Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha pelihara, lestari Jawi penting bagi pupuk minat generasi muda

Jan 11, 2025 | 9:06 PM
Simposium Jawi Serantau Temasek 2025 menghimpunkan pakar dari pelbagai negara di rantau ini, termasuk (dari kiri) Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia, Dr Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz; Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, Thailand, Dr Suraiya Chapakiya; guru Bahagian Reka Bentuk Perindustrian, Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fauzi Azman; dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei, Dr Mohd Shahrol Azmi; bersama mantan wartawan, Encik Rahmad Daud, selaku moderator.
Simposium Jawi Serantau Temasek 2025 menghimpunkan pakar dari pelbagai negara di rantau ini, termasuk (dari kiri) Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia, Dr Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz; Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, Thailand, Dr Suraiya Chapakiya; guru Bahagian Reka Bentuk Perindustrian, Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fauzi Azman; dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei, Dr Mohd Shahrol Azmi; bersama mantan wartawan, Encik Rahmad Daud, selaku moderator. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Usaha berterusan untuk memelihara dan melestarikan penggunaan Jawi penting bagi memupuk minat dan penggunaannya dalam kalangan generasi muda.

Ini agar sejarah, tradisi dan budaya Jawi dapat terus dikekalkan.

Itulah antara inti kandungan hasil pembentangan empat penceramah dari Brunei, Thailand, Malaysia dan Singapura menerusi perbincangan tulisan Jawi dalam Simposium Serantau Temasek 2025 yang berlangsung pada 11 Januari.

Acara anjuran Perikatan Tulisan Jawi Singapura (PTJS) itu mengumpulkan lebih 100 hadirin termasuk pelajar, guru, aktivis kebudayaan dan wakil daripada pelbagai pertubuhan Melayu dan berlangsung di Perpustakaan Negara.

Ini merupakan kali pertama simposium bertema ‘Pelestarian Tulisan Jawi’ itu diadakan.

Dalam ucapan pembukaannya, tetamu terhormat simposium itu, Ketua di Jabatan Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Madya Dr Mukhlis Abu Bakar, berkata empat penceramah itu dijemput agar dapat berkongsi contoh amalan terbaik dan menjalin kerjasama bagi melestarikan tulisan Jawi yang kian dilupakan oleh generasi muda rumpun Melayu.

“Benar fakta sejarah bahawa tulisan Jawi yang telah menjadi wahana bagi penyebaran agama Islam, ilmu, perhubungan dan perdagangan di rantau ini sejak seawal abad ketujuh Masihi, terus berkembang dalam zaman Kesultanan Melaka dan pelbagai kerajaan selepas itu.

“Walaupun rumi amat luas digunakan hari ini demi penakatan ekonomi dan sebagainya, namun kita tidak boleh mengabaikan tulisan Jawi kerana banyak warisan terutama kitab yang tertulis sebegini,” katanya.

Pembentangan tentang kegunaan dan usaha pelestarian Jawi yang dikongsi oleh penceramah jemputan juga menyerlahkan cabaran yang dihadapi setiap negara berkaitan penulisan Jawi.

Misalnya, ejaan Jawi sering dipertikaikan dan diubah suai mengikut kegunaan dan perubahan zaman.

Salah seorang penceramah, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar daripada Universiti Putra Malaysia, Professor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata:

“Ejaan yang diterima pakai hendaklah ejaan yang biasa digunakan oleh para guru dan penulis Melayu, dan panduan yang digunakan di Malaysia kini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mempunyai lebih daripada 120,000 perkataan bahasa Melayu.”

Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, Thailand, Dr Suraya Chapakiya, yang juga penceramah di simposium itu, berkata walaupun bahasa Thailand lebih digunakan di Wilayah Patani, penulisan Jawi digunakan di peringkat tadika untuk memperkenalkan penulisan itu kepada generasi muda.

Pembentangan tentang kegunaan dan usaha pelestarian Jawi juga dikongsi oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei, Dr Mohd Shahrol, yang berkongsi bahawa tulisan Jawi berkembang disebabkan sekolah, yang dijadikan subjek pembelajaran kurikulum Islam sejak 1936.

Lantas ini membolehkan pelajar meraih pengetahuan Islam dan Jawi, katanya.

Beliau berkongsi pembelajaran Jawi diberhentikan buat seketika di Brunei walaupun ia diguna pakai sebelum ini dalam semua bidang, terutama persuratan diraja.

Guru Bahagian Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fauzi Azman, berkata beliau teruja apabila diberitahu beberapa graduan seniman muda daripada Maktab Seni La Salle,  Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) telah menghasilkan projek akhir tahun mereka yang bertemakan Jawi.

“Jawi itu hidup lagi. Kita perlu mencari hubungan dan cinta kita terhadap bentuk tulisan ini, menyedari ia adalah warisan penting untuk dipelihara,” kata beliau. – RUBIAH MOHD.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg