AKHBAR The Straits Times telah melancarkan satu usaha mencari dana yang baru bagi Dana Wang Saku Sekolah (STSPMF ) dan Dana Artis Baru The Business Times (BTBAF), dengan melancarkan lagu rakyat 'Count on Me Singapore' dalam nafas baru, hari ini.
Lagu yang dihasilkan dengan kerjasama Clement Chow, dinyanyikan mengikut irama Count on Me Singapore, tetapi dengan seni kata baru yang mendorong rakyat negara ini untuk duduk di rumah, semasa tempoh 'pemutus litar' bagi membendung penularan Covid-19.
Seramai 11 artis telah tampil dan bekerjasama dengan The Straits Times bagi menjayakan usaha murni ini.
Mereka telah melancarkan Stay At Home, Singapore, (Duduk Di Rumah, Singapura) sebagai seruan kepada rakyat Singapura agar memainkan peranan mereka membantu negara menangani penularan koronavirus.
Antara artis yang terlibat dalam menyanyi dan menulis senikata adalah Alemay Fernandez, Lisa Haryono, Mathilda D'Silva, Michelle Poh, Jordin Tan, Izat, Christiane Mikaela dan Alexendra Hsieh.
Ketua Editor Divisyen Inggeris/Melayu/Tamil dan Editor The Straits Times, Encik Warren Fernandez, berkata: "Di masa-masa mencabar ini, kami semua cuba untuk duduk di rumah, namun terdapat sesetengah anggota masyarakat kita yang menghadapi kesukaran berbanding kebanyakan dari kita. Mereka ini adalah keluarga yang mana ibu bapa tiada pekerjaan, atau mengalami kesukaran memenuhi komitmen mereka.
"Kami ingin lakukan apa yang boleh untuk membantu, sebab itu Dana Wang Saku Sekolah ST akan mendekati mereka untuk menawarkan sokongan tambahan, selagi kami termampu."
Tambahnya, usaha muzik video "Stay At Home, Singapore" yang dihasilkan dengan kerjasama artis tempatan dan wartawan ST, diharap dapat membantu usaha bantuan ini.
"Jadi kami merayu kepada rakyat Singapura: duduk rumah dan bantu warga senegara yang memerlukan," katanya.
Untuk menderma bagi kempen ini, kunjungi str.sg/stayathomesg. Semua sumbangan derma layak menerima potongan cukai 2.5 kali ganda.
STSPMF menyediakan wang saku untuk kanak-kanak dan remaja dari keluarga berpendapatan rendah.
BTBAF pula menyokong latihan seni untuk kanak-kanak dan remaja dari keluarga kurang berkemampuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg