KUALA LUMPUR: Selepas mengangkat hal rumah tangga dalam lagu Ragaman, Faizal Tahir bercerita kisah kecenderungan manusia bersikap tergesa-gesa melalui single baharu, Santai.
Santai yang diterbitkan Faithful Music menyaksikan kolaborasi penyanyi dan komposer berusia 43 tahun itu bersama Ezra Kong.
Faizal atau nama sebenar, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, berkata idea menghasilkan single Santai tiba secara spontan.
"Idea itu datang apabila Ezra menyebut perkataan santai dalam sesi menulis lagu.
"Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhan berkisar sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam melakukan atau mendapatkan sesuatu.
"Malah, sikap tergesa-gesa manusia disebut Allah dalam al-Quran," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi, malah, mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
"Kelebihan lagu Santai ini adalah dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam pelbagai lapisan masyarakat.
"Kebanyakan lagu yang saya hasilkan sejak kebelakangan ini membawa mesej yang dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial," katanya lagi.
Baginya, usaha itu dianggap cara terbaik untuk memberi kesedaran dan nasihat kepada diri sendiri dan orang ramai.
"Kita lebih mudah faham dan hadam perkara yang lebih dekat dengan kita.
"Tetapi setiap nasihat mahu pun teguran dalam karya saya adalah untuk diri saya sendiri dahulu, sebelum ditujukan kepada orang lain.
"Saya harus faham dan mampu hadam mesej daripada karya, itu paling penting. Sekiranya pendengar mendapat manfaat dengan menghayati karya saya, ia dianggap bonus," katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Santai, Faizal kembali bekerjasama dengan Ezra selepas kali terakhir menghasilkan lagu Malaysia pada 2018 dan Kamu, setahun kemudian.
"Ezra tahu apa yang dimahukan dan apa yang perlu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyanyi," katanya.
Faizal berkata, lagu Santai yang siap dirakam, Mei lalu, bukanlah kesinambungan kepada lagu Ragaman biarpun lirik berunsur nasihat.
"Mesej Ragaman lebih 'direct' (terus) mengenai ragam kehidupan suami isteri. Lirik single Santai lebih berkias dan boleh diguna pakai dalam apa sahaja situasi," katanya.
Sementara itu, Ezra yang turut bertindak selaku penerbit single Santai berkata, lagu berkenaan cukup dekat dalam kehidupan seharian.
Malah, Ezra melihat mesej yang cuba disampaikan dalam lagu Santai perlu dijadikan iktibar bagi mengelak masalah pada masa akan datang.
"Lumrah kehidupan masa kini membuatkan kita menjadi semakin serakah dan terdesak untuk memperoleh kekayaan dunia dalam waktu paling singkat.
"Sebenarnya, wang ringgit, harta, pangkat, kereta mewah, poligami hanyalah selingan sementara daripada kesengsaraan dan realiti yang perlu dihadapi setiap insan.
"Dalam lagu ini, Faizal menyeru agar kita selalu santai dan tidak bertindak secara terburu-buru.
"Kuda yang tua memanglah tidak laju seperti dulu, namun tetap 'steady' dan padu," katanya berkias.
Lagu Santai ini boleh didengari di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox.
Video muzik rasmi single Santai boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir. - Berita Harian Malaysia


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg