ROME: Venice telah mengehadkan saiz kumpulan pelancong kepada 25 orang mulai 1 Ogos dalam percubaan terbarunya untuk mengurangkan kesan bilangan orang ramai yang berkunjung ke bandar lagun di Italy itu.
Pihak berkuasa tempatan juga akan melarang penggunaan pembesar suara oleh jurupandu pelancong dalam langkah yang bertujuan “melindungi keamanan penduduk” dan memastikan pejalan kaki boleh bergerak dengan lebih bebas.
Denda akan dikenakan bermula pada €25 ($36.23) hingga €500 bagi mereka yang tidak mematuhi langkah baru ini, yang asalnya dirancang berkuat kuasa mulai Jun tetapi ditangguh hingga awal Ogos.
Sekatan itu dikenakan ke atas pusat bandar dan juga pulau Murano, Burano dan Torcello.
Pada April, Venice menjadi bandar pertama dalam dunia yang memperkenalkan sistem bayaran bagi pengunjung dalam satu percubaan yang bertujuan memujuk pengunjung siang hari supaya tidak membuat lawatan sewaktu tempoh sibuk.
Skim perintis itu, yang telah dipantau rapat oleh tarikan pelancong Eropah lain, berlangsung selama 29 hari sahaja dan berakhir pada Julai, membuka jalan bagi tempoh perundingan untuk memutuskan bagaimana meneruskan projek tersebut pada masa akan datang.
Terdapat beberapa pengecualian kepada peraturan ke atas kumpulan pelancong itu.
Kanak-kanak sehingga dua tahun tidak termasuk dalam bilangan tersebut, dan had tersebut tidak dikenakan kepada pelajar yang berkunjung atau yang sedang menjalani lawatan pendidikan. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg