Turun padang jejak sejarah 'Hilang', Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup0

Turun padang jejak sejarah 'Hilang'

Kerja penerbitan bawa suami isteri Adi Yadoni dan Wahyu Rahman gali kisah Orang Laut dan seni yang terhakis
Oct 14, 2021 | 05:30 AM

KE mana perginya Orang Laut yang dipercayai merupakan penduduk pertama di Singapura?

Apa jadi pada alat muzik tradisional, kuih lama dan permainan zaman berzaman yang hilang atau mungkin dilupakan?

Masihkah ada istana yang masih teguh berdiri megah di kota kosmopolitan Singapura dengan hakisan sejarahnya menanti masa digali?

Soalan-soalan ini berlegar di fikiran pasangan suami isteri, Adi Yadoni, 56 tahun, dan Wahyu Rahman, 43 tahun, tatkala menerbitkan rancangan infopendidikan Suria serta aplikasi meWATCH tujuh episod, Hilang, di bawah syarikat penerbitan mereka, Elements Pictures.

Sebelum ini, Elements Pictures pernah menerbitkan rancangan permainan bahasa buat kanak-kanak, Misi Wira Bahasa dan dua telefilem Hari Raya Haji, Di Akhir Garisan dan Kaabah 2 Riyal.

Halal Home Based Business
Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Hilang dengan gandingan serasi personaliti media sosial, Zhin Sadali dan Farah Lola ini, masuk episod kedua malam ini dengan tumpuan pada penakatan alat muzik tradisional Melayu.

Ikuti wawancara Berita Harian bersama Wahyu selaku penerbit dan Adi sebagai pengarah rancangan yang sarat dengan kisah sejarah Singapura ini.

Soalan (S): Bagaimana tercetus idea menghasilkan 'Hilang'?

Wahyu: Seorang anak buah kami, Elfarina, berkongsi kisah 'Orang Seletar' atau Orang Laut dengan kami.

Saya memang pernah dengar tentang Orang Laut tetapi tak tahu masih ada turun-temurun masyarakat ini di Singapura.

Adi: Saya pula berpandangan bahawa salah satu sebab mengapa banyak cerita seperti Orang Laut ini dilupakan atau hilang begitu sahaja sebab semakin kurang orang bercerita tentangnya.

Wahyu: Daripada situ, kami mula terfikir apa lagi cerita yang sudah dilupakan atau hilang tanpa kesan. Kami mengusahakan Hilang bagi berkongsi cerita sejarah, tradisi, budaya dan amalan penduduk Singapura yang hampir atau sudah hilang.

Cogan kata yang ingin kami uar-uarkan adalah, "Jangan biarkan ia hilang... biarkan ia terus gilang-gemilang!"

S: Apakah kepuasan dan cabaran terbesar menghasilkan 'Hilang'? Episod manakah yang paling mencabar?

Wahyu: Salah satu sebab mengapa cerita menarik hilang adalah kerana kurangnya dokumentasi fizikal dan dalam talian.

Saya dan Adi turun padang dan buat segala kerja lapangan bersama pasukan pengkaji dan penulis bagi memastikan maklumat yang berat ini dapat dicerna dan dijana secara santai agar mudah dihadam penonton.

Bagi saya, kisah Orang Laut adalah yang terpahat di ingatan. Mereka dikenali kerana kemahiran mengemudi di lautan dan menyara hidup sebagai pelaut.

Mereka mengenali laut dan angin di hujung jari mereka. Kami bertemu dan berkenalan dengan mereka berbulan sebelum penggambaran bermula.

Kami ingin dapatkan pandangan mereka mengenai hari sesuai untuk ke laut berbekal misi menangkap ikan buntal dengan menggunakan bubu dawai yang dibuat sendiri.

Saya kagum dengan cara mereka 'membaca' atau meramal cuaca dengan mengenal pasti pasang surut air atau arah tiupan angin.

Dengan firasat mereka, dapat ditetapkan tarikh yang sesuai dua bulan selepas pertemuan pertama kami. Tapi mereka tak janji boleh dapat ikan buntal! Kata mereka, kalau hujan turun pun, setakat lima hingga 10 minit sahaja.

Alhamdulillah, pada hari penggambaran, cuaca memang baik. Ada hujan seketika dan kami dapat tangkap empat ikan buntal.

Kami juga dapat berkongsi bagaimana Orang Laut dari Pulau Sudong siang dan buang racun ikan buntal. Akhirnya, kami juga dapat rasa masakan ikan buntal oleh Orang Laut dari Pulau Semakau.

Adi: Apabila kita mencari sesuatu yang tidak dapat kita pastikan, tentunya, kita akan dibawa mengembara ke tempat yang menarik dan tidak pernah diduga wujud.

Saya hargai peluang bertemu dengan ramai orang baik budi yang masih mengamalkan satu unsur seni atau budaya yang 'hilang'.

Tidak lupa juga dengan turun-temurun kerabat diraja di Singapura yang perlu menerima suratan yang tertulis buat mereka.

Perkongsian pengalaman dan ilmu ini membuka mata, minda dan hati saya.

S: Apakah pengajaran yang anda bawa pulang?

Adi: Kepentingan sejarah. Kalau kita tidak tahu sejarah kita, kita akan hilang identiti kita. Tanpa identiti, tiada budaya. Tanpa budaya, tiada kisah untuk dikongsi. Semuanya berkait rapat. Hilang adalah satu perjalanan menemui semula bermacam kisah yang pupus dan perlu digali semula.

Wahyu: Rancangan sejarah, tradisi, budaya, adat dan amalan ini dihasilkan dengan fokus kami adalah buat penonton milenial.

Saya belajar cara menyampaikan perihal berat seperti sejarah secara santai dengan menggabungkannya bersama penggunaan aplikasi seperti Instagram, TikTok dan Filter.

Selepas selesai program ini, terasa macam saya kadangkala ambil mudah atau banyak abaikan perihal sejarah, tradisi, budaya dan adat Melayu Singapura.

Datuk-moyang kita unik kerana memegang bukti yang memberi jawapan pada kekuatan, bakat, sikap dan daya tahan kita hari ini.

S: Apakah Elements Pictures kian matang menjana program dengan kandungan pendidikan dan sejarah kini?

Wahyu: Secara tidak langsung kami ke arah itu kerana kami mahu menyampaikan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan orang ramai dan masyarakat, baik kisah manusia atau isu sosial.

Tak kiralah, kalau genre rancangannya fantasi atau cereka sains, kisah yang dikongsi mestilah mencetus inspirasi bagi kita meneroka semula sejarah kita dan mengembali kepercayaan pada kemanusiaan di samping mengimbas kehidupan dan meraikan kemanusiaan.

Adi: Saya yakin perlu ada keseimbangan. Kepentingan pendidikan dan sejarah dalam kehidupan harian kita akan memberi manfaat buat masa depan kita.

  • 'Hilang' disiarkan di saluran Suria dan aplikasi meWATCH setiap Khamis, 8.30 malam.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map