Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau dipisah sempadan, lagu tetap 'jalan'

Bakat SG, Rizman Saleh, usahakan lagu 'Mudahnya Ku Jatuh Cinta' bersama komposer Malaysia, Along Exists, dalam tempoh pandemik
Jun 7, 2021 | 5:30 AM
TIADA YANG MUSTAHIL: Dalam tempoh sempadan Singapura dengan Malaysia ditutup kerana wabak Covid-19, bakat Singapura, Rizman Saleh (atas), bersyukur dapat terus bereksperimen menghasilkan lagu cinta 'Mudahnya Ku Jatuh Cinta' dengan bantuan pemuzik Malaysia, Along Exists (bawah). - Foto BH oleh DESMOND WEE
TIADA YANG MUSTAHIL: Dalam tempoh sempadan Singapura dengan Malaysia ditutup kerana wabak Covid-19, bakat Singapura, Rizman Saleh (atas), bersyukur dapat terus bereksperimen menghasilkan lagu cinta 'Mudahnya Ku Jatuh Cinta' dengan bantuan pemuzik Malaysia, Along Exists (bawah). - Foto BH oleh DESMOND WEE -

Sempadan memisahkan dua bakat tempatan ini daripada teman seni dari band legenda Malaysia. Namun, tiada yang dapat menghalang kerjasama muzik mereka terjalin terus dengan penghasilan lagu yang dapat disajikan kepada pendengar. BERITA HARIAN melaporkan.

HAMPIR 35 tahun lamanya bakat Singapura, Rizman Saleh, terlibat dalam bidang muzik dengan menyertai beberapa band tempatan.

Namun, dalam tempoh ramai anak seni rasa keterasingannya daripada pentas hiburan dek dunia sekeliling yang dicengkam wabak Covid-19 sejak tahun lalu, timbul keinginan buatnya menggubah irama dan mencipta lirik lagu pertamanya.

Lagu berjudul Mudahnya Ku Jatuh Cinta itu disusun semula pemuzik dan penggubah lagu band ikonik di seberang Tambak, Along Exists.

Menurut Rizman, 49 tahun, yang bertugas sepenuh masa sebagai penolong pengurus operasi, beliau dan Along tidak bersua muka bagi penghasilan lagu ini.

Mereka setakat berurusan di alam maya menerusi e-mel, WhatsApp, Telegram dan Messenger.

Ia perkembangan yang sangat menakjubkan buat Rizman, ayah lima anak, melihat pada teknologi muzik terkini yang canggih dan tidak mengenal batas sempadan.

Ikuti wawancara bersamanya tentang lagu yang sudah ke udara di corong radio.

Soalan (S): Bagaimana anda berkecimpung dalam bidang muzik?

Rizman: Sejak 1987, saya berada dalam band di bawah pengurusan pemuzik dan penulis hiburan, Allahyarham Azman Siraj, tetapi hanya mampu bertahan selama dua tahun kerana sebab-sebab tertentu.

Saya kemudian kembali aktif pada 2005 bersama kumpulan SOS. Kali terakhir saya bergiat dalam band adalah bersama kumpulan Candescent hingga tahun lalu.

Kini, saya bergerak sebagai bakat solo.

S: Bagaimana timbul idea bagi 'Mudahnya Ku Jatuh Cinta'?

Rizman: Ini adalah percubaan pertama saya sebagai penulis lirik dan penggubah lagu. Along Exists membantu dari segi susunan muzik.

Memandangkan tiada lagi projek muzik atau persembahan dan pertunjukan live yang dapat dijayakan kerana pandemik, maka timbullah idea buat saya bikin lagu dan melakukannya dari kejauhan bersama Along dengan memanfaatkan teknologi dalam talian.

Bermacam-macam wadah kami gunakan, baik e-mel, Messenger, WhatsApp mahupun Telegram.

Alhamdulillah, impian buat lagu dapat juga dikotakan.

S: Ceritakan cabaran bikin lagu dalam tempoh pandemik.

Rizman: Sebenarnya, cabarannya tidaklah begitu besar kerana rakan kerjasama saya adalah Along Exists yang berpengalaman.

Cuma sayangnya kami tidak berkesempatan bersua muka untuk berunding empat mata atau berbincang lanjut sambil minum teh atau kopi bersama.

Alhamdulillah, walau apa pun keadaannya, segalanya berjalan lancar.

S: Bagaimana mengenali Along?

Rizman: Melalui gitaris kumpulan Gersang, Ajib, saya mengenali Along sekitar 2016.

Semasa itu, saya bekerjasama dengan bakat hebat Singapura, Zaibaktian, bagi penghasilan lagu Sahabatku. Saya bekerjasama sebagai penggubah dan penulis lirik lagu tersebut.

S: Apakah yang anda pelajari daripada proses pembikinan lagu ini?

Rizman: Saya belajar tentang kuasa teknologi maklumat dan alam siber yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam menghasilkan kerja seni yang baik.

Saya juga belajar tentang erti kepercayaan antara dua individu yang menetap di negara berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu bagi membereskan kerja seni ini.

Saya dan Along Exists juga dapat jalin kerjasama padu yang mudah-mudahan akan berterusan selepas ini.

S: Apakah jalan cerita yang cuba disampaikan dalam lagu anda ini?

Rizman: Lagu ini sebenarnya menceritakan bagaimana manusia mudah terpedaya dengan janji manis serta kata-kata yang tidak pasti dalam sekelip mata dan tanpa usul periksa.

Ia bersesuaian dalam konteks fasa jalinan hubungan atau baru berkenalan, persahabatan dan percintaan.

Rasa waspada itu perlu. Kalau tidak terdaya lagi, akan dipermainkan atau ditinggalkan.

S: Apakah kenangan paling bermakna sepanjang terlibat dalam bidang nyanyian?

Rizman: Saya hargai detik berkenalan dengan Zaibaktian yang tidak putus-putus memberi saya galakan di samping membakar semangat saya agar terus berkarya. Nantikan lagu duet kami Ogos ini.

Beliau juga beri saya peluang dan kepercayaan turut serta dengan artis mapan dalam acara muzik santai di Teater Luar Esplanade pada Mac tahun lalu sebelum acara awam kemudian dibataskan.

S: Apakah pengamatan anda tentang dunia seni Singapura?

Rizman: Sebenarnya, dunia seni Singapura boleh bergerak maju jika ada semangat kerjasama dalam kalangan bakat tempatan.

Kalau ada semangat memberi sokongan kepada rakan seni kita yang lain dan sudi berganding bahu, tentunya apa yang dicita-citakan akan menjadi.

Tiada sikap berkelompok dan berpuak yang memusnahkan persada seni kita sendiri. Saya juga berharap stesen radio kita juga memainkan peranan memajukan muzik Singapura.

Kita cuma ada dua stesen radio. Sebaiknya, kita lebih ketengahkan bakat kita dan beri mereka galakan.

S: Bolehkan anda ulas tentang dunia muzik tanpa sempadan?

Rizman: Saya bekerjasama dengan Along Exists dari Malaysia bukan kerana saya tidak meyakini kerja seni orang tempatan.

Ini lebih pada eksperimen - bagaimana jarak yang memisahkan kita dan penggunaan teknologi maya membantu dalam menghasilkan kerja seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg