Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jackie Ying dari A*Star ke Arab Saudi

Bina makmal penyelidikan baru di Riyadh, cari huraian tangani penyakit genetik yang banyak landa warga Timur Tengah
Jul 16, 2025 | 5:30 AM
jackie ying, riyadh
Arab Saudi dan negara di Timur Tengah menghadapi kadar tinggi penyakit genetik disebabkan amalan perkahwinan dalam kalangan anggota keluarga atau puak dan itulah antara yang kini diusahakan oleh Profesor Jackie Yi-Ru Ying (dua dari kanan) untuk mencari huraian. Beliau dirakam bersama rakan sekerjanya di makmal barunya di Hospital Pakar & Pusat Penyelidikan Raja Faisal di Riyadh. - Foto HOSPITAL PAKAR & PUSAT PENYELIDIKAN RAJA FAISAL

Profesor Jackie Yi-Ru Ying, tokoh dunia dalam bidang nanoteknologi yang dikenali dengan gaya minimalisnya – bertudung ringkas, sut gelap dan kasut sukan – kini memulakan bab baru dalam kehidupannya di Arab Saudi.

Dalam usia menghampiri 60 tahun, beliau meninggalkan segala pencapaian di Singapura demi membina makmal penyelidikan baharu di Riyadh, ibu kota negara Timur Tengah itu.

“Saya rasa seperti 20 tahun lebih muda kerana teruja dengan semua perkara baru yang ingin saya lakukan,” ujar Profesor Ying dalam satu wawancara dengan akhbar, The Straits Times.

Profesor Ying bukan nama asing dalam landskap penyelidikan Singapura.

Dilahirkan di Taiwan dan mendapat latihan akademik di Amerika Syarikat, beliau merupakan antara penyelidik terkemuka yang dibawa ke Singapura lebih dua dekad lalu oleh mantan Pengerusi Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), Encik Philip Yeo, untuk menjadikan negara ini hab bioperubatan serantau.

Beliau turut memainkan peranan utama dalam penubuhan Biopolis – pusat penyelidikan utama negara.

Namun, tahun-tahun terakhir beliau di Singapura bukan tanpa cabaran.

“Kami tidak lagi mempunyai tahap kebebasan seperti dahulu, dan ini benar-benar menjejas kelancaran operasi kami,” dakwanya, merujuk kepada perubahan kepimpinan yang memberi kesan kepada pelbagai institut di bawah A*Star.

Pindah Demi Cabaran Baru

Pada pertengahan 2023, peluang luar biasa hadir apabila beliau dijemput menjadi Profesor Pelawat Tersohor dan Penasihat Kanan kepada Presiden Universiti Petroleum dan Mineral Raja Fahd (KFUPM), yang baru sahaja menubuhkan jabatan biokejuruteraan.

Tidak lama kemudian, beliau menyandang jawatan utama sebagai Ketua Jabatan Biokejuruteraan dan Nanoperubatan di Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan Raja Faisal (KFSHRC) di Riyadh.

“Ia keputusan yang amat sukar untuk meninggalkan Singapura.

“Makmal kami sudah sangat mantap dengan pasukan kakitangan yang sangat berdedikasi – mereka seperti keluarga saya,” kata beliau dengan penuh emosi.

Bina Makmal Bertaraf Dunia

Dalam masa kurang dua tahun, Profesor Ying berjaya membangunkan sebuah makmal seluas 1,500 meter persegi – bersamaan lebih 10 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik – dengan kelengkapan penyelidikan canggih.

Pasukannya kini merangkumi lebih 12 penyelidik dan pelajar possiswazah dan akan terus berkembang.

“Saya rasa saya sedang berlumba dengan masa. Untuk membuat perubahan besar dalam usia 50-an tahun memerlukan keberanian yang sangat besar,” katanya.

Tumpu pada Penyakit Genetik dan Terapi RNA

Arab Saudi dan negara di Timur Tengah menghadapi kadar tinggi penyakit genetik disebabkan amalan perkahwinan dalam kalangan anggota keluarga dan puak atau kabilah.

Profesor Ying melihat keperluan mendesak dalam bidang ini dan ingin menyumbang kepakarannya.

“Doktor di sini akan mengetuk pintu; mereka sangat bersemangat untuk menjalankan penyelidikan.

“Kami melihat kekecewaan sesetengah klinisian dalam (menangani) penyakit genetik.

“Mereka tahu pesakit mereka sedang menderita, tetapi terdapat kekurangan terapi yang berkesan dan dalam kemampuan,” jelas beliau.

Pasukannya kini membangunkan terapi RNA – sejenis rawatan yang menggunakan molekul buatan untuk menyekat penghasilan protein penyebab penyakit.

Mereka turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mempercepat pembangunan rawatan itu.

“Terapi RNA boleh jauh lebih murah daripada terapi DNA yang kini mencecah lebih $2 juta bagi seorang pesakit dengan atrofi otot tulang belakang,” katanya.

Sumbangan Lebih Luas di Tanah Arab

Pintu peluang terbuka lebih luas apabila Profesor Ying menjadi wanita pertama memenangi Hadiah Raja Faisal dalam bidang Sains – digelar ‘Hadiah Nobel Arab’ – pada 2023.

Pada awal 2025, beliau turut dilantik mengetuai penyelidikan dan inovasi untuk keseluruhan rangkaian hospital KFSHRC di Arab Saudi.

Selain penyakit genetik, beliau turut memantau wabak penyakit berjangkit baharu bersama syarikat Cellbae melalui pengesanan sisa kumbahan di hospital, ladang dan tapak keagamaan – satu langkah penting dalam pemantauan kesihatan awam di rantau ini.

Latih Generasi Baharu

Profesor Ying juga bersemangat membimbing bakat muda.

Ramai calon Doktor Falsafah (PhD) yang juga bekas rakan sekerjanya dari Singapura kini menyertai beliau di Arab Saudi.

Ia termasuk Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim, bekas pelajarnya dari NanoBio Lab – inkubator penyelidikan – yang kini telah ditutup.

“Saya ingin melatih pelajar dan penyelidik senior agar mereka dapat meneruskan tugas ini apabila saya sudah tiada,” katanya.

Bagi Profesor Ying, keputusan untuk meninggalkan Singapura bukan hanya mengenai kerjaya – ia adalah tentang misi kemanusiaan.

“Saya juga mempertimbangkan untuk kembali ke AS (Amerika Syarikat), tetapi peluang di Arab Saudi lebih menarik… sesuatu yang berbeza di benua lain,” tambahnya.

Keperluan mendesak cari huraian penyakit genetik di Timur Tengah

“Doktor di sini akan mengetuk pintu; mereka sangat bersemangat untuk menjalankan penyelidikan. Kami melihat kekecewaan sesetengah klinisian dalam (menangani) penyakit genetik. Mereka tahu pesakit mereka sedang menderita, tetapi terdapat kekurangan terapi yang berkesan dan dalam kemampuan.”
Profesor Jackie Yi-Ru Ying, mantan Pengarah Pengasas, Institut Biokejuruteraan dan Nanoteknologi (IBN) di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg