Dalam kalangan penggiat muzik Singapura, nama pemuzik Olly Maguire atau nama sebenarnya Olly Ismail memang tidak asing lagi.
Gitaris ini pernah menggerakkan band Sukafellas bahkan mempunyai kolektif artisnya sendiri, Voz Management. Beberapa penyanyi muda seperti Chomel, Juffri Alui, Jumali Sanotri, Fatin SerulingLady, YK, Erynn Eriynee dan Eriy Ryzale pernah berurusan dengan Olly dan sahabat karibnya, Amyr Abadawn, yang rajin mencungkil bakat baru.
Dua peserta SG Mania 3 iaitu juaranya Rahila Rashun dan peserta separuh akhir, Izat Ibrahim, juga pernah bekerjasama dengan Olly pada awal mereka bertapak dalam bidang nyanyian.
Olly, 47 tahun, juga sering diundang untuk mengadili peraduan nyanyian seperti Viral Voice dan antara rakan kerjasama ketika Berita Harian mengadakan segmen digital persembahan artis setempat, Gah(Kustik), beberapa tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta muzik tanah air.
Bagaimanapun, roda-roda hidup dengan ujian masing-masing adalah antara resam kehidupan yang perlu diharungi dengan tabah. Sejak dikesan menghidap kencing manis tidak lama dahulu, keadaan Olly menjadi lemah dengan jari-jemarinya kebas dan beliau payah berjalan jauh.
Pergerakan yang agak terbatas membuatnya sepi daripada bidang seni yang menjadi nyala rasa selama 30 tahun lamanya.
Namun, berkat dorongan Amyr dan rakan seni lain serta keluarga tercinta, Olly gagahkan semangatnya dua tahun lalu untuk merancang dan memutuskan untuk melancarkan single solo instrumental berjudul 93(23). Judulnya begitu kerana idea lagu ini sebenarnya sudah diilhamkan pada 1993 tetapi mengambil masa 30 tahun untuk direalisasikan.
Ia boleh didengar pada 18 Ogos di semua platform digital seperti Spotify, iTunes dan Amazon, manakala klip videonya pula diarah juruvideo setempat Wan Magix yang dianggap Olly sangat berbakat. Tarikh ini istimewa kerana hari lahirnya yang ke-47 tahun.
Amyr menjadi sumber inspirasi sebagai seorang ‘wira gitar’ yang telah menghasilkan beberapa album gitar instrumental, The Next Chapter dan The New Chapter, yang sudah menembusi pasaran Eropah.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Olly berkata:
“Setelah berada dalam persada muzik selama 30 tahun, saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini yang saya kumpul dari sifar lagi. Daripada menjadi pemuzik di pentas kepada menjadi penerbit yang selalu turun padang serta pengurus pentas dan penganjur acara, banyak yang saya pelajari.
“Menjejak dan mencungkil bakat baru adalah sesuatu yang saya gemar lakukan kerana saya ingin membantu mereka mencapai impian mereka. Perkara itu merupakan antara pencapaian saya. Saya tidak menetapkan misi atau menjanjikan mereka akan menjadi bintang yang dikenali ramai.
“Peranan saya lebih pada memberi mereka nasihat dan membimbing mereka dalam bidang muzik khususnya agar kehadiran mereka itu dikenal pasti dalam arena muzik Melayu di Singapura. Melihat mereka berkembang menjadi penggiat seni yang berjaya adalah nikmat buat saya.
“Sudah agak lama saya menyepi sejak aktif dalam dunia muzik. Semua ini kerana saya diuji dengan masalah kesihatan. Saya perlu berehat seketika dan siapa tahu dalam masa terdekat, saya kembali lagi.”
Bukti enjin dan kreativiti Olly mula digerakkan semula adalah dengan penghasilan 93(23). Beliau juga mendapat pengesahan jenama gitar Singapura, Earbleed Guitar.
Menurutnya, Amyr, yang sudah dianggap sebagai adiknya sendiri, bertegas ingin dirinya menghasilkan single instrumental ini disusuli dengan album.
“Selepas berfikir panjang dan berbincang, saya teruskan rancangan ini sebagai pembakar semangat saya yang telah terpadam. Seorang lagi sahabat baik saya, Jufri Salim, dari Kraton Music Publishing, pula bertindak sebagai penerbit album penuh saya yang saya harap dapat diterbitkan sekitar 2024,” ujar Olly.
Menurutnya, album ini merentas perjalanan hidupnya.
“Once Upon... adalah lagu pengenalan yang saya cipta ketika bersama kumpulan Atmosphere pada 1998. The Second Samurai pula ala lagu anime Jepun tetapi lebih condong pada konsep perang kuno dan kejayaan perwira Samurai.
“Myr’s Tree ciptaan Amyr pula ibarat dirinya memayungi rakan artis lain dengan pepohon rendang. 4mz pula tentang keluarga saya. Empat anak yang namanya bermula dari huruf M dan isteri saya yang namanya bermula dengan huruf Z. Dengar iramanya sahaja anda tahu ada pasang surut kehidupan yang cuba digambarkan.
“Lagu kelima Fanaq adalah lagu asal Kraton yang dicipta Jufri dan pernah popular di stesen Ria 897. Lagu ini saya ubahsuai kembali agar kedengaran perlahan,” cerita Olly, yang meminati komposer dan penerbit album Jepun, Kitaro.
Terdapat lima lagu lain, six Down 4, 7, 8, 93 (23) dan 10 – semuanya menggunakan nombor dalam judul dan rencam genrenya.
“Saya jadikan Iron Maiden, Joe Satriani dan Marty Friedman sebagai sumber inspirasi saya,” tambahnya.
Sebelum ini, Olly pernah muncul dalam satu segmen podcast/vodcast #NoTapis Berita Harian bagi mengiringi penyanyi Imma Pink dalam medley lagu rok, Sepi Sekuntum Mawar Merah (dendangan asal Ella) dan Zombie (The Cranberries).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg