantu rumah kami pun dijangkiti.

Akhirnya saya pun 'tumbang' dek Covid-19. Hikmahnya itulah tempoh di mana saya akhirnya dapat berehat dan bekerja dari rumah.

Saya memang cukup emosi mengenangkan segalanya. Melakukan semua ini memerlukan kesabaran dan kecekalan.

Kalau tak kerana sokongan suami, Den Sabari, tak terlarat rasanya nak buru diploma, kendalikan perniagaan, buat kerja seni dan uruskan anak-anak sekali gus.

"Saya bertuah kerana dapat melihat di balik tabir cara usahawan restoran mengendalikan perniagaannya, bagaimana ingin mengurangkan kos atau memanfaatkan kos sepenuhnya. Selepas tengok macam mana mereka usahakan kerja restoran, rasanya memang sulit bekerja di dapur." - Huda Ali.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg