Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Watak serius ‘Misteri Jam 12’ bawa rezeki kepada pelawak Hamzah Adon

Jun 16, 2023 | 1:38 PM
TIDAK DUGA WATAK SERIUS MENJADI: Setelah sekian lama jadi pelawak, Hamzah tidak menduga peranan serius dalam drama seram, ‘Misteri Jam 12’ membawa tuah pencalonan Pesta Perdana.
TIDAK DUGA WATAK SERIUS MENJADI: Setelah sekian lama jadi pelawak, Hamzah tidak menduga peranan serius dalam drama seram, ‘Misteri Jam 12’ membawa tuah pencalonan Pesta Perdana. - Foto MEDIACORP SURIA

Pelawak dan penyanyi lagu komedi Singapura, Hamzah Adon, tidak pernah menduga akan meraih pencalonan bagi majlis pengiktirafan bakat seni setempat, Pesta Perdana, apa lagi dalam kategori lakonan serius.

Beliau begitu teruja apabila dimaklumkan bahawa dirinya adalah antara calon Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Pembantu (Drama Khas/Antologi) bagi peranan yang dibawanya dalam siri drama seram, Misteri Jam 12 (Musim Pertama).

Saingannya terdiri daripada Andy Idris (Papa Pilot), Fir Rahman (Air Mata Ayah), Junaidi Sali (Air Mata Ayah) dan Rizal Aiman (Misteri Jam 12 Musim Kedua).

Ketika dihubungi Berita Harian, Hamzah, 51 tahun, berkata: “Saya macam tak percaya sebab sebelum ini pun, tak pernah dicalonkan bagi kategori pelawak atau pelakon komedi. Kerja saya biasanya bikin orang ketawa.

“Semasa diminta bawa watak serius dalam Misteri Jam 12 sebagai kawan Fir Rahman yang ada muslihat dan iri hati ni pun, saya terfikir betul ke mereka nak saya berlakon dalam watak serius? Apakah mereka yakin saya boleh bawa watak ini? Saya berusaha berikan sahaja yang terbaik dengan pastikan emosi dan lontaran dialog saya berkesan.

“Selepas dicalonkan, saya harap saya boleh pegang watak serius dan orang takkan ketawakan saya kalau saya bawa peranan lebih berat sebab kita pun nak cuba watak lain selain berlawak.”

Hamzah memang komited dalam bidang seni dan banyak belajar daripada veteran bidang jenaka di Singapura seperti Allahyarham Alias Kadir, Husin Saaban dan Zaliha Hamid tentang erti komitmen dalam lawak jenaka kerana ia bisnes serius.

“Orang tak tahu kadangkala kita perlu ‘pecah kepala’ fikirkan jenaka yang boleh bikin orang tergelak dan tidak sensitif sehingga orang tersinggung.

“Saya banyak belajar daripada arwah Abang Alias yang saya sifatkan sebagai mentor dan beberapa pelawak lain yang pernah bekerjasama dengan saya seperti Abang Husin dan Kak Liha tentang pengorbanan berseni dan buat lawak demi menggembirakan orang lain yang kita tak tahu mungkin sedang dalam kesedihan dan mencari penawar,” ujarnya.

Buat tempoh masa yang lama juga, Hamzah diminta menjadi ‘wubby’ atau pengacara penyemarak semangat penonton sebelum rakaman program ‘live’ dimulakan.

Khidmatnya digunakan pihak Mediacorp Suria ketika program Sinar Lebaran dan Rayakustika menjalani penggambaran ‘live’ pada 2023.

“Kerja sebegini nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kespontanan kerana apa sahaja boleh berlaku kerana masalah teknikal dan sebagainya. Abang-abang pemuzik selalu jadi teman bergurau.

“Keserasian dengan rakan ‘wubby’ yang mengacara bersama juga penting. Saya pernah digandingkan dengan seseorang yang kerjanya nak ‘membahan’ saya sahaja atau jadikan saya orang untuk disindir dan dijatuhkan. Pada saya, tak perlulah mengacara dengan orang sebegitu.

“Semasa Sinar Lebaran, saya berganding dengan deejay Fadli Kamsani. Saya minta Fadli ikut sahaja dan ‘layan’ kerenah saya. Dia mungkin ‘orang baru’ tetapi saya bersyukur kerana sikap saling menghormati dalam dirinya memudahkan kerja urusan kami pada malam itu,” tambah Hamzah.

Hamzah hanya mengharapkan kerjaya seninya terus mekar dengan peluang mengacara dan menghibur orang ramai dalam lakonan dan nyanyian tetap menjadi matlamat utamanya.

Beliau juga menebar impian persada seni Singapura akan membuka peluang dan ruang untuk semua berkarya secara sihat, bebas daripada rasa iri dan ingin sama-sama maju dalam kerjaya dan nyala rasa yang tersimpan dalam hati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg