MEREKA masih muda belia dengan perjalanan seni yang masih panjang lagi.
Kebanyakannya pula bijak mengisi kandungan media sosial, baik Instagram atau TikTok, dengan aksi lucu, nyanyian mempesona atau tarian tular.
Di sebalik segalanya, apa yang peserta Generasi Z dan Generasi Y daripada Big Stage 2022 (Musim 4) perlukan adalah karisma, kreativiti dan daya hibur di pentas 'live'.
Tarikan di media sosial sahaja ternyata tidak mencukupi untuk benar-benar menjadi penghibur berdaya tahan yang dapat kuasai pentas dan akhirnya diingati sebagai artis malar segar di platform seni suara Nusantara.
Inilah rumusan yang dapat dibuat ketika menyaksikan rancangan realiti Astro Ria yang masuk musim keempat dan mula disiarkan Ahad lalu.
Set pentas yang canggih di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagaikan dalam filem cereka sains sesuai dengan kecanggihan peserta 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) ini.
Di dalam pusingan pertama peraduan tersebut, pelantun lagu Mengikat Jiwa, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 21 tahun, berjaya membuat juri terpaut dengan persembahannya yang persis persembahan Broadway ala kabaret dengan sentuhan irama waltz.
Lagu Iman Troye, Teman, diubah dengan begitu kreatif sehingga terasa ibarat ia merupakan lagu Aisha sendiri.
Aisha, anak penyanyi Indonesia, Jean Retno Aryani, meraih markah keseluruhan 84.4 peratus, dengan markah tertinggi sebanyak 97 peratus diberikan Presiden Netizen, Datuk Seri Vida.
Komposer Ajai memberinya markah 77 peratus manakala penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula memberinya 80 peratus.
Juara Gegar Vaganza 8 (GV8) yang baru dinobatkan, Aliff Aziz, memberikan Aisha markah 88 peratus sementara Mas Idayu selaku Juri Pedas meletakkan markah 80 peratus buatnya.
Di tempat kedua adalah pelakon dan penyanyi yang pernah memenangi peraduan Idola Kecil Ultra, Danial Chuer Hamasiah@Samsudin, 20 tahun. Beliau menerima markah keseluruhan 71 peratus.
Beliau menyanyikan lagu Steven Pasaribu, Belum Siap Kehilangan, sehingga 'sampai' ke jiwa ramai.
Di tempat ketiga pula adalah penyanyi kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aldwin Abdul Aziz, 20 tahun, yang beberapa kali meraih pingat perak di kejuaraan dunia seni pementasan. Yazmin meraih markah 65.8 peratus.
Seperti Aisha, beliau juga mendendangkan lagu terkenal rapper Yonny Boy dan Zynakal, Sakit, dengan cara tersendiri.
Berulang kali, Ajai dalam ulasannya menegaskan kepada peserta bahawa apa yang diperlukan adalah kandungan persembahan mereka.
"Kalau bagus menyanyi tetapi karisma tidak ada, tidak akan membawa sebarang hasil. Ada pula yang ada karisma walau nyanyiannya tidak bagus sangat.
"Peraduan ini berbeza daripada yang lain. Ia berdasarkan faktor tular. Saya perlu bersikap adil tentang kandungan yang mereka miliki.
"Membetulkan apa yang tidak betul adalah tanggungjawab saya. Tujuannya adalah agar bakat generasi muda Big Stage 2022 ini berada di landasan yang betul," katanya.
Dapat dilihat beberapa peserta gentar berada di pentas lantas menjejas persembahan 'live' mereka.
Begitu ketara dikesan suara gementar peserta Brunei, Syafiq Abdillah, 23 tahun, ketika menyanyikan lagu balada Afgan, Bukan Cinta Biasa.
Namun di sebalik segalanya, ada yang memiliki nilai komersial yang menanti masa untuk digilap.
Ajai melihatnya dalam diri peserta yang dipanggil Mummy Jerung, Sofiaa Marieylla, 22 tahun, yang mempunyai 85,500 pengikut di TikTok.
Lagunya, Akulah Jerung Merah, sudah ditonton 517,000 kali di media sosial sejauh ini dengan gerak tari pada lagu itu menjadi tular.
Walaupun memperolehi markah 54.2 peratus sahaja, Sofiaa, jelas Ajai boleh dicorak menjadi penyanyi yang 'meletup' kerana miliki nilai komersial.
"Kalau saya penerbit lagu anda, saya tahu apa nak buat," katanya.
Menurut Ajai lagi, semuanya bergantung pada gabungan tarian dan nyanyian yang menjadikan seorang penyanyi itu bintang.
"Christina Aguilera memiliki suara yang hebat tetapi Britney Spears yang lebih berjaya dan dikenali kerana nilai komersialnya.
"Yang penting, asas menyanyi itu perlu 50 peratus. Jangan tak boleh nyanyi langsung. Asal anda tak salah rumah dan ada 'barang', anda boleh dibentuk. Perlu ada 'barang' yang dapat dijadikan 'trademark' anda," kongsinya lagi di dalam penstriman langsung sidang media selepas konsert minggu pertama selesai.
▶ Big Stage 2022 (Musim 4) disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam setiap Ahad.
"Kalau bagus menyanyi tetapi karisma tidak ada, tidak akan membawa sebarang hasil. Ada pula yang ada karisma walau nyanyiannya tidak bagus sangat. Peraduan ini berbeza daripada yang lain. Ia berdasarkan faktor tular. Saya perlu bersikap adil tentang kandungan yang mereka miliki. Membetulkan apa yang tidak betul adalah tanggungjawab saya." - Komposer Ajai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg