Peter Augustine Goh
Suatu hari Ahad yang mendung lagi dingin itu, aku dihangatkan dengan tekadku yang bulat dan nazarku yang pekat. Bernazar kepada ibu yang usur amat. Apabila berjaya membawa adik pulang nanti, kami akan buat kenduri doa selamat. Tanda kesyukuran kepada Ilahi.
Sebelum harapan itu menjadi kenyataan, terlebih dahulu adik mesti ditegur bulat-bulat. Buat malu saja. Nama saja anak seorang haji (arwah) dan seorang hajah. Tapi perangai sungguh tidak menyenangkan hati. Macam burung yang apabila sudah ada kepak, terbang jauh-jauh lagi tinggi melebihi awan, tak ingat sedikitpun lagi kepada ibu bapa.
Manakan hendak ingat lagi, kerana begitu sibuk membuat kerja yang tidak berkat itu. Ada orang nampak adik buat kerja yang memalukan. Apa untungnya orang tuduh adik buat kerja tak hasanah itu? Ya, apa untungnya orang memfitnah. Tapi zaman ini zaman edan. Macam orang gila yang tak ada kerja lain, sanggup tuduh sembarangan. Tidak senang melihat orang lain senang. Tapi sekali lagi pula, ‘jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang’. Ah, bagiku pula mungkin pelanduk dua serupa. Muka adik tidak mustahil seiras penjangak itu. Mungkin adik tak sempurna sifatnya, tapi takkanlah sampai begitu sekali fiilnya. Banyak cara lain hendak mencari duit lebih tapi cara sedemikian, yang silap hari bulan, perbuatan terkutuk berakhir dengan hukuman yang tidak salah alamat.
Orang akan tuduh ibu bapa tak pandai jaga anak. Mana adil, tiada seorang tua yang tergamak mengajar anak menjadi sebegitu rupa. Apabila terjadi saja sesuatu yang tak berkenan di mata atau menjengkelkan hati, orang tua yang selalu dipersalahkan. Memang tidak patut dan tidak wajar langsung.
Kalau benar sekalipun ibu atau bapa tak melakukan sesuatu yang murni itu, biar aku saja yang melakukannya. Oh, di tengah-tengah jeritan batinku, dalam diriku menyanggah keras. Terasa pedas bagaikan menyindir aku habis-habis, “Mengata dulang paku serpih,mengata orang awak yang lebih.”
Tidak lagi, itu dulu. Sekarang benar-benar tidak lagi. Aku sendiri telah buangkan segala yang menjengkelkan hati itu ke laut taubat sebelum terlambat. Aku sudah ditambat al-’afwu. Sudah tenggelam dan tidak akan timbul-timbul lagi segala seksaan jiwa akan dosa-dosa yang sudahnya akan menimbulkan onar dan membuat diri nanar sahaja. Insya-Allah.
Apabila sampai di rumah Izzat dalam lebih kurang sejam nanti, aku akan menyampaikan teguran atau nasihat ibu kami. Biarlah adik iparku, Kalsom, mendengarnya. Biarlah dua orang anak saudaraku, Aziz (lima tahun) dan Azizah (tujuh tahun) juga berdesing telinga mendengarnya. Ini bukannya soal aib atau tak aib lagi. Sudah tiba masanya, cukup-cukuplah dengan segala apa pun yang tidak disenangi sebelum terlambat seperti aku yang telah membetulkan mana-mana yang terkhilaf. Menepatkan mana-mana yang tersasar. Dan menggenapkan mana-mana yang kurang. Hidup ini memang singkat. Bila-bila masa saja, malaikat maut akan datang mengundang untuk pergi ke negeri-Nya yang satu. Menandakan benar-benar sudah sampai ke akhir garisan usia yang tidak boleh dipertikaikan akan isbat-Nya.
Ya, aku perlu menyedarkannya daripada sebuah ketersasaran dan biarlah dia insaf, seinsaf-insafnya. Sekali gus melenyapkan rintihan ibu tua yang memuncak dalam diri kerana amat terpanggang dengan rindu yang menebal. Biar dia menggelinjang dengan sebuah nazar juga, teruja benar untuk menunaikan permohonan berulit kesedaran yang pasti disenangi mutmainah.
Aku akan berkata panjang lebar begini, “Bumi manalah yang tidak ditimpa hujan, dik. Abang pun pernah membuat silap. Silap besar. Kerana seorang perempuan berada, abang menjadi seorang Tanggang. Lupa akar. Lupa asal. Kasih sayang abang kepada orang tua, habis. Habis disambar perempuan yang akhirnya membuat cinta abang kepada arwah ayah dan ibu melayang dan sesat bagaikan layang-layang yang terputus talinya lalu tersangkut di sebalik bukit yang curam. Melayang dan tersesat jauh kerana Marlina sendiri yang bagaikan menendang abang macam bola dengan tendangannya yang amat tepat seperti menjaringkan gol kemenangan mengesahkan kehandalannya bermain bola cinta tiga segi bersama bekas tunangnya. Sudahnya kerana tidak mahu dikatakan dayus, abang telah melafazkan kalimat yang begitu mudah diucapkan, bagaikan senjata paling tajam yang menggugurkan kedudukannya sebagai wanita bergelar isteri. Dengan talak tiga, Marlina, anak orang kaya raya dilihat tersenyum lebar kerana bekas tunangnya sudah lama menunggu dalam dakapannya. Dan cabarannya berjaya menjunjung piala kejayaan cinta dengan Taufik. Kedudukannya dalam firma ayah Marlina pasti terjamin juga. Dan abang pula pasti menggigit jari kerana tersilap hari abang bagaikan didatangi mimpi ngeri yang tidak pernah abang relakan sama sekali.”
Jeda. Kerana saat itu, renunganku kepada suatu kemalangan tidak jauh dari bas yang aku naiki ke rumah adikku terjejas. Selepas bas itu meninggalkan tempat kejadian nahas itu, fikiranku bersambung, “Abang memang sesat setelah cinta abang ternoda. Abang menjadi kaki botol, kononnya minuman keras itu akan melenyapkan kekecewaan itu. Tetapi abang tersasar, sampai ada orang kata dan mengejek penuh sinis, ‘Tengoklah anak lelaki kepada arwah Kassim dan Hajah Maimunah. Bila tak ada duit, tahu tinggal di rumah, tapi bila ada duit banyak, dalam longkanglah tempat tidurnya. Badan berbau tengik tak sudah’.
Tapi abang tak berbadan tengik buat selama-lamanya. Kepala abang di bahagian dahi luka parah dan berdarah. Kaki kanan serta tangan kiri abang terkehel dan hampir patah gara-gara minuman keras pada suatu malam yang panas. Ada seorang hamba Allah yang baik hati telah menghubungi polis dan abang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan cemas. Jika terlambat sedikit (kerana banyak kehilangan darah), abang mungkin menyertai ayah di dunia sana dan bergelar arwah sekarang. Luka abang sembuh setelah dua bulan yang lalu tapi parutnya bagaikan masih dirawat ekoran ‘taufan’ nahas di tepi longkang besar yang airnya senitasa berarus deras.”
Jeda lagi. Bukan kerana nahas yang lain. Tapi kerana air mataku mengalir deras juga pada tahap itu. Aku menyeka air mataku, lalu bersambung fikiranku, “Adik, nahas itu satu hikmah. Abang disuntik penyesalan dan ingin kembali ke pangkuan ibu yang dibungkus kesepian. Kembali ke rumah ibu. Ibu bukan main gembira dan terharu sekali. Terubat sebahagian kerinduannya. Abang kaya air mata juga apabila ibu berkata dengan nada suara penuh getaran, ‘Setiap rumah tentu indah kerana ia ada hati, Karim. Hati yang penuh keikhlasan dan kesetiaan yang dibina atas nama kasih sayang yang amat mahal untuk dijual dan amat suci untuk dibeli. Jadilah seperti teratai. Teratai lambang kesucian, kebangkitan kerohanian dan kesetiaan. Dianggap suci kerana mampu timbul dari air yang keruh pada sebelah pagi, dan bersih sepenuhnya. Juga melambangkan kesucian ucapan, dari segi tubuh dan minda.’ Ya, adikku, marilah kita sama-sama menjadi anak yang soleh daripada tubuh bonda. Jasadmu dan abang sendiri adalah pewaris bonda yang mutlak. Nabi pernah bersabda bahawa iman itu lebih 60 ranting, yang paling tinggi ialah kalimat: ‘Lailahaillallah.’ Dan paling rendahnya ialah membuangkan diri dari tengah jalan.”
Tiba-tiba dalam diriku menjerit keras. Bagaimana kalau adikku menyinga, melenting pedas dan keras dengan matanya yang mencelang garang, “Ha, abang ni pandai saja bercakap macam seorang ustaz. Tapi abang sendiri...”
Jika itu termuntah keluar dari mulutnya, aku akan mengatakan seperti aku katakan tadi. Memang itu dulu, tapi tidak sekarang. Bukankah aku sudah bertaubat dan belum terlambat. Apakah yang boleh aku katakan lagi selain daripada itu?
Sebalikya aku akan menambah, “Umpan bagi anjing adalah tulang. Umpan bagi kucing adalah ikan. Umpan bagi orang-orang yang gila kuasa dan wanita adalah godaan (habuan/rasuah). Umpan bagi anak yang tersasar seperti kamu dan abang adalah cinta sejati lagi murni. Tak pernah akan dikhianati. Percayalah! Kalau kamu tak termakan umpan, sungguh malang sekali. Sedih amat.”
Kalau Izzat terdiam, aku akan menambah lagi, “Ingat juga, musuh kita datang dari segala arah godaan, tapi satu saja yang kita selalu lupa – dalam diri kita sendiri. Dalam diri kita ada musuh yang selalu berperang. Tapi jika sekali tabah tak mudah rebah. Adik, pulanglah ke rumah. Abang tahu kamu bukannya orang senang. Terpaksa buat dua kerja untuk menanggung keluarga. Sibuk betul. Semua orang sibuk, tapi takkanlah tak ada masa sekejap pun menjenguk ibu sampai bertahun-tahun. Ibu amat merindui adik dan biarlah rindunya terpenuh dan lengkap semuanya. Bukan sebahagian dalam bentuk diri abang saja.”
Akan aku hulurkan keratan akhbar yang telah menyiarkan sajak buat ibu di akhbar minggu lagu. Mungkin dia belum membacanya. Orang yang begitu sibuk di tengah paru-paru kota raya tentu tidak ada masa untuk menghayati karya seni. Sedangkan ibu kandung juga bagaikan sudah terkucil dalam hidupnya, ini pula sajak yang mungkin tidak enak dibaca tentang keinginan seorang ibu yang berbunyi begini:
KEINGINAN
(bisikan hati seorang tua)
Ingin benar aku
menadah hujan hakikat lebat
bagi menghilangkan dahaga kasih
berulit rindu yang memuncak,
bukan mimpi ngeri pekat
yang hanya membuat aku terbebat
tergeliat pedih
siang penat
malam melarat
sebagai seorang tua yang berdaulat
tidak diteruskan
terkucil yang tidak direlakan.
Anak cucu yang sarat
biarlah keinginanku terpenuh
tidak sekadar mengunyah kasih
tatkala didakap rindu
dengan merenung barisan gambar
terpamer sayu di rak kayu yang kaku
yang semakin terkumpul debu
di kejauhan tiada kesudahan
sambil menghitung hari
sebelum terpanggil pasti
meninggalkan desa hayat
kembali ke negeri-Nya yang satu.
Terbisiklah dalam kalbu kalian
betapa ketika aku dibuai kegembiraan
lama sudah
aku menikmati muzik indah
tapi tatkala didakap kepiluan
aku memahami lirik sendunya
betapa manusia tak mudah mati
kerana kebuluran
tapi cepat memakukan hujung usia
kerana sebuah kata
bernama kesunyian.
Aku tidak bimbangkan kegelapan
dalam sebuah rumah penuh kesepian
kerana di tengah-tengah kegelapan itu
ada jalur cahaya yang tersirat
sirr-Nya yang tak perlu diragu gugat
cuma sebuah keinginan lebat itu
sentiasa basah dengan kasih sayang
agar dapat aku berjalan terus
tanpa cemas dan berkicau racau
dan tak jenuh-jenuh berbisik penuh harap:
“Teguran keramat ini diperlekehkan jangan
ketidakpedulian mematahkan peluang keemasan
melihat aku lagi di masa depan
tapi jika kalbu
terusap kata-kata syahdu
kalian membesar
dengan keihsanan
dan kesetiaan
penuh keikhlasan setiap waktu
merafakkan kemanusiaan
daripada dikebumikan.
Pulanglah.
Bukan saja sebuah sajak tentang keinginan ibu, akan aku hulurkan juga seutas tasbih yang telah lama ditinggalkannya di rumah dua bilik usang ibu. Tasbih itu telah dihadiahi ibu kepada kami setelah pulang dari menunaikan haji lama dulu sebelum kami tersasar dengan fiil buruk kami yang lupa diri akan ayah dan ibu. Dan juga akan janji kami sebagai anak agar menjadi anak yang benar-benar soleh dan ingin mencium harum syurga sampai ke akhir hayat kami. Ya, tasbih itu pernah menjadi saksi yang tak pernah dilupakan mentari, bulan dan matahari.
Akan aku katakan lagi, “Dik, kalau abang boleh, kamu juga boleh. Ingat dik, rumah itu adalah hati kita, dunia kita. Pulanglah seperti telah abang lakukan sebelum ibu menutup mata buat selama-lamanya. Jangan tunggu sampai terjadi sesuatu nahas seperti abang yang telah mengalami pengalaman payau baru hendak bertindak wajar dan bijak.”
Sampai saja di depan rumah adik tiga bilik di tingkat tujuh rupa-rupanya aku tidaklah seberani angan-angan. Kalsom dan dua orang anaknya yang tidak berdosa itu bermata merah dan basah tak sudah. Terhenjut-henjut semahu mereka. Pihak berkuasa lebih muktamad dan berani dalam menjalankan kewajipan dengan mengheret adik ke muka pengadilan.
Benarkah adik penjenayah yang telah melakukan perniagaan haram menyeludup rokok dan mengedarkan bahan terlarang kerana hendak mendapatkan wang yang lebih banyak sedikit sampai lupa kepada ibu yang penuh kerinduan dalam sebuah kesepian yang lebat melata. Pada tahap itu, aku bagaikan terpukul lagi, bagaikan mengesahkan ‘kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah’.
Alangkah pedihnya, apabila tasbih yang aku keluarkan dari beg sandangku terjatuh lalu berderai di koridor satu per satu manik jernihnya. Aku terpukul dan hanya menyaksikan dengan mata berair lagi merah juga melihatkan dengan tidak bermaya dua orang pihak berkuasa mengiringi adik di kiri dan kanan adik. Mataku terpaku kepada adik yang menekur lantai penuh kemuraman dan kebodoh-bodohan dengan gari logam bergelang di kedua-dua belah tangannya. Tentu pedih pergelangan tangannya semasa dipiuh sebegitu rupa.
Pada saat itu juga, aku merasakan seutas tasbih itu bukan sahaja telah terlerai sayu tetapi juga janji adik kepada arwah ayah dan ibu yang lama menanti kepulangannya di rumah usang hanya tinggal janji kosong yang pasti menjadikan hati ibu tercarik luka dan pasti tidak akan sembuh hingga ke akhir garisan usia seorang ibu yang penuh duka. Parutnya usah dikatakan lagi. Pasti dibawa bersama dan tak sempat dirawat jika ditakdirkan ibu berpulang lebih awal sebelum keinginannya terpenuh. Bagaimanakah dapat aku khabarkan kepada ibu akan ‘petaka’ yang dahsyat ini?
Aku terasa benar-benar tidak seberani angan-angan. Angan-angan yang terasa dibawa angin lalu sesat di sebalik bukit yang curam, bagaikan diketawakan Marlina. Ketawa puas-puaslah Marlina. Aku tak pernah berdendam. Setiap apa pun yang terjadi ada hikmahnya. Termasuk nasib malang adikku bernama Izzat. Izzat yang ibu inginkan mulia dalam erti kata yang sebenarnya dalam bentuk seutas tasbih dan sebuah janji yang tidak pernah terkucil daripada jiwanya dan tangannya yang kejap membesarkan kami, semulia-mulianya.
BIODATA PENULIS
Peter Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif bagi murid sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan penterjemah bebas.
Buku terbarunya ialah sebuah kumpulan puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia, dan sebuah novel kanak-kanak, serta sebuah kumpulan cerpen terbitan Caliph Readers, Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg