Ramadan 2025 membawa dimensi baru dalam perjalanan ibadah saya.
Jika sebelum ini saya melaksanakan solat tarawih hampir setiap malam di masjid, pada 2025, saya menghabiskan lebih separuh daripada Ramadan dengan bersolat di rumah.
Faktor kesihatan, khususnya sakit belakang yang semakin ketara, menyebabkan saya terpaksa mengubah rutin ibadah saya.
Perubahan ini mengingatkan saya tentang hakikat kehidupan – bahawa semakin kita berusia, semakin banyak cabaran fizikal yang boleh menjejas ibadah kita.
Namun, ia juga mengajar saya bahawa kekuatan dalaman dan keikhlasan hati tetap menjadi asas utama dalam mendekatkan diri kepada Allah.
Setiap Ramadan menjelang, ramai di antara kita menetapkan pelbagai matlamat – menghabiskan bacaan Al-Quran, memperbanyak solat sunat, mengurangkan berat badan, atau meningkatkan amalan sedekah.
Namun, sering kali juga kita gagal mencapai semua sasaran yang kita tetapkan.
Hal ini boleh berpunca daripada kekangan masa, kesibukan harian, atau keadaan yang tidak diduga.
Apa yang penting adalah untuk tidak berasa kecewa atau menyalahkan diri sendiri.
Ramadan bukan semata-mata tentang mencapai kesempurnaan tetapi tentang usaha kita untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Setiap langkah kecil ke arah kebaikan tetap bermakna dan harus dihargai.
Ramadan adalah bulan latihan rohani yang mendidik kita tentang kesabaran, disiplin, dan pengorbanan.
Namun, cabaran yang lebih besar adalah meneruskan amalan baik ini selepas Ramadan.
Adalah lumrah untuk berasa semangat ibadah sedikit menurun apabila Syawal tiba, tetapi kita harus mencari jalan untuk mengekalkan momentum tersebut.
Tidak perlu perubahan drastik. Amal kebaikan yang kecil tetapi tekal lebih bernilai daripada amalan besar yang dilakukan sekali-sekala.
Memastikan solat lima waktu tetap terjaga, meneruskan bacaan Al-Quran walaupun hanya beberapa ayat sehari, dan terus memberi sedekah mengikut kemampuan adalah antara langkah mudah yang boleh kita amalkan sepanjang tahun.
Ramadan juga memberi ruang untuk refleksi diri.
Dalam keheningan sahur dan selepas berbuka, kita dapat menilai kembali perjalanan hidup kita, hubungan kita dengan Allah, dan interaksi kita dengan sesama manusia.
Bulan ini mengajar kita tentang pentingnya kemaafan dan rahmat – bukan sahaja kepada orang lain malah kepada diri sendiri juga.
Memohon keampunan daripada Allah dan daripada mereka yang pernah kita sakiti, serta memberi kemaafan kepada mereka yang pernah melukai kita, adalah antara nilai utama yang ditanam dalam Ramadan.
Selain itu, Ramadan turut mendidik kita agar sentiasa bersyukur dan melihat kehidupan dengan lebih positif, menyedari bahawa setiap cabaran yang kita hadapi adalah satu bentuk ujian yang akan mendekatkan kita kepada-Nya.
Setiap individu akan mengalami Ramadan dengan cara yang berbeza, tetapi yang penting adalah bagaimana kita mengambil pelajaran daripada bulan yang penuh keberkatan ini untuk terus memperbaiki diri.
Meskipun Ramadan bakal berlalu, semangat dan nilai yang kita pelajari harus terus kekal dalam kehidupan seharian.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk meneruskan amal kebaikan dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, bukan hanya dalam Ramadan, malah sepanjang hayat kita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg