Topic followed successfully
Go to BHkuVokalis band rok XPDC, Mael, meninggal dunia
Vokalis band rok XPDC, Mael, meninggal dunia
Vokalis band rok XPDC, Mael, meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Perjalanan vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael di dunia fana ini terhenti apabila menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam pada Khamis (27 April).
Sebaik sahaja berita kematian penyanyi jolokan 'Raja Funfair' itu tersebar, ramai rakan industri, peminat termasuk pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah, sambil menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar buat dunia muzik rock tanah air.
Antara individu cukup terkesan termasuk pengurus XPDC yang juga sahabat karib yang sudah dikenali lebih tiga dekad lalu iaitu Mohd Yazid Selamat.
Sepanjang 35 tahun mengenali arwah sebagai rakan sekerja dan sahabat, Yazid mengakui, di sebalik imej 'rockers', Mael memiliki keperibadian mulia yang tidak diketahui ramai.
"Ramai orang salah sangka selama ini hanya kerana imejnya yang agak 'brutal'. Apa yang dilihat hanyalah dari segi zahir sahaja.
"Sepanjang mengenalinya, arwah seorang baik hati dan tidak pernah menyusahkan sesiapa. Kalau bergurau pun, arwah tak pernah ambil hati.
"Malah, arwah juga seorang yang sangat merendah diri. Walaupun kita tahu arwah seorang 'rockstar' berdasarkan populariti dikecapi dan vokal hebatnya, namun arwah tidak pernah tenggelam dengan pujian.
"Kalau puji pun, arwah hanya ketawa dan akan tanya saya kembali, betulkah dia popular?," cerita Yazid kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.
Yazid menambah, selain tidak mudah hanyut dengan arus populariti, arwah bukanlah seorang yang bersifat pendendam, meskipun sering berdepan kecaman oleh mereka yang hanya mengenalinya dari sudut luaran sahaja.
"Sebagai anak seni, arwah pastinya tak lepas berdepan kecaman. Namun, arwah sering nasihatkan saya supaya tidak membalas kecaman dilemparkan kepadanya.
"Apa sahaja persepsi buruk khalayak terhadapnya, arwah reda dan terima semuanya dengan hati terbuka tanpa ada perasaan marah atau dendam," ujarnya.
Ditanya perasaannya apabila mendengar perkhabaran duka itu, Yazid berkata, dia tergamam dan hilang punca.
"Masa terima panggilan, saya sedang makan malam. Saya nampak nama arwah membuat panggilan.
"Bila saya angkat rupanya pemanggil adalah adik arwah dan memberitahu arwah dalam perjalanan ke hospital kerana mengalami semput teruk.
"Tidak lama kemudian, saya terima panggilan lagi menyatakan arwah sudah tiada. Masa dengar berita, saya tak tahu nak cakap apa.
"Kali terakhir kami berkomunikasi pada Aidilfitri lalu apabila saya menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp dan saling bermaafan.
"Arwah memang sudah lama mempunyai penyakit asma dan bergantung dengan 'inhaler' atau ubat sedutan," kata Yazid yang ketika dihubungi ketika dalam perjalanan ke Muar untuk menghadiri majlis pengebumian arwah Mael, pagi tadi.
Terdahulu, Allahyarham Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, akibat sesak nafas, kira-kira jam 8.41 malam tadi.
Jenazah arwah dibawa ke kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong, Muar dan disolatkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Allahyarham Mael dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, sekitar jam 10.55 pagi Jumaat.
Ratusan ahli keluarga, rakan artis, peminat dan penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi menyaksikan upacara pengebumian dan memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi legenda itu.
Yang turut hadir, ahli kumpulan XPDC, bekas gitaris kumpulan Wings, Joe Branko dan ratusan ahli keluarga, peminat serta penduduk setempat.
Allahyarham Mael meninggalkan lima cahaya mata. - BHM Online

