ASAM garam mengharungi industri muzik Nusantara sebagai sebuah kumpulan muzik sudah dirasakan band terkenal dari Indonesia, Ungu, selama 26 tahun lamanya.
Jika sebilangan band legenda lain sudah bubar dalam tempoh tersebut kerana perbezaan pendapat dan aspirasi peribadi, band dengan lima orang ini masih betah bertahan malah menyifatkan diri mereka sebagai sebuah keluarga besar yang payah berpisah.
Ini dikongsi vokalis Ungu, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 42 tahun, ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom baru-baru ini.
Pasha dihubungi sempena konsert The Greatest Night mulai 8.30 malam, 22 Oktober ini di The Star Theatre.
Konsert tersebut mendapat sambutan hangat dengan tiket kategori Diamond dan Platinum termasuk pas bertemu Ungu sudah laris dijual pada hari pertama tiket dijual di laman Sistic pada Selasa lalu.
Semalam, syarikat penganjur konsert ini, SAH Enterprise yang diusahakan penyanyi Singapura, Sufi Rashid, mula menjual tiket tambahan kategori Gold, Silver dan Bronze antara $38 dengan $108, di atas permintaan ramai.
Menjelaskan tentang keakraban Ungu yang turut dianggotai Makki Omar Parikesit, Franco Wellyjat, Arlonsy Miraldi dan M. Nur Rohman, Pasha berkata:
"Ada beberapa sebab yang memungkinkan Ungu betah hingga hari ini selama 26 tahun dan tiada lagi urusan yang mampu menggoyah band ini sehingga bubar.
"Pertama, kami tidak lagi berbicara tentang wang sebab semua sudah diatur. Kedua, kami tidak bicara tentang ego sebab semua anggota sudah faham tentang tugas masing-masing.
"Akhir sekali, kami sudah seperti sebuah keluarga dan bukan lagi teman bermuzik.
"Kalau tidak ketemu, kami rindu. Kalau tidak berkumpul, terasa kehilangan atau kekurangannya. Kalau tidak berkarya, ada sesuatu yang buat kami rasa ketinggalan.
"Selama 26 tahun bersama, Ungu itu adalah 'rumah kami' dan menjadi simbol besar dalam kehidupan masing-masing. Ungu itu mutiara atau berlian berharga. Justeru, sulit untuk kami tinggalkan atau lupakan Ungu."
Sejak lagu pertama mereka Bayang Semu ke udara, Ungu menjadi band kegemaran ramai di Indonesia seiringan dengan Noah, Shila on 7 dan Dewa19.
Lagu-lagu 'hit' seperti Bismillah Cinta, Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Tercipta Untukku dan Untukmu Selamanya sudah menjana lebih 100 juta tontonan dan penstriman di semua platform digital.
Cinta Dalam Hati adalah yang paling banyak distrim di Spotify iaitu sebanyak 43.1 juta kali.
"Buat masa ini, harapan saya hanyalah agar pencinta Ungu masih mendukung kami dan beri galakan. Kami akan berkarya sampai bila-bila pun. Secara peribadi, saya akan terus memperjuangkan muzik Ungu pada apa jua fasa perjalanan muzik kita bersama," tambah Pasha yang senang dan tidak sabar bertemu peminatnya di Singapura setelah lima tahun tidak bertemu.
Kali terakhir Ungu mengadakan konsert di sini adalah pada 2017 bagi acara ulang tahun ke-20 band tersebut.
Menyentuh tentang perkembangan terkini band itu, Pasha gembira untuk mendedahkan Ungu tampil dengan single baru Dasar Hati dan album baru hari ini.
"Album ini mengandungi lapan lagu baru. Ada tiga lagu yang sudah kami terbitkan sebelum ini. Single keempat Dasar Hati cukup istimewa.
"Terasnya adalah dalam menjalin cinta itu, kita tidak boleh mengharap apa-apa pun. Kalau cinta, biar cinta sahaja. Sebabnya apabila kita mencintai seseorang dan tidak mendapat balasan cinta yang sama daripadanya, kita akan rasa kecewa.
"Maka kemudiannya akan ada yang sakit hati. Lagu ini menekankan tentang perlunya memberi cinta yang tulus tanpa harus mengharapkan kita akan dicintai. Ia ciptaan saya dan amat istimewa," jelas Pasha.
Album baru Ungu ini merupakan produk tempoh pandemik di mana semua orang bergelut dengan cabaran masa, kegelisahan emosi dan keterbatasan pergerakan.
"Satu tahun duduk sahaja di rumah dan selanjutnya setahun lagi mampu bernafas lega apabila kegiatan dapat diteruskan dengan batasan. Pokoknya, kami tidak pernah berhenti berkarya. Album ini adalah buktinya," tambah Pasha.
Selain bekerjasama dengan bintang muda Indonesia, Gia Sabila, dan diva dangdut Lesty Kejora dalam album baru ini, Ungu berbesar hati dapat merakam medley lagu kerohanian Andai Ku Tahu/La Illaha Illallah bersama Raja Dangdut, Rhoma Irama.
Sejak dimuatnaikkan ke YouTube pada April lalu, lagu ini sudah disaksikan lebih 2.6 juta kali.
"Pastinya ia sejarah buat Ungu kerana Rhoma tidak pernah merakam lagu bersama mana-mana band Indonesia atau band dunia sebelum ini.
"Alhamdulillah, beliau juga setuju nyanyikan lagu Ungu dalam kolaborasi epik ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah muzik Indonesia sebelum ini," jelas Pasha yang berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan artis lain untuk saling belajar dan memperkaya karya Nusantara.
Ditanya mengenai apa yang sering dilakukan anggota Ungu apabila berkunjung ke Singapura, beliau berkata:
"Kami ada tumpuan masing-masing kalau ke Kota Singa. Ada yang cari sepatu. Ada yang cari baju atau suka pada kehijauan. Ada yang langsung cari tempat makan.
"Kalau saya pula, lebih suka pada tempat bersejarah yang kaya warisan. Tapi yang pasti, kita akan menutup tirai kunjungan dengan membeli aiskrim potong $1 di jalanan! Tapi dengar aiskrim pun sudah naik harga ya? $1.50."
Ungu akan mengadakan sesi perkongsian tentang album baru mereka pada 5 petang ini di YouTube buat pelanggan akaun premium.
Keterangan lanjut mengenai konsert The Greatest Night pula boleh diperolehi di laman Sistic.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg