Apakah yang diperlukan untuk memastikan segala operasi berjalan lancar di sebuah taman permainan berprestij seperti Skyline Luge Singapore – terutama apabila anda bertanggungjawab ke atas 65 kakitangan, perlu banyak berjalan di bawah terik matahari, namun tetap menguntum senyuman dan menyapa mesra pelanggan?
Bagi Nur Farhana Abdul Rahim, atau lebih dikenali sebagai ‘Mummy Farah’ dalam kalangan teman-teman dan pekerjanya, itulah rutin harian sebagai Pengurus Operasi, Skyline Luge Singapore, yang terletak di Sentosa.
Dengan pengalaman lebih 15 tahun di tapak itu, beliau bukan sekadar menyaksikan perkembangan taman tarikan ikonik di Sentosa itu, malah menjadi sebahagian daripadanya.
Cik Nur Farhana, 36 tahun, memulakan kerjayanya pada 2009 sebagai kru sambilan ketika masih mengikuti pengajian Psikologi di institusi privet, Kaplan.
Tidak menyangka akan kekal lama, ibu seorang anak lelaki itu akhirnya membina kerjaya sepenuh masa di situ.
Daripada merupakan kakitangan barisan hadapan ke bahagian latihan, pematuhan, dan seterusnya menyertai jawatan pengurusan.
“Saya mula sebagai hos operasi sambilan. Bila hamil, saya dipindahkan ke kaunter tiket sebab kerja operasi agak berat.
“Selepas kembali daripada cuti bersalin, saya diberi tanggungjawab mengetuai pasukan kecil dan daripada situ, saya terus berkembang,” jelas Cik Nur Farhana.
Beliau menjadi ibu pertama dalam pasukan ketika itu. Maka dirinya digelar “Mummy” oleh rakan sekerja.
Gelaran itu kekal hingga kini, bukan sahaja kerana statusnya sebagai ibu, malah juga kerana gaya kepimpinannya yang menggabungkan empati dan ketegasan.
“Sebagai pengurus, bagi saya kebajikan staf adalah paling utama.
“Bila kita jaga staf, mereka akan jaga pelanggan,” katanya, sambil mengakui cabaran terbesar adalah mencari individu yang dapat bertahan dengan kerja fizikal dan cuaca luar yang mencabar.
Tugas Cik Nur Farhana bermula seawal 8 pagi, sejam lebih awal daripada kakitangannya.
Beliau memulakan hari dengan pemeriksaan di tapak – meneliti aspek keselamatan dan kebersihan – sebelum bersedia menyambut pengunjung pada 10 pagi.
“Saya bukan jenis yang suka buat kerja pada minit terakhir.
“Saya suka mulakan hari dengan tenang, mungkin dengan secawan kopi, dan pastikan minda saya bersedia,” ujarnya sambil tersenyum.
Walaupun kerja seharian menuntut banyak pergerakan, beliau tidak melihatnya sebagai kekangan. Sebaliknya, itulah rahsia kesihatannya.
“Saya tak perlu pergi gim. Kerja saya sendiri sudah cukup aktif. Saya cuma pastikan makan sihat, minum air secukupnya, dan tidur yang cukup,” tambah Cik Nur Farhana.
Sepanjang 15 tahun di Skyline Luge, terlalu banyak pengalaman berharga yang diperolehi.
Salah satu yang paling menyentuh hati baginya ialah ketika membantu seorang pengunjung kurang upaya penglihatan menikmati tunggangan luge.
Bagi yang belum tahu, luge adalah sejenis kenderaan beroda graviti yang membolehkan penunggang meluncur menuruni trek yang direka khas.
Ia menawarkan pengalaman yang mendebar dan menyeronokkan, dan penunggang mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas kelajuan mereka.
“Kami bantu dia turun secara tandem, dengan staf di kiri dan kanan.
“Apabila sampai ke bawah, dia menangis kegembiraan dan peluk kami. Saya masih ingat peristiwa itu walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu,” singkap Cik Nur Farhana dengan penuh emosi.
Cik Nur Farhana tidak memisahkan antara kerjaya dengan keluarga.
Sejak anaknya masih kecil, beliau sering membawa anaknya ke tempat kerja, menjadikan kunjungan ke Skyline Luge sebagai kegiatan tradisi semasa cuti sekolah.
“Anak saya sekarang dah 14 tahun. Dari dia bayi, dia dah biasa dengan tempat ini. Dia faham apa kerja ibu dia,” katanya bangga.
Sebagai ‘anak tempatan’ di tapak luge, Cik Nur Farhana tidak lokek berkongsi panduan buat pengunjung.
“Jangan panik. Ramai orang terlalu teruja dan lupa arahan.
“Tenang, ikut panduan, dan nikmati perjalanan.
“Trek kegemaran saya ialah Dragon Track sebab lebih mencabar dan saya dah ‘membesar’ dengan trek tu,” katanya sambil ketawa.
Cik Nur Farhana kini memasang impian untuk meneroka lebih banyak tapak luge antarabangsa dan suatu hari nanti menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar.
“Saya dah ke Busan dan Tongyeong di Korea tahun ini (2025).
“Seronok lihat cara mereka uruskan tapak masing-masing. Saya harap dapat peluang ke New Zealand pula hujung tahun ini,” katanya.
Kepada wanita lain yang mungkin teragak-agak untuk bekerja di luar pejabat, nasihat Cik Farah:
“Jangan terlalu banyak berfikir. Kalau awak suka suasana luar, cuba saja. Mana tahu, ini jalan kerjaya yang sesuai dengan awak.”
Kini, ketika Skyline Luge merai pencapaian 100 juta tunggangan di seluruh dunia dan 20 tahun di Sentosa.
Pencapaian itu bukan milik syarikat sahaja. Ia juga menjadi detik penuh bermakna buat Cik Farah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg