Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sedekad bina jenama kecantikan, busana pengantin, tanpa gegak gempita

Pengasas With Love Yumi (WLY), Yumi Basics, Yumi Academy, kongsi pengalaman dari operasi di rumah hingga miliki studio pameran dan akademi kecantikan
Aug 20, 2025 | 5:30 AM
Daripada beroperasi di rumah, Cik Yumi Ayummi, kini menjalankan perniagaan khidmat pengantin, menjual produk dan menjalankan akademi kecantikan dari studionya yang terletak di S9 Building, #06-07, 55 Serangoon North Avenue 4.
Daripada beroperasi di rumah, Cik Yumi Ayummi, kini menjalankan perniagaan khidmat pengantin, menjual produk dan menjalankan akademi kecantikan dari studionya yang terletak di S9 Building, #06-07, 55 Serangoon North Avenue 4. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun ramai jurusolek dan penyedia khidmat perkahwinan muncul di pasaran tempatan, hanya segelintir yang berjaya membina jenama yang disegani.

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Yumi Ayummi, 41 tahun, pengasas With Love Yumi (WLY), Yumi Basics dan Yumi Academy, yang tanpa mengejar glamor atau sorotan lampu populariti, telah berjaya mengukir nama sebagai salah satu jenama yang dipercayai dan dihormati dalam dunia solekan dan perkahwinan tempatan.

WLY akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 pada 2025 dengan sebuah persembahan peragaan pakaian pengantin di Parkroyal on Beach Road pada 31 Ogos.

Beliau yang pernah bekerja dalam sektor perbankan, telah memerah segenap tenaga dan mengukuhkan keazaman untuk memulakan cabaran baru dalam dunia keusahawanan demi mengejar minat dalam dunia kecantikan.

Kalau sesetengah mak andam muda popular berpaut pada nama-nama yang telah mapan dalam bidang khidmat pengantin untuk dikenali ramai, Cik Yumi bergerak sendiri tanpa gegak gempita.

“Dulu saya kerja bank. Balik malam, kadang 8 malam, kadang hampir 9 malam. Saya tak ada ‘life’ (kehidupan),” kongsi Cik Yumi yang memulakan langkah awal sebagai jurusolek bebas sekitar 2010.

Selepas mendirikan rumah tangga pada 2009, beliau mengambil keputusan untuk berehat daripada pekerjaan dan menyertai kursus solekan.

Minat mendalam terhadap kecantikan dan seni solekan telah mendorong beliau menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan, bermula dengan menyolek rakan dan saudara, sebelum perlahan-lahan menerima tempahan berbayar.

Namun, perjalanan menuju kejayaan bukanlah tanpa dugaan.

Ketika masih bekerja sepenuh masa dan mengendalikan tempahan solekan secara sambilan, dua anaknya yang ketika itu berumur tiga dan empat tahun, kurang mendapat perhatian.

Menyedari perkara itu, beliau mengorak langkah berani – meletakkan jawatan di bank dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja sambilan yang kini menjadi rezeki utamanya.

“Saya berhenti kerja dan nekad tak nak susahkan suami dari segi kewangan.

“Saya anggarkan masa tu, kalau saya dapat $500 sebulan pun cukup, sebab saya boleh duduk rumah,” ceritanya.

Dari rumah flat di Sengkang, beliau memulakan WLY secara kecil-kecilan.

Beliau membawa masuk busana dari Malaysia, mengumpulkan bahan-bahan fotografi bagi semua koleksinya untuk promosi sehingga perlahan-lahan, jenamanya mula dikenali.

Walaupun ketika hamil anak ketiga, beliau tidak berhenti berusaha.

Secara perlahan-lahan beliau menambah koleksi, melayani pelanggan dengan dedikasi, dan mengekalkan gaya minimalis moden bercampur ciri-ciri tradisional Melayu yang menjadi identiti jenamanya.

Dari rumah ke studio pameran

Sebagai pendatang baru dalam dunia mak andam, beliau mengakui tidak mudah meyakinkan mak-mak pengantin yang lebih terdedah kepada penyedia khidmat pengantin yang sudah dikenali di Singapura.

Disebabkan itulah, setelah beberapa tahun beroperasi dari rumah, beliau mengambil satu lagi langkah besar, iaitu membuka studio pameran WLY di S9 Building, #06-07, 55 Serangoon North Avenue 4.

“Sebelum itu, saya hadapi cabaran untuk yakinkan mak-mak pengantin tentang kemampuan saya.

“Saya masih ingat ada seorang mak pengantin bertubi-tubi soal saya, ‘Dah berapa tahun awak dalam industri? Awak daftar ke tidak?’

“Itu antara sebab saya terdorong nak ada kedai sendiri supaya orang lebih yakin dengan perkhidmatan kita,” ujarnya.

Kini, setelah sedekad, Cik Yumi mempunyai 20 kakitangan, termasuk pasukan media sosial dan jurusolek, dan mengendalikan secara purata lima hingga enam majlis perkahwinan setiap minggu.

Jenamanya bukan sekadar berkembang, malah menjadi pilihan ramai termasuk pasangan bukan Melayu dan selebriti tempatan.

Daripada solekan ke gaya hidup

Melihat cabaran yang dihadapi industri perkahwinan, terutama semasa pandemik Covid-19, Cik Yumi mengambil inisiatif memperluaskan jenama.

Maka lahirlah Yumi Basics, rangkaian alat solek yang kini memasuki tahun ketiga.

“Sebagai jurusolek, saya sangat pentingkan formula. Lipstik saya, contohnya, tak mengeringkan bibir dan sesuai untuk semua rona kulit,” jelasnya.

Produk Yumi Basics kini merangkumi bahan solekan seperti bedak asas, pemerah pipi dan celak.

Malah, ia bakal berkembang ke arah gaya hidup dengan pelancaran beg tangan dan pakaian kasual.

Di samping itu, beliau turut menubuhkan Yumi Academy yang menawarkan bengkel solekan kepada individu dan korporat.

Antara lain, beliau pernah mengendalikan kursus solekan bagi kakitangan syarikat seperti Hitachi dan pelajar Sekolah Menengah Spectra.

“Saya suka bila pelajar-pelajar ini teruja belajar solekan. Kita bukan sekadar ajar, bahkan beri mereka keyakinan diri,” kata beliau.

Berkorban demi anak

Sukar untuk menidakkan bahawa kejayaan WLY dibina atas dasar pengorbanan besar seorang ibu.

Empat anaknya yang kini berusia 15 tahun, 14 tahun, 10 tahun dan 8 tahun, dibesarkan dalam suasana tatkala beliau membina empayar kecilnya.

“Saya rasa saya dah banyak berkorban masa, tenaga dan kewangan. Jadi kalau saya menyerah, macam sia-sia. Saya buat semua ini untuk anak-anak saya.

“Bagi saya, kalau nak buat bisnes, jangan separuh jalan. Kalau dah mula, teruskan. Jangan cepat putus asa.

“Saya tak kejar populariti. Saya hanya mahu bina legasi yang boleh bertahan, insya-Allah,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg