Kadangkala, daripada luka yang mendalam, lahir sesuatu yang indah.
Itulah yang dilalui oleh Cik Suraiyah Abdul Malek, 45 tahun, pengasas butik fesyen, Sue Tariq, yang memulakan perniagaan dalam talian pada 2005 sebagai cara mengatasi kesedihan selepas kematian bayi, 12 jam selepas melahirkannya.
“Ketika itu, saya sangat sedih dan mengalami kemurungan. Sukar untuk meneruskan hidup seperti biasa,” luah Cik Suraiyah yang sebelum berniaga bekerja sebagai pembantu pentadbir undang-undang.
Melihat keadaan Cik Suraiyah yang lemah, sepupunya mengajak beliau bercuti ke Bangkok untuk membeli-belah dan menenangkan fikiran.
Di sana, Cik Suraiyah membeli pelbagai aksesori sebagai cenderahati.
“Tanpa disangka, barangan yang saya beli disukai oleh kawan-kawan dan saudara-mara. Mereka menggalakkan saya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan,” tambah beliau.
Dengan bantuan sepupunya, beliau memulakan perniagaan dalam talian pada 2005 menggunakan wadah Multiply.
Beliau pergi ke Bangkok sebulan sekali untuk mendapatkan bekalan.
Cik Suraiyah secara beransur-ansur meluaskan perniagaannya daripada aksesori kepada pakaian, mendapatkan bekalan dari Indonesia dan Hong Kong serta berurusan terus dengan kilang untuk tempahan khas.
“Secara perlahan-lahan, saya belajar untuk kembali fokus dan membangkitkan semangat saya.
“Saya juga belajar daripada kejayaan jenama popular seperti, Charles & Keith. Mereka sentiasa memperkenalkan sesuatu yang baru setiap minggu dan ini memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara yang sama,” ujar Cik Suraiyah.
Pada 2016, beliau membuka kedai fizikal pertamanya di Hougang Green, kemudian berpindah ke Changi Road, dan kini mempunyai butik di Woodlands Horizon.
Dengan kemudahan teknologi, Cik Suraiyah kini lebih kerap berurusan dengan pembekal secara dalam talian.
Beliau dan pasukannya juga aktif mempromosikan koleksi terbaru mereka secara langsung di media sosial.
“Media sosial sangat penting pada era ini. Ia bukan sahaja meningkatkan jualan bahkan juga memupuk hubungan baik dengan pelanggan.
“Apabila kita mengenali pelanggan secara peribadi, mereka akan menjadi pelanggan setia kerana rasakan keikhlasan kita,” kata Cik Suraiyah.
Berbeza dengan sesetengah jenama fesyen lain, Sue Tariq, memberi tumpuan kepada keperluan wanita Melayu tempatan, termasuk mereka yang bersaiz besar.
Kebanyakan koleksinya mempunyai saiz sehingga 4XL.
Beliau mahu menawarkan pakaian dan aksesori yang bukan sahaja cantik bahkan juga mampu milik dan sesuai untuk wanita Asia Tenggara.
“Saya faham cabaran mencari pakaian yang cantik, sesuai dengan bentuk badan dan cuaca kita. Ramai wanita, terutama yang bersaiz besar, sering rasa tersisih.
“Jadi saya pastikan koleksi saya mempunyai pilihan untuk semua,” jelas beliau.
Sebagai seorang ibu kepada lima orang anak berusia antara lima tahun dengan 22 tahun, termasuk seorang anak istimewa yang menghidap autisme kini berusia 14 tahun, Cik Suraiyah, bijak mengimbangi peranannya sebagai ibu dan usahawan.
“Fokus saya pada waktu pagi hingga 3 petang adalah untuk anak-anak. Selepas itu, baru saya ke kedai,” katanya.
Beliau disokong oleh pasukan yang berdedikasi – tiga kakitangan pekerja sepenuh masa dan empat pekerja sambilan – serta suami tercinta, yang mempunyai syarikat perkhidmatan hiasan untuk dewan.
“Suami saya bukan daripada dunia fesyen, tetapi dia sentiasa menyokong saya. Dia juga mempunyai jiwa seni,” katanya sambil tersenyum.
Koleksi pakaian Sue Tariq sering menjadi tumpuan, terutama menjelang musim perayaan.
“Setiap kali pelanggan berkongsi gambar mereka memakai koleksi saya untuk Hari Raya, hati saya tersentuh.
“Saya sedar saya sedang mencipta sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pakaian – ia tentang harga diri dan keyakinan wanita,” luahnya.
Usaha gigih Cik Suraiyah telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Ibu Muda Cemerlang oleh Jamiyah Singapura pada 2019.
Jenama Sue Tariq juga tersenarai dalam Top 500 Anugerah Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) pada Disember 2024.
“Ini semua adalah hasil usaha bertahun-tahun dan sokongan pelanggan setia saya,” katanya dengan penuh syukur.
Melihat kembali perjalanan kerjayanya, Cik Suraiyah berkata beliau mampu bangkit kerana adanya sokongan keluarga dan rakan-rakan, terutama kaum wanita yang mahu melihat wanita sepertinya berjaya dalam hidup.
“Semasa saya dalam kemurungan, saya ada saudara-mara wanita dan kawan-kawan wanita yang bersungguh-sungguh mahu melihat saya bersemangat semula.
“Kini setelah saya mempunyai perniagaan mantap, saya juga pastikan saya mainkan peranan untuk bantu para pekerja saya, yang masing-masing ada cabaran sendiri dalam kehidupan.
“Jangan hadapi masalah atau cabaran seorang diri… kita perlukan teman untuk bimbingan dan beri nasihat semasa susah dan senang,” ujar beliau.
Beliau juga berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.
“Jangan tunggu sehingga sempurna baru nak mula.
“Mulakan dengan apa yang ada, dan percayalah – jika kita berniat baik, rezeki akan datang dengan cara yang tidak disangka-sangka,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg