Entah mengapa, setiap kali muncul wajah pelakon Aini Jasmin (ada juga namanya dieja Annie Jasmin) dalam filem-filem klasik Shaw Brothers, pasti ramai yang tersenyum terhibur.
Wajah comel manis dengan pipi tembam, bersanggul dan badan bulat, Aini sering diberikan peranan pelakon penyokong yang sedikit dialognya, tetapi ekspresi penyampaiannya meninggalkan kesan.
Ingat adegan beliau membaca surat daripada Ros (lakonan Rose Yatimah) untuk Ramli (P. Ramlee), Ajis (Aziz Sattar) dan Sudin (S. Shamsuddin) yang buta huruf dalam filem Pendekar Bujang Lapok? Dan juga ketawa lucunya bercakap dengan gambar kekasihnya, Abang Brahim?
Dalam filem Antara Dua Darjat pula, beliau berperanan sebagai orang gaji yang bernama Putih yang ketakutan apabila menyangka kucing sebagai hantu berbulu.
Dalam filem Sarjan Hassan pula, wataknya sering bersimpati dan mempertahankan P. Ramlee sebagai Hassan, apabila dibuli watak lakonan Jins Shamsudin.
Aini merupakan antara sedikit pelakon bertubuh agak gempal yang menyerlah dengan wataknya dalam filem-filem lama. Yang lain termasuklah Siti Tanjung Perak dan Saamah.
Dalam satu catatan di blog tulisan Allahyarham Datuk Musafah Ton, bekas Presiden Persatuan Wartawan Hiburan (EJA), yang juga pernah membuat liputan sejak era perfileman di Jalan Ampas, berbeza dengan Siti Tanjung Perak, Saamah dan Minah Yem, Aini tidak pernah diberi watak garang atau jahat, mungkin kerana wajahnya yang terlalu selamba untuk memainkan peranan yang terlalu serius.
Namun biar ringan mana pun watak yang diberikan, kemunculan Aini tetap menambah warna kepada filem-filem yang dilakonkan.
Aini dilahirkan pada 1927 di Jakarta, Indonesia kini. Berdasarkan laporan arkib Berita Harian, beliau beliau mula melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak zaman remaja dengan mengikut kumpulan pentas bangsawan di Indonesia.
Beliau kemudian menyertai studio Shaw Brothers di Singapura dengan filem lakonan pertamanya di sini ialah Aloha pada 1950 yang menampilkan Allahyarham Mariam dan Osman Gumanti sebagai pelakon utama.
Filem berbentuk filem hitam putih itu telah diarahkan oleh B.S. Rajhans dan Aini diberi watak penduduk kampung yang menjadi kawan baik kepada watak Mariam.
Dalam filem-filem lain, biarpun beliau masih diberikan watak sampingan, Aini tetap meninggalkan "trademark" ekspresi comelnya yang tersendiri, contohnya sebagai pengasuh yang pandai berdandan ranggi bernama Wok dalam filem Aksi Kucing (1966).
Dalam filem Anak Dara (1966) beliau yang membawa watak "Dara" cukup lucu berbalas pantun dengan Laba lakonan Wahid Satay, berpantun bagi pihak kawan baiknya, Zaleha, lakonan Suraya Haron.
Berdasarkan catatan Wikipedia, beliau berlakon lebih 100 filem dengan hampir kesemuanya melibatkan watak sampingan terutamanya sebagai pembantu rumah.
Apabila studio Shaw di Jalan Ampas tutup pada akhir 1960-an, Aini hilang pekerjaan tetapi memilih untuk meneruskan kehidupan di Singapura sedangkan ramai teman-teman seangkatan berhijrah ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya perfileman di sana.
Namun beliau sempat menjayakan filem Satu Titik Di Garisan, filem berwarna yang dibuat di Malaysia pada 1973 dipercayai merupakan filem terakhir lakonannya.
Kehidupannya pasca era Jalan Ampas tidak banyak dilaporkan.
Berdasarkan keratan laporan Berita Harian pada 1980, Aini tinggal di sebuah flat satu bilik di Aljunied Crescent bersama seorang anaknya yang bernama Suriati Bakar.
Beliau menghidap penyakit kencing manis dan kehidupannya bergantung pada wang bantuan kebajikan.
Aini dilaporkan meninggal dunia pada 29 Jun 1988, di Blok 109, Aljunied Crescent.
Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman.
"Namun biar ringan mana pun watak yang diberikan, kemunculan Aini tetap menambah warna kepada filem-filem yang dilakonkan." - Penulis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg