Pelakon, Winona Ryder, diselubungi emosi apabila tiba di set penggambaran, Beetlejuice Beetlejuice.
Bintang berusia 52 tahun itu menghidupkan semula watak Lydia Deetz dalam filem susulan arahan, Tim Burton, yang sangat terkenal, Beetlejuice.
Yang paling istimewa buat Ryder ialah melihat pelakon, Michael Keaton, kembali sebagai hantu kelakar seram.
“Saya sebak bercampur gembira. Untuk bekerjasama dengan Michael lagi dan juga Tim yang macam seorang abang yang sering melindungi saya serta menggalakkan saya dari usia muda sangat istimewa.
“Saya amat tersentuh dapat memakai kostum Beetlejuice dan berada dalam sekitaran yang terasa bebas. Biarkan saya berada dalam filem bebas dan saya boleh buat apa sahaja,” tambah Ryder kepada majalah Britain, OK!
Ryder bersetuju menjayakan filem susulan itu meskipun pada ketika itu tiada skrip diberikan kepadanya.
“Apa sahaja filem arahan Tim, mestinya seronok dan tepat untuk dilakonkan. Ia bukan kerana saya tidak berfikir panjang dan setakat mengisi peranan saya sebagai satu kisah lanjutan,” tambahnya.
Apabila menerima skrip filem itu, Ryder terkejut kerana wataknya mempunyai anak perempuan.
“Watak saya itu sudah berubah rupanya. Siapa sangka seorang gadis yang suka bersendirian akan ada anak sendiri?
“Apabila Tim menjelaskan visinya untuk filem susulan ini dan peranan Lydia yang saya mainkan sebagai seorang ibu, saya lebih teruja,” ceritanya lagi.
Walaupun Ryder menjayakan watak lain yang lebih mencabar, pengalaman bersama rakan seni di Beetlejuice tetap istimewa buatnya.
“Saya ingat setiap detik di set itu. Saya ingat betapa istimewanya layanan yang diberikan kepada saya. Tim selalu melibatkan saya dalam setiap proses kreatif yang beliau jana.
“Semangat kerjasama dalam filem itu tidak pernah saya alami di set penggambaran lain.
“Pada masa itu, usia saya baru 15 tahun. Apabila ditanya pandangan saya tentang sesuatu babak atau personaliti seseorang watak, saya rasa terharu dan dihargai.
“Tim tanya saya yang masih budak lagi tentang kerja seninya. Ia pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila,” tambah Ryder.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg