Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian berubah ikut waktu seiring matang usia

Jul 9, 2025 | 5:30 AM
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu
Hanim Mohd Saleh, Editor Bersekutu (Kolumnis Kanan), Berita Harian/Berita Minggu - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ketika kita masih muda, dunia terasa luas dan penuh kemungkinan.

Kita mengejar cita-cita, membina impian – ada yang besar, ada yang remeh tapi tetap kita anggap penting.

Saya masih ingat lagi, pada usia 20-an tahun, saya memasang impian untuk memiliki sebuah kereta berjenama mewah.

Saya hafal setiap model, bandingkan spesifikasi, dan bayangkan betapa bangganya saya apabila dapat memandunya kelak.

Tetapi pada waktu itu, keutamaan saya lain – saya lebih rela menggunakan wang yang ada untuk keperluan keluarga, pendidikan, dan membantu orang lain.

Saya berjanji dalam hati, satu hari nanti apabila semuanya sudah stabil, saya akan hadiahkan kereta itu kepada diri saya sendiri.

Tahun demi tahun berlalu, fasa kehidupan berubah.

Anak-anak membesar, komitmen kewangan semakin kurang, dan alhamdulillah, rezeki bertambah.

Kini, saya mampu membeli kereta idaman itu dengan selesa kalau saya mahu, tanpa perlu berkira.

Tapi anehnya, keinginan itu sudah tidak ada.

Begitu juga dengan keghairahan terhadap jam tangan mahal, beg berjenama, atau pakaian berstatus eksklusif.

Dulu, saya menghafal setiap edisi dan reka bentuk. Sekarang, semuanya terasa asing dan tidak penting.

Mengapa? Kerana dengan usia, datang kematangan.

Apa yang saya dahulukan dulu, sekarang saya pandang sebagai satu pilihan yang bijak.

Saya tidak menyesal kerana tidak memenuhi kehendak kebendaan itu dahulu.

Saya tahu, pada masa itu, saya membuat keputusan terbaik bagi keadaan saya.

Kini, apa yang lebih saya dambakan ialah ketenangan, kesihatan yang baik, masa bermutu dengan keluarga, dan kedamaian jiwa.

Impian saya kini bukan lagi terletak pada barangan yang boleh dibeli, tetapi pada pengalaman yang memberi makna.

Percutian sederhana bersama keluarga, waktu solat yang tidak tergesa-gesa, dapat membaca buku dengan tenang tanpa gangguan – semua ini menjadi ‘kemewahan’ baru dalam hidup saya.

Saya tahu, ada yang masih cuba meyakinkan saya...

“Beli saja kereta itu, jam itu, kamu layak.”

Tapi layak tidak semestinya perlu.

Apabila kita sedar apakah yang benar-benar membawa nilai dan ketenangan, kita tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang.

Kita tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Kita sudah cukup, dan kita bersyukur.

Adakah saya menyesal tidak mengejar semua kemahuan itu semasa muda?

Tidak. Saya hanya tersenyum dan bersyukur kerana saya tahu, saya telah mengisi tahun-tahun itu dengan pilihan yang memberi manfaat kepada lebih ramai orang, bukan sekadar untuk kepuasan diri sendiri.

Kematangan bukan hanya soal umur, tetapi bagaimana kita melihat hidup ini dengan lebih luas dan dalam.

Dan bila tiba masa untuk melihat ke belakang, kita mahu dapat berkata dengan hati yang lapang – “Aku telah hidup dengan bijaksana”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg