Baru-baru ini seorang sahabat, yang sedang meniti usia persaraan, berkongsi keluhan akan rasa bosan kerana tiba-tiba rasa tidak diperlukan.
Kalau masa mudanya beliau sibuk mengetuai pelbagai projek, kini beliau hanya menjadi pemerhati dari jauh, yang pendapat dan pandangan pun langsung tidak diperlukan.
Namun beliau memujuk hati sendiri, bahawa apabila bersara nanti, beliau tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk ‘punch card’, tidak perlu lagi berperang dengan kesibukan trafik pagi.
Sememangnya, memang bukan sedikit golongan karyawan senior yang tiba-tiba berasa kosong, hilang arah, seolah-olah 30 tahun khidmat yang dicurahkan sia-sia.
Ini juga dilema yang pernah disentuh oleh pendakwah Malaysia, Ustazah Norhafizah Musa (yang saya tonton menerusi klip di TikTok) bahawa penyakit sebenar orang bersara ialah letihnya jiwa, bukan tubuh.
Pertama, kita lupa bahawa persaraan bukan titik noktah, tetapi tanda koma.
Hidup tidak berhenti di pejabat atau syarikat lama. Ia cuma bertukar pentas, dari pentas korporat kepada pentas kemasyarakatan, keluarga, atau bahkan diri sendiri.
Inilah masa untuk menabur bakti dalam bentuk lain: Mengajar cucu mengaji, menjadi sukarelawan, atau menghidupkan masjid dan surau dengan kudrat serta pengalaman.
Kedua, penghargaan tidak semestinya datang dalam bentuk plak perpisahan atau jam tangan emas.
Ada jasa yang tidak nampak pada mata manusia tetapi dicatat rapi oleh Allah.
Rasa “tak dihargai” itu lahir kerana kita terlalu menunggu tepukan dari luar, sedangkan sepatutnya kita menunggu reda dari atas.
Ketiga, persaraan adalah peluang menyusun semula keutamaan hidup.
Selama ini masa dihabiskan untuk kerjaya dan mencari rezeki.
Kini masa untuk melabur pada diri, menjaga kesihatan, memperbaiki ibadah, menuntut ilmu yang selalu tertangguh.
Ada yang mula bertani di laman kecil, ada yang mula menulis buku, ada juga yang berani melancong jauh setelah lama menangguhkan impian.
Keempat, jangan abaikan sisi sosial.
Ramai pesara yang jatuh murung kerana menyendiri. Kawan sekerja ramai, anak-anak sibuk dengan keluarga mereka.
Justeru, cipta komuniti baru, sertai kelab buku, kelas seni, atau sekadar kumpulan berjalan pagi di taman.
Manusia itu makhluk bersosial dan kesihatan mental bergantung pada keakraban dengan orang lain.
Akhirnya, benar kata ustazah: Apabila semua sandaran hilang – jawatan, gelaran, kuasa – kita belajar meletakkan harapan hanya kepada Allah.
Bukan kerana kita tiba-tiba menjadi terlalu baik, tetapi kerana sudah tiada tempat lain yang lebih kekal untuk kita berpaut.
Dan kalau masih terasa bosan, ingatlah, dunia persaraan ini ada juga bonusnya.
Kini tiada lagi mesyuarat tergempar 6 petang, tiada lagi e-mel bertubi-tubi pada tengah malam.
Satu-satunya ketua pegawai eksekutif ‘CEO’ yang perlu kita jawab kini hanyalah Chief Eternal Overseer – Allah swt.
Moga kita yang meniti persaraan bersiap-siap ‘tekan brek’ demi perjalanan yang lebih nyaman dan damai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg