Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vokalis band inklusif Zelotones penyeri ‘Purple Parade’

Oct 12, 2024 | 5:30 AM
Vokalis Zelotones, Nuraziana Mohamed Said, dan pemain bes, Muhammad Zahier Samad, membuat persembahan di konsert ‘Purple Parade’ pada 2023 di Suntec City.
Vokalis Zelotones, Nuraziana Mohamed Said, dan pemain bes, Muhammad Zahier Samad, membuat persembahan di konsert ‘Purple Parade’ pada 2023 di Suntec City. - Foto FACEBOOK ZELOTONES

Keadaannya yang cacat penglihatan sejak lahir bukan penghalang bagi, Nuraziana Mohamed Said, untuk mengejar impian menjadi vokalis dalam sebuah band.

Nuraziana, 40 tahun, pegawai eksekutif pengurusan dalam sektor awam, itu kini seorang penyanyi dalam band Zelotones yang disifatkan sebagai inklusif dan sering membuat persembahan pada acara Purple Parade yang meraikan golongan kurang upaya dan kelebihan mereka.

Purple Parade merupakan satu kempen peringkat nasional dan gerakan terbesar di Singapura dalam meningkatkan kesedaran ramai tentang golongan berkeperluan khas.

Ia diterajui pelbagai badan dalam sektor awam, swasta dan masyarakat serta disokong oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapura dan The Purple Parade Limited (TPPL).

Pada 12 Oktober, Nuraziana dan rakan-rakan kurang upaya daripada Zelotones akan membuat persembahan di Suntec City sempena acara Purple Parade.

Ini merupakan kali ketiga mereka beraksi dalam gerakan yang memberi ruang kepada golongan kurang upaya menonjolkan bakat mereka.

Mereka akan mempersembahkan lagu Barat seperti, Viva La Vida (Coldplay), Flowers (Miley Cyrus) dan Hero (Mariah Carey).

Pada 2022, Zelotones diketengahkan dalam acara The Purple Parade buat julung-julung kalinya.

Ketika diwawancara Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 11 Oktober, Nuraziana yang mesra dengan panggilan Ziana, berkata:

“Saya minat bernyanyi sejak umur saya lima tahun lagi. Cinta terhadap seni muzik dan nyanyian seolah-olah mendarah daging sejak saya kecil,”

“Saya bersyukur, keluarga saya selalu memberi sokongan terhadap minat saya dalam muzik.

“Jika ada acara atau pertandingan untuk mengasah bakat saya menyanyi, mereka pasti akan sokong.”

Ketika masih remaja, Nuraziana pernah terlibat dalam pertandingan nyanyian seperti, Kreatif 897, yang anjuran Ria 897 FM pada 1999.

“Ini merupakan salah satu pencapaian besar bagi saya yang masih remaja ketika itu.

“Walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman menyanyi secara profesional, namun saya tetap dapat mara hingga ke pusingan akhir.

“Saya belajar menyanyi hanya dengan mengamati teknik nyanyian oleh penyanyi Malaysia yang sedang ‘naik daun’ ketika itu seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Francissa Peter melalui radio,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Nuraziana melahirkan kesyukurannya dapat menggerakkan Zelotones bersama suaminya, Mohamed Iskandar Misran, 44 tahun, yang juga cacat penglihatan dan bertindak sebagai pemain dram dan alat genderang.

Anggota lain termasuk Muhammad Zahier Samad, 37 tahun, sebagai pemain bes dan Benjamin Chong, 47 tahun, pemain papan nada.

“Bagi saya, wadah Purple Parade ini dapat membantu golongan seperti saya dalam mengetengahkan diri dengan kelebihan yang ada pada diri kami.

“Dengan itu, saya harap dapat menyampaikan pesanan bahawa kami sama seperti orang lain melalui persembahan Zelotones kelak,” katanya.

Bagi acara Purple Parade kali ini, Nuraziana juga bakal mengiringi kumpulan orkestra inklusif paling besar di Singapura, Purple Symphony, sebagai vokalis jemputan bagi pembuka acara ini.

Menyentuh tentang perkembangan akan datang Zelotones, Nuraziana berkata:

“Insya-Allah pada hujung 2024, kami akan mengeluarkan single pertama kami yang berjudul Merajuk.

“Kerja seni ini dilakukan secara berdikari. Kami hanya meminta bantuan daripada kolektif muzik, The Lion Story, untuk merakamkan lagu ini secara profesional.

“Lagu Merajuk ini menyelitkan unsur sindiran jenaka dalam ragam bercinta ketika berdepan dengan kerenah pasangan yang terlalu ikutkan perasaan.”

Merajuk boleh didengar menerusi wadah penstriman digital seperti YouTube, Spotify dan iTunes pada akhir 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg