Seramai 181 wanita bergabung tenaga dalam suasana penuh semangat apabila mereka menyertai, The Great 117, sebuah cabaran kecergasan intensif anjuran Great Eastern, yang diadakan khas untuk peserta berdaftar dalam, Great Eastern Women’s Run (GEWR) 2025.
Acara pada 30 Ogos di Hab Sukan Singapura, OCBC Square, yang berlangsung menjelang larian utama pada 9 November itu menampilkan lima stesen permainan berintensiti tinggi: Battle Rope, Shuttle Run, Kettlebell Swing, Box Jump, dan Reaction Wall.
Lebih daripada sekadar ujian fizikal, ia menjadi wadah untuk peserta wanita saling menguatkan, menyokong, dan meraikan daya ketahanan diri dalam suasana masyarakat yang positif, ujar penganjur dalam kenyataan.
Edisi 2025 turut menyaksikan penglibatan pelajar atlet dari Maktab Rendah Victoria, yang berlari dan berlatih seiring peserta daripada pelbagai latar belakang.
Kehadiran mereka menandakan iltizam Great Eastern untuk memperkasa wanita merentas generasi, sekali gus seiring dengan pelancaran kategori baharu peringkat tertiari di GEWR 2025, tambah kenyataan tersebut.
Kategori itu memberi ruang kepada pelajar atlet untuk membina keyakinan dan mengembangkan potensi melalui sukan.
Juara keseluruhan Great 117, Cik Teo Hui Hsien, 31 tahun, berkata:
“Daripada semua stesen, Reaction Wall, menjadi kegemaran saya kerana ia mencabar tanpa memberi terlalu banyak tekanan.
“Untuk larian GEWR tahun ini (2025), saya akan melakukan 5km mengikut rentak sendiri, dengan tumpuan pada latihan kekuatan seperti Kettlebell Swing dan lompat untuk menguatkan kaki.
“Nasihat saya kepada wanita, khususnya yang berusia lebih 60 tahun, ialah tetapkan matlamat jelas, usia bukan halangan.
“Kecergasan datang daripada tetekalan dan mencari apakah yang sesuai untuk diri kita.”
Dengan sokongan masyarakat yang kental serta semangat yang membara, The Great 117, mencerminkan bahawa kecergasan bukan sekadar soal daya fizikal, malah kekuatan mental dan sokongan bersama.
Ia menjadi pembakar semangat untuk ribuan wanita yang bakal menyertai GEWR 2025 pada November nanti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg